- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mewujudkan Warga Berjimat

Must read

Berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian. Saranan itu sudah terlalu biasa kita dengar. Tetapi sejauh mana setiap kita mengikutnya dan apakah pula implikasinya kepada kehidupan kita pada hari ini dan masa akan datang?

Secara umumnya amalan berjimat cermat menggalakkan kita untuk berbelanja mengikut keperluan dan keupayaan. Sehubungan itu hanya barang yang perlu sahaja dibeli. Selebihnya disimpan dalam pelbagai bentuk pelaburan seperti amanah saham, simpanan tetap ataupun insuran bagi kegunaan pada masa perlu.

Kerana itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menggalakkan rakyat menabung. Masyarakat umum digalakkan untuk mengamalkan sikap berjimat cermat melalui pelbagai bentuk promosi seperti melalui kempen dan hebahan media elektronik. Tidak ketinggalan juga pendekatan untuk menarik minat generasi muda khususnya pelajar sekolah.

Pergerakan koperasi di sekolah merupakan antara saluran strategik untuk meningkatkan pemahaman generasi muda terhadap amalan berjimat cermat dan melabur pada masa yang sama.

Pada penghujung 2005, terdapat 456 buah koperasi yang berdaftar di negeri ini dengan bilangan anggota kira-kira 264,480 orang.

Daripada jumlah itu, 153 buah merupakan Koperasi Sekolah dengan keanggotaan seramai 153,640 orang.

Salah sebuah dari koperasi sekolah yang mempunyai objektif berjimat-cermat itu ialah Koperasi SMK Mukah Berhad. Koperasi itu dibentuk pada tahun 2002 dan berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) setahun kemudian.

Pada tahun yang sama, koperasi itu berdaftar pula dengan Koperasi Gabungan Sekolah Negeri Sarawak Bhd.

Kini koperasi itu mempunyai kira-kira 1,200 orang ahli terdiri daripada kakitangan sekolah dan pelajar. Semua pelajar adalah wajib menyertai koperasi dengan yuran keahlian dan pembelian syer sebanyak RM1 masing-masing.

Usaha itu adalah selaras dengan misi sekolah untuk memastikan kurikulum dan kokurikulum SMK Mukah sentiasa cemerlang, sahsiah dan disiplin pelajar terpuji dan persekitaran kondusif berteraskan pengurusan dan pentadbiran yang cekap.

Keuntungan dan Manfaat
Prestasi yang ditunjukkan pada tahun pertama pergerakan Koperasi SMK Mukah Bhd. nyata amat mengagumkan sungguhpun ia baru ditubuhkan dan guru yang dipertanggungjawab untuk menguruskan pergerakan koperasi tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan perniagaan koperasi,

Pada tahun 2003/2004, Koperasi SMK Mukah Bhd. telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM15,355 meningkat kepada RM15,919 pada tahun 2004/2005.

Keuntungan itu merupakan hasil daripada aktiviti utamanya iaitu jualan runcit barang keperluan pelajar dan sekolah seperti alatulis, buku, makanan serta minuman.

Cikgu Mohd. Yusri Azhar, Pengurus Koperasi berkenaan sentiasa berhubung dengan JPK Sibu/Kapit untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat tentang cara pengurusan kewangan, stok dan sebagainya.

Menurut Cikgu Mohd. Yusri yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Mukah, nilai jualan harian koperasi adalah kira-kira RM400 sehari.

Katanya, kebiasaannya para pelajar lebih kerap mengunjungi koperasi pada waktu rehat iaitu dari jam 9.40 hingga 10.00 pagi sungguhpun koperasi turut dibuka sebelum mula sesi kelas, petang dan malam.

Ia kerana para pelajar harian sekolah lebih suka untuk mendapatkan keperluan masing-masing dari koperasi pada waktu berkenaan.

Harga yang murah dan berpatutan di samping barangan yang berkualiti terus menjadi daya penarik kepada mereka mendapatkan keperluan di koperasi sungguhpun terdapat persaingan dari kedai serta pasaraya di bandar berhampiran.

Keperluan pelajar asrama juga tidak diabaikan dan seboleh mungkin pengurusan koperasi sekolah berusaha memenuhi keperluan para pelajar mengikut keupayaan atau kuasa beli mereka memandangkan kumpulan itu adalah pelanggan utamanya.

Misalnya peralatan penjagaan diri seperti sabun dan ubat gigi dijual dengan harga yang sama dan mungkin lebih rendah daripada harga pasaran kerana selalunya stok ditempah dalam kuantiti yang banyak.

Jelas Cikgu Mohd. Yusri, strategi itu amat perlu dan selama ini telah memberi kelebihan bagi pergerakan koperasi di sekolah mereka. Strategi itu bukan sahaja membantu para pelajar mendapatkan barangan berkualiti pada harga yang rendah, malah membantu mereka berjimat cermat dan pada masa yang sama melabur.

