- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mewujudkan Warga Berjimat

Must read


Cikgu Mohd. Yusri turut membantu pembantu jualan ketika
koperasi dibuka
Para pelajar mendapatkan barang keperluan pada waktu rehat

Berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian. Saranan itu
sudah terlalu biasa kita dengar. Tetapi sejauh mana setiap kita mengikutnya dan
apakah pula implikasinya kepada kehidupan kita pada hari ini dan masa akan
datang?

Secara umumnya amalan berjimat cermat menggalakkan kita
untuk berbelanja mengikut keperluan dan keupayaan. Sehubungan itu hanya barang
yang perlu sahaja dibeli. Selebihnya disimpan dalam pelbagai bentuk pelaburan
seperti amanah saham, simpanan tetap ataupun insuran bagi kegunaan pada masa
perlu.

Kerana itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk
menggalakkan rakyat menabung. Masyarakat umum digalakkan untuk mengamalkan
sikap berjimat cermat melalui pelbagai bentuk promosi seperti melalui kempen
dan hebahan media elektronik. Tidak ketinggalan juga pendekatan untuk menarik
minat generasi muda khususnya pelajar sekolah.

Pergerakan koperasi di sekolah merupakan antara saluran
strategik untuk meningkatkan pemahaman generasi muda terhadap amalan berjimat
cermat dan melabur pada masa yang sama.

Pada penghujung 2005, terdapat 456 buah koperasi yang
berdaftar di negeri ini dengan bilangan anggota kira-kira 264,480 orang.

Daripada jumlah itu, 153 buah merupakan
Koperasi Sekolah dengan keanggotaan seramai 153,640 orang.

Salah sebuah dari koperasi sekolah yang mempunyai objektif
berjimat-cermat itu ialah Koperasi SMK Mukah Berhad. Koperasi itu dibentuk pada
tahun 2002 dan berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) setahun
kemudian.

Pada tahun yang sama, koperasi itu
berdaftar pula dengan Koperasi Gabungan Sekolah Negeri Sarawak Bhd.

Kini koperasi itu mempunyai kira-kira 1,200 orang ahli
terdiri daripada kakitangan sekolah dan pelajar. Semua pelajar adalah wajib
menyertai koperasi dengan yuran keahlian dan pembelian syer sebanyak RM1
masing-masing.

Usaha itu adalah selaras dengan misi sekolah untuk
memastikan kurikulum dan kokurikulum SMK Mukah sentiasa cemerlang, sahsiah dan
disiplin pelajar terpuji dan persekitaran kondusif berteraskan pengurusan dan
pentadbiran yang cekap.

Keuntungan
dan Manfaat

Prestasi yang ditunjukkan pada tahun
pertama pergerakan Koperasi SMK Mukah Bhd. nyata amat mengagumkan sungguhpun ia
baru ditubuhkan dan guru yang dipertanggungjawab untuk menguruskan pergerakan
koperasi tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan perniagaan koperasi,

Pada tahun 2003/2004, Koperasi SMK Mukah
Bhd. telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM15,355 meningkat kepada
RM15,919 pada tahun 2004/2005.

Keuntungan itu merupakan hasil daripada
aktiviti utamanya iaitu jualan runcit barang keperluan pelajar dan sekolah
seperti alatulis, buku, makanan serta minuman.

Cikgu Mohd. Yusri Azhar, Pengurus
Koperasi berkenaan sentiasa berhubung dengan JPK Sibu/Kapit untuk mendapatkan
bantuan khidmat nasihat tentang cara pengurusan kewangan, stok dan sebagainya.

Menurut Cikgu Mohd. Yusri yang juga
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Mukah, nilai jualan harian koperasi adalah
kira-kira RM400 sehari.

Katanya, kebiasaannya para pelajar lebih
kerap mengunjungi koperasi pada waktu rehat iaitu dari jam 9.40 hingga 10.00
pagi sungguhpun koperasi turut dibuka sebelum mula sesi kelas, petang dan
malam.

Ia kerana para pelajar harian sekolah
lebih suka untuk mendapatkan keperluan masing-masing dari koperasi pada waktu
berkenaan.

Harga yang murah dan berpatutan di
samping barangan yang berkualiti terus menjadi daya penarik kepada mereka
mendapatkan keperluan di koperasi sungguhpun terdapat persaingan dari kedai
serta pasaraya di bandar berhampiran.

Keperluan pelajar asrama juga tidak
diabaikan dan seboleh mungkin pengurusan koperasi sekolah berusaha memenuhi
keperluan para pelajar mengikut keupayaan atau kuasa beli mereka memandangkan
kumpulan itu adalah pelanggan utamanya.

Misalnya peralatan penjagaan diri seperti
sabun dan ubat gigi dijual dengan harga yang sama dan mungkin lebih rendah
daripada harga pasaran kerana selalunya stok ditempah dalam kuantiti yang
banyak.

