- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

SMK Mukah Cemerlang 2010

Must read

Baru,moden dan selesa…mungkin itu sesuai dikatakan tentang keadaan fizikal SMK Mukah yang menjadi tempat menimba ilmu bagi kira-kira 1,200 orang pelajarnya.

Sehubungan itu, tidak menghairankan apabila sekolah ini menjadi destinasi pelbagai pihak, khususnya Jabatan Pelajaran Bahagian untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuk mesyuarat.

SMK Mukah yang terletak di Jalan Service Centre, kira-kira lima minit perjalanan dari Pusat Bandar Mukah, dibina di kawasan seluas kira-kira 16.29 hektar dengan kos kira-kira RM30.40 juta. Ia mula digunakan pada tahun 2002 dan siap pada Mac 2003.

Walaupun baru, sasaran tinggi pihak pengurusan sekolah bagi memastikan sekolah ini mampu mencapai kecemerlangan pada tahun 2010 meletakkannya pada kedudukan lebih matang berbanding usianya.

Empat tahun telah berlalu dan tinggal empat tahun sahaja lagi untuk seluruh warga sekolah mencapai visinya, ‘SMK Mukah Cemerlang 2010’.

Menurut Pengetuanya, Pn. Hajah Zakiah Bt. Abdul Hamid, SMK Mukah amat bertuah kerana mempunyai kemudahan prasarana yang lengkap dan moden.

Ia menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah dilaksanakan dalam keadaan yang selesa dan mungkin lebih baik berbanding sekolah di bandar-bandar besar.

Justeru, tumpuan utama ketika ini ialah untuk melahirkan modal insan yang cemerlang untuk menyumbang kepada pembangunan negeri, khususnya di Bahagian Mukah.

Pn. Hajah Zakiah yang bertukar ke sekolah itu selama lebih setahun yang lalu menyedari tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakannya.

Sehubungan itu, antara perkara terawal yang ditetapkannya ialah memperkenal visi dan misi sekolah.

Menurutnya, seluruh warga SMK Mukah mempunyai misi untuk memastikan kurikulum dan kokurikulum sentiasa cemerlang, sahsiah dan disiplin pelajar terpuji dalam persekitaran kondusif berteraskan pengurusan dan pentadbiran yang cekap.

Bagi menjadikan visi serta misi itu menjadi realiti, matlamat sekolah turut dijadikan sebagai garis panduan sepanjang masa.

Matlamat SMK Mukah adalah untuk :

  • Memberi pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar
  • Melahirkan pelajar yang bersemangat tinggi dan mampu menghadapi cabaran global
  • Melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak mulia, berbudaya dan taat kepada Raja dan Negara
  • Membentuk personaliti dan kualiti kepimpinan kental
  • Menyediakan kemudahan dan persekitaran yang kondusif dan selamat
  • Memupuk semangat kekitaan dan toleransi serta kerjasama jitu di kalangan warga sekolah dan masyarakat

Kurikulum

Menurut Pn. Hajah Zakiah, SMK Mukah mempunyai 62 orang tenaga pendidik dan 1,205 orang pelajar. Seramai 604 orang daripadanya merupakan pelajar asrama.

Sekolah itu mempunyai 34 buah kelas yang melaksanakan sistem satu sesi persekolahan yang mana sebuah daripadanya merupakan kelas pendidikan khas.

Dari segi kurikulum (akademik), pencapaian SMK Mukah boleh dikatakan membanggakan sungguhpun bukan dikategorikan sebagai sekolah khas mahupun sekolah berasrama penuh.

Saban tahun, pencapaiannya dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menyaingi peratusan pencapaian Peringkat Kebangsaan dan Negeri.

Untuk Bahagian Mukah, mereka merupakan antara yang terbaik daripada segi pencapaian peratusan kelulusan.

Menurut Pn. Hajah Zakiah, pencapaian itu banyak dibantu oleh proses pembelajaran dan pengajaran yang diteliti keberkesanannya sepanjang masa.

Sehubungan itu, kesemua empat bidang utama iaitu kemanusiaan, bahasa, teknik dan vokasional serta sains dan matematik sentiasa diberi penekanan yang sama dan mempunyai tenaga penggeraknya (guru matapelajaran) yang bertanggungjawab memastikan pencapaian bidang masing-masing.

Bagi kelas peperiksaan iaitu para pelajar Tingkatan Tiga dan Lima, mereka dimestikan menghadiri Kelas Bestari (Tingkatan 3) dan Kelas Albukhari (Tingkatan 5).

Menjelang musim peperiksaan (bermula Ogos), sekolah akan mengadakan ‘morning talk’ selama 10 minit sebelum kelas bermula pada setiap pagi bagi pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5.

Selain Solat Hajat dan Misa peperiksaan yang lazim diadakan oleh kebanyakan sekolah, sekolah ini juga turut mengadakan doa harian sebelum kelas bermula.

Hari Semarak Budi pula memberi peluang kepada para pelajar bersemuka dengan guru untuk memohon restu dan memohon maaf sebelum peperiksaan bermula.

Amalan-amalan tersebut sebenarnya banyak mempengaruhi minat pelajar terhadap kepentingan pelajaran di samping berperanan membentuk akhlak yang mulia dan berbudaya.

Tidak ketinggalan ialah Hari Permuafakatan yang mana para ibu bapa pelajar dijemput untuk datang ke sekolah untuk mengambil kad laporan akademik anak masing-masing.

Kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa nyata memberangsangkan kerana kira-kira 90 peratus daripada ibu bapa pelajar bekerjasama menjayakan hari tersebut.
Kokurikulum

Setinggi manapun ilmu yang diperoleh tanpa dikukuhkan dengan aktiviti luar (kokurikulum) yang sepatutnya tidak akan dapat menghasilkan modal insan yang seimbang seperti yang diharapkan.

Justeru, menurut Pn. Hajah Zakiah, para pelajar diberi kebebasan untuk menyertai 30 jenis aktiviti terdiri daripada unit beruniform, sukan dan permainan serta kelab dan persatuan.

Seni Silat, Seni Tari dan Seni Muzik merupakan antara aktiviti yang mungkin jarang terdapat di sekolah lain kerana terdapat anggapan bahawa ia kurang memberikan manfaat.

Namun, menurut beliau, aktiviti seperti itu sebenarnya mempunyai kekuatannya tersendiri. Seni Muzik umpamanya, selain mengelakkan kebosanan, ia juga membantu menjadikan minda lebih kreatif seterusnya meningkatkan daya kreativiti serta keyakinan pelajar.

Katanya, persembahan di pentas memberikan mereka keyakinan untuk berdepan dengan orang ramai dan menanam semangat bekerjasama dalam membuat persembahan terbaik.

Walaupun kegiatan kokurikulum diadakan dengan pelbagai matlamat dan mampu memberi pelbagai kesan positif, Pn. Hajah Zakiah beranggapan bahawa kegiatan itu sebenarnya turut menjadi kunci kejayaan pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Para pelajar adalah diwajibkan untuk menyertai sebarang aktiviti kokurikulum yang diminati mereka di sekolah. Dalam Kelab Seni Muzik umpamanya, pelajar yang bermasalah akan mempelajari pelbagai bentuk disiplin yang harus dipatuhi dalam membuat persembahan berkumpulan dan sebagainya.

Sesungguhnya, komitmen pihak sekolah dalam usaha memartabatkan aktiviti kokurikulum di sekolah amat jelas melalui pencapaiannya sama ada di peringkat Bahagian mahupun Negeri.

Termasuk dalam senarai kejayaan sekolah ialah menjadi Johan dalam Pertandingan Catur MSSM dan Antarabangsa Peringkat Bahagian 2006.

Pihak sekolah juga tidak keberatan untuk berbelanja mendapatkan peralatan kokurikulum sungguhpun menelan kos yang besar kerana semuanya adalah untuk pelaburan pembangunan modal insan iaitu para pelajar sekolah itu sendiri.

Misalnya, membeli baju silat dan kebudayaan, serta peralatan muzik seperti kompang yang diimport dari Semenanjung Malaysia.

Oleh kerana sekolah ini masih baru, usaha berganda terpaksa dilaksanakan untuk menjadikan persekitaran sekolah lebih ceria. Walau bagaimanapun, dalam usaha itu pihak sekolah turut berdepan dengan masalah ketidaksuburan tanah yang menyebabkan pelbagai jenis tumbuhan yang ditanam tidak dapat hidup dengan sempurna.

Untuk mengatasi masalah itu, Pn. Hajah Zakiah nekad mendapatkan tanah tembok yang dibeli dari luar Daerah Mukah untuk membolehkan kerja-kerja keceriaan sekolah dilaksanakan.

Sungguhpun menelan kos yang besar, implikasi daripada keputusan yang sukar itu akhirnya berbaloi. Kini persekitaran sekolah kelihatan lebih ceria dengan pelbagai jenis pokok yang ditanam.

Turut dibina ialah ‘Taman Herba’ yang mempamerkan pelbagai spesis tumbuhan herba seperti serai dan siantan merah.

Cat yang telah pudar pada bangunan sekolah pula diwarnakan semula oleh para pelajar sendiri. Penyertaan para pelajar dalam aktiviti seperti itu telah membantu menanam perasaan cintakan sekolah dalam diri masing-masing seterusnya menggalakkan mereka menghargai suasana keceriaan dan kebersihan sekolah.

Semua perancangan, perkembangan terkini serta pencapaian sekolah dalam kegiatan kokurikulum juga dipaparkan kepada umum di papan notis sekolah bagi mewujudkan perasaan kebanggaan dan sebagai panduan di kalangan warga sekolah untuk merancang aktiviti masing-masing.

Turut memainkan peranan ialah dokumentasi semua maklumat berkaitan oleh guru yang bertanggungjawab yang ternyata telah memudahkan rujukan semula oleh sesiapa sahaja yang mengambilalih tugas berkenaan kemudiannya. Di samping itu, dokumentasi yang lengkap itu juga memudahkan perancangan dibuat untuk memajukan kegiatan kokurikulum di SMK Mukah.

Melalui pelbagai usaha berganda dan senarai pencapaian yang direkodkan dalam diari harian SMK Mukah setakat ini, Pn. Hajah Zakiah berkeyakinan bahawa visi untuk menjadi sekolah cemerlang pada tahun 2010 akan tercapai.

Walau bagaimanapun, usaha dan strategi baru akan disesuaikan dari semasa ke semasa mengikut keperluan agar kecemerlangan kokurikulum serta kurikulum sekolah setanding dengan tahap kemudahan fizikalnya yang baru dan moden.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article