- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Misi Usahawan Tani Kg. Nyalau

Must read


Cili
yang ditanam hidup dengan subur
Hasil
daripada kolam ikannya

Semua peluang yang ada perlu
direbut dan diterokai. Hanya dengan cara itu kita akan dapat maju seperti orang
lain yang berpendidikan dan berjaya dalam hidup.

Demikian tegas En.
Calun bin Ahat, 40 tahun, salah seorang usahawan tani di Kampung Nyalau Ulu
yang mengusahakan pelbagai cabang aktiviti pertanian dalam masa yang sama.

Kegigihannya itu terserlah
melalui usaha dan baktinya kepada tanah. Kini tanah itu pula telah mula
mengembalikan penat lelah yang telah dicurahkannya selama ini.

Malah dia kini amat
berbangga kerana menjadi penduduk kampung pertama memiliki kenderaan baru
pacuan empat roda di kampungnya.

Sebelum ini, tidak
sesiapapun penduduk kampung yang pernah terfikir akan ada penduduk kampung
memiliki kenderaan sedemikian hasil daripada aktiviti pertanian. Apatah lagi
dengan kedudukan kampung yang jauh di ulu dan agak terpisah dari arus
pembangunan.

Tapi kini ia bagaikan
mimpi yang telah menjadi realiti bagi En. Calun dan seluruh penduduk kampung.
Kini semakin ramai yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda dan juga lori
mengangkut sawit di kampung mereka.

Dahulu perjalanan
dari Bandar Bntulu untuk sampai ke kampung terpaksa melalui jalan berbatu di
ladang kelapa sawit yang memakan masa lebih kurang tiga jam. Itupun terpaksa
menyewa kenderaan pacuan empat roda yang tinggi kosnya.

Hari ini perjalanan
ke Bintulu menggunakan Jalan Persisiran Pantai Tg. Kidurong – Bakam yang sejauh
86km, memakan masa tidak sampai sejam dengan tambang bas hanya RM9. Bas pula
berulang-alik sebanyak tiga kali dalam sehari dan berhenti di jalan raya
berhadapan pintu gerbang kampung.

Pembangunan Masuk Kampung

Kedudukan Kampung
Nyalau Ulu yang jauh dari bandar sementara aktiviti pertanian yang hanya untuk
sara hidup menyebabkan penduduk kampung itu agak ketinggalan dari menikmati
kemudahan sempurna dan merasai arus pembangunan.

Penempatan penduduk
dari suku Kadayan di Kampung Nyalau Ulu telah bermula pada era pemerintahan
Rajah Brooke lagi. Ia dipercayai diteroka pada sekitar tahun 1920-an oleh En.
Talib bin Tuah yang berasal dari Bekenu.

Penempatan itu
bermula dari hanya lima buah keluarga yang kemudiannya berkembang sehingga
mewujudkan pula Kampung Nyalau Ulu, Nyalau Tengah dan Nyalau Kuala.

Hari ini Kampung
Nyalau Ulu didiami oleh 66 keluarga dengan penduduk seramai kira-kira 300
orang.

Sungguhpun jauh dari
bandar, pihak kerajaan tetap berusaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
Sebuah program pembangunan sosioekonomi kampung yang dikenali sebagai Pelan
Pembangunan Kampung Bersepadu (VIDP)
kemudiannya diperkenal oleh Unit Perancangan Negeri (SPU) di kampung itu.

Pada masa yang sama,
Jabatan Pertanian turut membantu dengan memperkenal pelbagai projek pertanian
dan penganjuran kursus kemahiran pertanian moden.

Usaha itu telah
memberi pengetahuan dan kemahiran kepada para penduduk kampung. Namun aspek
terpenting ialah beberapa siri kursus itu telah berjaya membuka minda para
penduduk kampung khususnya golongan muda ke arah usahawan petani moden termasuk
En. Calun sendiri.

Misi Seorang Usahawan

Sebelum bergiat
dengan kegiatan pertanian, En. Calon pernah bekerja di syarikat pembalakan dan
merantau ke bandar untuk bekerja di kilang selama 15 tahun.

Namun, pelbagai
projek pembangunan yang mula dibawa masuk oleh pelbagai agensi kerajaan ke
kampung mereka telah membuka matanya dan menarik minatnya untuk turut serta.

Menurutnya,
pembangunan tanah untuk ladang kelapa sawit dan pelaksanaan projek jalan
pesisir yang melalui kampungnya merupakan tarikan terkuat untuknya kembali ke
kampung halaman.

Semenjak itu, dia
juga menghadirkan diri ke pelbagai kursus keusahawanan dan pertanian anjuran
pelbagai agensi di sekitar Bintulu dan di kampung mereka.

Malah, dia juga sentiasa
mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pihak Pejabat Residen dan
Daerah serta Jabatan Pertanian tentang perancangannya bagi membangunkan tanah
untuk pertanian.

Justeru, komitmen
yang ditunjukkan di samping hubungan rapatnya dengan kakitangan dari pelbagai
agensi telah banyak membantunya mencapai misinya. Jabatan Pertanian misalnya
banyak membantu dengan pemberian skim baja, anak ikan, benih buah-buahan dan
sebagainya.

Kini dia mempunyai
ladang sawit seluas 40 ekar, tanaman sayur dan cili (10,000 pokok cili) dari
jenis ‘Bangi A1’ di kawasan seluas 10
ekar, pokok limau manis (2,000 pokok) di kawasan seluas 17 ekar serta enam
kolam ikan yang menempatkan ikan jelawat dan patin (2 ekar).

Menurutnya, pokok
cili yang ditanam telah membuahkan hasil sementara pokok limau manisnya
dijangka mula berbuah pada tahun hadapan.

Malah, dia juga aktif
mengambil kontrak mengangkut buah kelapa sawit di ladang.

Tidak cukup dengan
itu, En. Calun membina pula sebuah pusat riadah mini berhampiran kolam ikannya.

Pusat riadah mini itu
dilengkapi kemudahan penginapan (chalet),
kemudahan rekreasi, aktiviti memancing dan memanggang tangkapan ikan.
Sekilogram ikan yang dipancing pelanggannya akan dikenakan harga RM8.

Di situ pengunjung
juga berpeluang melihat nurseri biji benih tanam-tanaman yang diusahakan
seperti cili dan limau.

Idea itu timbul
setelah dia sering mendengar galakan kerajaan supaya aktiviti ‘homestay’ dikembangkan ke kawasan luar
bandar.

Sungguhpun usahanya
itu telah melayakkannya bergelar usahawan tani, baginya usaha itu masih belum
mencukupi dan tidak akan memberikan kepuasan.

Nikmat kepuasan baginya kini ialah untuk melihat
lebih ramai golongan muda kampung seperti dirinya yang kurang berpelajaran
mampu berjaya meningkatkan taraf hidup setanding dengan mereka yang
berpelajaran tinggi dengan hanya berbakti kepada tanah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article