Jelas Cikgu Mohd. Yusri, strategi itu
amat perlu dan selama ini telah memberi kelebihan bagi pergerakan koperasi di
sekolah mereka. Strategi itu bukan sahaja membantu para pelajar mendapatkan
barangan berkualiti pada harga yang
rendah, malah membantu mereka berjimat cermat dan pada masa yang sama melabur.

Malah katanya, para pelajar juga semakin memahami bahawa
sebahagian besar keuntungan daripada koperasi itu telah ‘dikembalikan’ kepada
mereka dalam bentuk bayaran dividen syer anggota, bonus langganan, honorarium,
kumpulan wang pendidikan, kumpulan wang kebajikan dan selebihnya untuk simpanan
koperasi.

Tidak kurang juga peranan koperasi dalam membantu pihak sekolah terutama
dalam perkara pembayaran wang pendahuluan. Ini kerana kebanyakan sekolah
berdepan dengan masalah wang bagi pembayaran tunai untuk sebarang tempahan yang
dibuat daripada pihak luar.

Bayaran selepas tempahan melalui ‘service
order’
yang sering digunapakai oleh sekolah pula menyebabkan tempahan
sering lambat dihantar ke sekolah. Keadaan itu membebankan pihak sekolah
terutama jika barang yang diperlukan dikehendaki dalam kadar segera.

Untuk mengatasi masalah itu, pihak pengurusan koperasi telah
melaksanakan perkhidmatan pembayaran wang pendahuluan bagi kelab, persatuan
mahupun pihak sekolah jika mereka memerlukannya. Setiap perkhidmatan itu
dikenakan caj sebanyak lima peratus dan mereka boleh menjelaskannya secara
ansuran.

Perkhidmatan itu telah banyak memberi manfaat, antaranya, tempahan
pembelian peralatan muzik (kompang dan set musik kumpulan) untuk Kelab Seni
Muzik dan pakaian silat bagi Kelab Seni Silat. Malah dengan cara itu pihak
sekolah juga mempunyai pilihan untuk mencari pengedar dengan harga yang paling
kompetitif berbanding dengan cara ‘service
order’
.

Perancangan

Koperasi SMK Mukah Bhd. akan menggiatkan usaha membesarkan
perniagaan mereka selaras dengan sambutan yang semakin baik daripada ahli.

Untuk permulaan ini, pengurusan koperasi telahpun merangka
sebuah rancangan jangka panjang (2006 – 2010) yang dikenali sebagai Program
Pengurusan Koperasi Sekolah bagi meletakkannya selaras dengan visi sekolah
iaitu ‘SMK Mukah Cemerlang 2010’.

Dua objektif utama iaitu
mewujudkan pelajar yang beramalan jimat cermat, berdikari dan
bekerjasama dan kedua untuk memberi khidmat jualan yang baik kepada semua
pengguna akan menjadi teras pergerakan dan pembangunan koperasi dalam tempoh
berkenaan.

Ketika ini, perancangan untuk membesarkan lagi ruang kedai
koperasi akan menjadi tumpuan utama kerana ia merupakan keperluan yang
mendesak.

Hanya selepas itu
pelbagai jenis perkhidmatan lain akan dapat ditawarkan kepada ahli.
Antaranya perkhidmatan fotostat dan penjilidan, langganan majalah dan
mempelbagaikan produk jualan.

Melalui usaha itu, diharapkan aktiviti koperasi akan terus
menerima sambutan baik daripada seluruh warga sekolah demi manfaat mereka
bersama dan paling penting adalah untuk memupuk amalan berjimat-cermat walaupun
selepas meninggalkan bangku persekolahan.

Koperasi SMK Mukah Bhd.

  • Bilangan anggota : Kira-kira 1,200 orang

Objektif Penubuhan

  • Memupuk amalan berjimat cermat dan berdikari di kalangan
    pelajar
  • Memberi latihan amali dan teknik pengurusan serta
    perdagangan kepada pelajar
  • Menyemai sifat demokrasi dan bekerjasama
  • Mengasuh bakat kepimpinan pelajar
  • Memberi pendidikan pengguna kepada pelajar
  • Memberi khidmat jualan keperluan kepada warga sekolah

Rancangan Jangka Panjang (2006-2010)

  • Objektif

  • Mewujudkan pelajar yang beramalan jimat cermat, berdikari
    dan bekerjasama
  • Memberi khidmat jualan yang baik kepada semua pengguna
  • Pelaksanaan

  • Menentukan peraturan-peraturan koperasi dipatuhi sepanjang
    masa
  • Menentukan penerapan amalan-amalan dan nilai-nilai murni
  • Memastikan perkhidmatan yang baik dan jujur diberikan kepada semua pengguna
  • Memastikan barangan yang dijual adalah berpatutan dan
    memenuhi keperluan pelajar

Keadaan
Diharapkan

Budaya hormat-menghormati, semangat kesetiaan dan kekitaan
di kalangan warga sekolah menjadi amalan harian dalam setiap program akademik
dan kokurikulum untuk menjadi sebuah institusi pendidikan contoh.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article