Mungkin ramai yang tidak percaya, sebuah rekaan atau inovasi tidak semestinya mahal atau setiap bahan yang sedia dilupuskan tidak semestinya tidak boleh digunakan lagi. Berbekalkan sedikit idea dan kreativiti, ia mampu ditukar menjadi sebuah ciptaan yang mempunyai nilai yang besar.
Nilai dan kreativiti inilah yang dibawa oleh Kumpulan BENAK dalam projek KMK (Kumpulan Meningkat Mutu Kerja) Sektor Awam pada tahun lepas (2004) melalui Q-Tool ciptaan kumpulan ini.
Penyertaan pertama kumpulan ini tanpa membawa sebarang harapan bertukar menjadi kenangan manis kepada kumpulan ini.
Q-Tool, adalah inovasi yang perlu mendapat perhatian dan dijadikan contoh kerana berjaya meningkatkan produktiviti kerja-kerja penyelenggaraan di 16 buah skim saliran di Bahagian Sri Aman dan Betong.
Perkara ini diakui oleh fasilitator Kumpulan BENAK, Encik Allen Sim Meng Choon yang menyifatkan ia banyak memberi manfaat kepada Unit Kontrak, Operasi dan Penyelenggaraan Skim, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman.
Inovasi ini juga berupaya meringankan beban kerja pekerja-pekerja am di samping menjimatkan masa penyelenggaraan skim-skim di kawasan tersebut.
Menurut Allen, Q-Tool berupaya mengetepikan tanggapan bahawa tidak semua inovasi dan ciptaan itu perlu melibatkan kos yang besar dan mahal. Jelas beliau, Q-Tool adalah contoh terbaik di mana ia boleh disediakan dengan kos yang agak minimum.
“Dengan kos serendah RM4.50 untuk membeli cakera pengasah serta memanfaatkan barang kitar semula atau terpakai seperti kepingan aluminium dan bahagian mesin yang telah dilupuskan, sebuah alat ‘baru’ dapat dicipta”, jelas beliau.
Berkongsi perkara yang sama, Ketua Kumpulan BENAK, Haji Awang Sharbini Gapor berkata Q-Tool telah mengubah cara bekerja di unitnya.
“Menggunakan kaedah lama, memotong rumput menggunakan mesin tidak mendatangkan masalah, cuma apabila tiba waktu untuk mengasah mata pengasah itu yang mendatangkan masalah kerana terpaksa membawa mesin mengasah dan juga memerlukan bekalan elektrik bagi membolehkan alat mesin mengasah tersebut berfungsi,” kata Haji Awang Sharbini.
“Ini bererti pekerja perlu membawa lebih banyak peralatan.”
“Kalau dahulu, mungkin pekerja terpaksa mencari sumber tenaga untuk menghidupkan mesin pengasah, kini hanya dengan sedikit pengubahsuaian yang mudah pada mesin pengandar, ia boleh berfungsi sebagai alat untuk mengasah mata mesin”
“Pekerja boleh membawa dan menggunakan alat ini pada bila-bila masa,” jelasnya lagi.
Menurut Haji Awang, pihaknya mengkaji dengan teliti kelemahan yang terdapat pada kaedah manual tadi dan mula mereka-cipta atau membuat pengubahsuaian sedikit pada mesin pengandar.
Mengikut kaedah baru ini, pekerja hanya perlu memasukkan Q-Tool ke flange housing untuk mengerakkan alat ini dan seterusnya kerja mengasah mata mesin dapat dilakukan dengan mudah.
Jelas Haji Awang lagi, sekiranya alat tersebut tidak dicipta sekarang, besar kemungkinan pihaknya terpaksa menanggung kos operasi iaitu terpaksa membeli lebih banyak alat pengasah yang baru.
Menceritakan dengan terperinci alat Q Tool tersebut, jelasnya ia mengandungi lapan (8) komponen utama iaitu shaft, flange, housing assy, pemantul percikan api (spark deflector), cakera pengasah (sharpening device), skru pengetat, pemegang mata mesin (safety blade holder) dan mata mesin.
Konsep inovasi ini beliau sifatkan menyamai dengan pengasah elektrik.
Yang menariknya, ia mudah dibawa dan digunakan bila-bila masa dengan hanya perlu menyambung ke mesin galas dan sedia untuk digunakannya.
Hassan Suhaili, salah seorang ahli kumpulan yang telah beberapa kali membuat uji-cuba ke atas inovasi ini turut berpendapat inovasi ini berupaya mengantikan penggunaan kikir dan batu pengasah.
Ketika ditanya mengenai faedah projek ini secara tidak langsung, Ketua Fasilitator, Allen berkata projek ini memberi peluang kepada pekerja JPS Sri Aman untuk berinovasi, di samping memberi ruang kepada perkongsian idea di peringkat pekerja bawahan sehinggalah ke pihak pengurusan.
Jelas beliau, antara kelebihan Q-Tool ini, alat ini boleh digunakan tanpa memerlukan sebarang prosedur yang rumit. Sasaran memotong rumput akan tercapai dan hasil kerja memuaskan seterusnya pelanggan berpuashati.
Malah dengan menggunakan Q-Tool, ia berjaya mengurang masa bagi aktiviti mengasah iaitu sebanyak 12 minit berbanding 26 minit mengikut cara lama (manual). Selain itu, sejumlah, 1,232 minit dapat dijimatkan iaitu hanya sebanyak 1,058 minit dengan menggunakan Q-Tool berbanding 2,238 minit dengan tidak menggunakan Q-Tool atau peralatan lain.
Mengimbas kembali bagaimana idea ini timbul, jelas Allen, ianya datang dari beberapa perbincangan kumpulan serta proses mengenalpasti masalah. Projek KMK jelasnya telah merealisasikan idea dan konsep asalnya yang telah dikemukakan pada tahun 2002.
Penubuhan Kumpulan BENAK pada Januari 2003, selain bertanding untuk Konvensyen KMK ianya juga adalah untuk memberi fokus sepenuhnya ke atas merealisasikan projek ini.
Setelah mengambil masa 6 bulan untuk disiapkan, Kumpulan KMK BENAK telah mencuba Q-Tool di Skim Sebrang, Sri Aman dan terbukti berjaya, jelas Allen.
“Kini, pihak kami memahami kenapa projek KMK begitu penting dan cuba mengerakkan lebih banyak lagi projek yang mampu memanfaatkan JPS Sri Aman selepas ini,” kata Allen.
Malah jelas Allen, projek tersebut secara tidak langsung menaikkan imej JPS Sri Aman yang dahulunya sering menerima rungutan daripada orang ramai akibat kerja penyelenggaraan yang kurang berkesan.
Walaupun pertama kali menyertai KMK peringkat negeri, kejayaan mendapat tempat ketiga dalam Konvensyen KMK 2004 (Kategori Teknikal ) adalah pencapaian terbaik JPS Sri Aman. Pada Konvensyen KMK 2005, KMK Benak telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori teknikal.
Projek tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan dan perhatian JPS Ibupejabat malah mendapat perhatian daripada agensi kerajaan lain seperti Majlis Daerah Sri Aman dan Jabatan Kerja Raya, yang turut ingin mempelajari mengenai inovasi tersebut.
Kini, JPS Sri Aman dalam usaha memperluaskan penggunaan inovasi tersebut di JPS seluruh Sarawak.
Malah kemudahan yang terhad bukanlah menjadi penghalang tetapi mampu melahirkan satu inovasi yang unik dan kumpulan BENAK telah membuktikannya!