- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Gabungan Idea dan Usaha

Must read

Kejayaan menghasilkan Belitech Applicator ini bolehlah dianggap sebahagian hasil kejayaan gandingan dua kepakaran yang terdiri daripada pakar akademik dan tenaga pekerja di Unit Ladang, UiTM Sarawak.

Sepuluh orang (10) anggota Kumpulan KMK Belian, 3 daripada mereka adalah golongan akademik yang kebanyakannya adalah pensyarah pengurusan ladang manakala selebihnya pekerja di unit ladang.

Inovasi ini terhasil hasil gabungan idea pensyarah dan pekerja di unit ladang. Siapa sangka mereka berjaya menghasilkan Belitech Applicator.

“Kami memilih projek berkaitan perladangan disebabkan itulah sebahagian daripada tugas kita”, jelas Encik Abdul Rahim Mohd Noor, salah seorang ahli Kumpulan Belian yang juga pekerja di Unit Ladang.

“Projek yang kami usahakan Belitech Applicator berperanan memudahkan tugas kami disini”, jelasnya

Menurut Abdul Rahim, berdasarkan pengalaman yang diperolehi ketika bekerja di Unit Ladang sedikit sebanyak membantunya menerangkan kepada ahli kumpulannya yang lain bagaimana dapat melaksanakan sesuatu ciptaan itu dengan berkesan.

Jelasnya, dia menganggap penglibatannya dalam KMK adalah pengalaman baru bagi dirinya terutama dalam penghasilan beberapa ujikaji dan pembentangan hasil kerja.

Dia menganggap ini adalah sebahagian daripada usaha penyelidikan yang berkaitan dengan kerjanya di Unit Ladang.

Pada perspektif para akademik pula, Zulkifli Aswan, Pengurus Unit Ladang selaku fasilitator pula berkata gandingan ini amat berjaya disebabkan para akademik memiliki pengetahuan yang lengkap mengenai sesuatu hasil tanaman manakala para pekerja memiliki kemahiran serta mengetahui selok-belok secara praktikal.

“Sekiranya digabung kemahiran ini secara teori dan praktikal, kita akan mempunyai gambaran yang jelas mengenai apa yang kita laksanakan”,jelas Zulkifli.

Menurut Zulkifli lagi, kebanyakan ahli kumpulan terutamanya pekerja di unit ladang mempunyai banyak idea namun mereka kurang mengetahui bagaimana cara untuk mengembangkannya dan disinilah letaknya peranan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) membantu mereka.

“Kebanyakan ahli kumpulan yang terdiri daripada pekerja memiliki banyak idea yang bernas dan disinilah kita sebagai pakar akademik membantu mengilap dan merealisasikan idea berkenaan”,jelas Zulkifli.

Apa yang menariknya, tambah beliau KMK memberikan kepuasan kepada semua ahli terutama apabila sesuatu idea itu diterima pakai oleh kumpulan.

Selain itu, KMK bertindak sebagai platform bagi mencambah idea dan meluaskan pemikiran di kalangan ahli.

Secara tidak langsung, menurut beliau KMK ini boleh dijadikan platform menyatukan staf di samping menepis tanggapan bahawa inovasi itu hanya boleh dilakukan di peringkat atas, namun golongan pekerja peringkat rendah juga mampu untuk menyumbang idea.

KMK berupaya memberikan motivasi kepada pekerja dengan menghargai idea dan penglibatan mereka dalam kumpulan.

Menurut Abdul Rahman Saili selaku Ketua Kumpulan pada permulaannya memang agak sukar untuk mengendalikan KMK disebabkan kebanyakan ahli adalah baru dan mempunyai latar belakang 2 (dua) tugas yang berbeza.

Namun setelah melalui beberapa perbincangan dalam kumpulan, penganjuran bengkel KMK dan perbincangan dan akhirnya pemahaman mereka mengenai konsep KMK semakin jelas. Ini mewujudkan suasana yang memudahkan pelaksanaan tugasan untuk projek yang dirancang.

“Bagi kami, di kalangan ahli akademik, ini dilihat sebagai sebahagian daripada penyelidikan dan pihak pengurusan sentiasa mengalakkan ahli terlibat secara langsung dalam bidang reka-cipta dan penyelidikan.”

Masalah masa juga antara cabaran besar dalam kumpulan ini yang disebabkan kebanyakan para akademik mempunyai jadual pengajaran yang ketat manakala pekerja yang terpaksa mengurus tugasan mereka di ladang.

Walaupun berdepan dengan kekangan masa, masing-masing cuba mencari ruang yang sesuai untuk mengadakan perjumpaan. Salah satu cara mengatasinya ialah dengan menganjurkan bengkel agar mereka dapat berkumpul bersama dan berbincang.

KMK turut menuntut kepada pengorbanan yang besar iaitu bertugas di luar waktu pejabat tetapi kebanyakan ahli memberikan kerjasama dan mempamerkan semangat yang kuat dalam setiap perbincangan.

Masing-masing bersetuju bahawa usaha penambahbaikan boleh dilakukan di mana-mana, dengan syarat mesti ada kesungguhan ke arah melaksanakannya.

Belitech Applicator adalah sejenis alat yang memudahkan proses meletakkan pil penggalak (hormon) ke tanaman nanas berkenaan.

Penghasilannya amat mudah yang terdiri daripada tiga (3) komponen utama iaitu satu injap (sebagai bekas), penolak injap berkenaan dan corong pil (tempat meletakkan tablet pil).
Hasil inovasi Belitech Applicator berjaya mendapat tempat ke tiga (kategori Teknikal) dalam Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja, Sektor Awam 2006 Peringkat Negeri Sarawak.

Apa kata ahli Kumpulan Belian Tentang kejayaan mereka dalam projek KMK

Zulkifli Aswan – Fasilitator
“Suatu pendedahan idea peringkat bawahan dihargai”

Abdul Rahman Saili–Ketua Kumpulan
“Kadangkala inilah masanya melalui KMK, kita menterjemahkan apa yang dipelajari menjadi satu inovasi atau ciptaan yang menguntungkan kita dalam pengurusan tanaman atau ladang”

Abdul Karim Othman –Ahli
“Inovasi ini dan bidang tugas di Unit Ladang adalah saling berkaitan. Pada masa inilah saya sebagai pekerja menyumbang idea dan kepakaran dalam bidang ini”

Abdul Rahim Mohd Noor-Ahli
“Perkongsian maklumat penting dalam memastikan sesuatu kerja itu berhasil. Peluang ini saya perolehi dalam penglibatan KMK”

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article