Malah katanya, para pelajar juga semakin memahami bahawa sebahagian besar keuntungan daripada koperasi itu telah ‘dikembalikan’ kepada mereka dalam bentuk bayaran dividen syer anggota, bonus langganan, honorarium, kumpulan wang pendidikan, kumpulan wang kebajikan dan selebihnya untuk simpanan koperasi.

Tidak kurang juga peranan koperasi dalam membantu pihak sekolah terutama dalam perkara pembayaran wang pendahuluan. Ini kerana kebanyakan sekolah berdepan dengan masalah wang bagi pembayaran tunai untuk sebarang tempahan yang dibuat daripada pihak luar.

Bayaran selepas tempahan melalui ‘service order’ yang sering digunapakai oleh sekolah pula menyebabkan tempahan sering lambat dihantar ke sekolah. Keadaan itu membebankan pihak sekolah terutama jika barang yang diperlukan dikehendaki dalam kadar segera.

Untuk mengatasi masalah itu, pihak pengurusan koperasi telah melaksanakan perkhidmatan pembayaran wang pendahuluan bagi kelab, persatuan mahupun pihak sekolah jika mereka memerlukannya. Setiap perkhidmatan itu dikenakan caj sebanyak lima peratus dan mereka boleh menjelaskannya secara ansuran.

Perkhidmatan itu telah banyak memberi manfaat, antaranya, tempahan pembelian peralatan muzik (kompang dan set musik kumpulan) untuk Kelab Seni Muzik dan pakaian silat bagi Kelab Seni Silat. Malah dengan cara itu pihak sekolah juga mempunyai pilihan untuk mencari pengedar dengan harga yang paling kompetitif berbanding dengan cara ‘service order’.

Perancangan
Koperasi SMK Mukah Bhd. akan menggiatkan usaha membesarkan perniagaan mereka selaras dengan sambutan yang semakin baik daripada ahli.

Untuk permulaan ini, pengurusan koperasi telahpun merangka sebuah rancangan jangka panjang (2006 – 2010) yang dikenali sebagai Program Pengurusan Koperasi Sekolah bagi meletakkannya selaras dengan visi sekolah iaitu ‘SMK Mukah Cemerlang 2010’.

Dua objektif utama iaitu mewujudkan pelajar yang beramalan jimat cermat, berdikari dan bekerjasama dan kedua untuk memberi khidmat jualan yang baik kepada semua pengguna akan menjadi teras pergerakan dan pembangunan koperasi dalam tempoh berkenaan.

Ketika ini, perancangan untuk membesarkan lagi ruang kedai koperasi akan menjadi tumpuan utama kerana ia merupakan keperluan yang mendesak.

Hanya selepas itu pelbagai jenis perkhidmatan lain akan dapat ditawarkan kepada ahli. Antaranya perkhidmatan fotostat dan penjilidan, langganan majalah dan mempelbagaikan produk jualan.

Melalui usaha itu, diharapkan aktiviti koperasi akan terus menerima sambutan baik daripada seluruh warga sekolah demi manfaat mereka bersama dan paling penting adalah untuk memupuk amalan berjimat-cermat walaupun selepas meninggalkan bangku persekolahan.

Koperasi SMK Mukah Bhd.

  • Bilangan anggota : Kira-kira 1,200 orang

Objektif Penubuhan

  • Memupuk amalan berjimat cermat dan berdikari di kalangan pelajar
  • Memberi latihan amali dan teknik pengurusan serta perdagangan kepada pelajar
  • Menyemai sifat demokrasi dan bekerjasama
  • Mengasuh bakat kepimpinan pelajar
  • Memberi pendidikan pengguna kepada pelajar
  • Memberi khidmat jualan keperluan kepada warga sekolah

Rancangan Jangka Panjang (2006-2010)

Objektif

  • Mewujudkan pelajar yang beramalan jimat cermat, berdikari dan bekerjasama
  • Memberi khidmat jualan yang baik kepada semua pengguna

Pelaksanaan

  • Menentukan peraturan-peraturan koperasi dipatuhi sepanjang masa
  • Menentukan penerapan amalan-amalan dan nilai-nilai murni
  • Memastikan perkhidmatan yang baik dan jujur diberikan kepada semua pengguna
  • Memastikan barangan yang dijual adalah berpatutan dan memenuhi keperluan pelajar

Keadaan Diharapkan
Budaya hormat-menghormati, semangat kesetiaan dan kekitaan di kalangan warga sekolah menjadi amalan harian dalam setiap program akademik dan kokurikulum untuk menjadi sebuah institusi pendidikan contoh.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article