- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sangkar Ikan Sumbang Pendapatan

Must read

Sejak tahun 2002,
seramai 10 orang peserta yang terlibat dengan Projek Sangkar Ikan di Kampung
Suyong Balingian tidak menyangka akan mampu meraih pendapatan yang agak lumayan
dengan hanya mengusahakan ikan tilapia merah dalam sangkar.

Sebelum ini, para peserta
berkenaan yang terdiri daripada penduduk kampung perlu bekerja sekerat hari
turun ke laut, menebang batang rumbia untuk dijual ataupun bekerja dengan pihak
swasta.

Namun, hasil yang
diperoleh mereka tidak menentu terutama bagi mereka yang turun ke laut.

Tetapi, semenjak
tahun 2002 gaya hidup mereka telah berubah setelah Jabatan Pertanian
menyalurkan bantuan bagi memulakan projek ternakan ikan tilapia dalam sangkar.

Sejumlah kira-kira
RM125 ribu telah disalurkan bagi projek ini yang merangkumi struktur sangkar,
jejaring, stor makanan, makanan ikan serta benih ikan untuk pusingan pertama.

Projek Sangkar Ikan
Air Tawar Kampung Suyong merupakan projek pertama seumpamanya di Bahagian Mukah
yang terletak dalam kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Balingian.

Kumpulan itu
mengusahakan 40 unit sangkar (saiz 3m x 3m x 3m seunit) yang terletak di
kawasan tebingan Batang Balingian yang terkenal dengan keenakan udang galahnya.

Kawasan itu dipilih
kerana kedudukannya yang strategik dari segi kedalaman dan aliran pasang surut
sungai.

Menurut En. Lim Choon
Huat, ketua kumpulan bagi projek berkenaan, projek sangkar ikan tilapia merah
mereka telah menjana pendapatan mencecah RM62 ribu yang membabitkan hasil
tuaian berjumlah kira-kira 10 tan metrik pada tahun lalu.

Permintaan pasaran
juga tinggi dengan harga borong kira-kira RM6.50 sekilogram dan RM10.00
sekilogram untuk harga runcit.

Katanya, setiap
sangkar ikan memuatkan sejumlah antara 300 hingga 500 ekor ikan tilapia.
Ikan-ikan berkenaan akan dapat dijual selepas enam bulan.

Jelas En. Lim, mereka
tidak mempunyai sebarang masalah dalam soal penjagaan ikan. Ini kerana setiap
ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab masing-masing, dari pembelian bekalan
makanan sehingga kepada perkara pengurusan stor dan stok.

Malah, mereka juga
mempunyai jadual penjagaan harian yang membolehkan ahli yang tidak mempunyai
tugas pada hari berkenaan melakukan kerja lain seperti menebang rumbia dan
bercucuk tanam untuk menambah pendapatan keluarga.

Ketika ini, kawasan
pasaran bagi ikan tilapia mereka ialah di sekitar pekan Balingian, Mukah,
Selangau serta Bandar Bintulu dan Sibu.

Katanya, minat untuk
melibatkan diri dalam usaha itu timbul setelah ahli kumpulan melihat kejayaan
projek yang sama di Batang Ai, Sri Aman. Di samping itu, kesungguhan pihak
Jabatan Pertanian untuk membantu turut menjadikan minat mereka menjadi
kenyataan.

Namun menurutnya,
masalah yang paling ketara ketika ini ialah untuk mendapatkan bekalan benih
atau anak ikan tilapia secara berterusan. Ia memandangkan bekalan benih yang
terhad di samping kos pengangkutan yang agak tinggi dan berisiko bagi kematian
anak ikan yang dibawa dari Kuching.

Walau bagaimanapun,
masalah itu akan dapat ditangani dalam tahun ini kerana Jabatan Pertanian telah
merancang untuk memberi latihan komprehensif tentang pembiakan ikan tilapia
kerana para peserta projek berkenaan.

Menurut En.
Kairulnieza Waynie, Pen. Pegawai Perikanan Bahagian Mukah, usaha itu amat perlu
memandangkan ia mampu mengurangkan kos dan seterusnya mampu meningkatkan
pendapatan para pengusaha.

Malah usaha itu juga
akan membantu mengelakkan masalah sangkar dalam keadaan kosong untuk jangkamasa
yang lama.

En. Kairulnieza juga
menjelaskan keunikan tilapia merah yang diternak di Batang Balingian ialah dari
segi tekstur isinya yang pejal serta rasanya yang manis.

Ia berikutan
perubahan air pasang surut yang berlaku setiap hari di Batang Balingian. Air
pasang surut itu telah membawa masuk air laut ke Batang Balingian yang
kemudiannya bertemu dengan air tawar dari ulu sungai.

Sementara itu,
pihaknya juga mengunjurkan projek itu mempunyai potensi yang amat baik untuk
terus maju dan dapat menjana pendapatan antara RM50 ribu dan RM70 ribu setahun
pada tahun-tahun akan datang.

Bersandar kepada
perkembangan pesat di Bahagian Mukah serta jalinan jalan raya pesisir yang akan
menghubungkan Bahagian Mukah ke Bintulu, En. Kairulnieza yakin unjuran itu akan
mampu dicapai oleh para peserta projek berkenaan.

Sementara itu,
menurut En. Frederick Uloh, Pem. Pertanian Menguasa Jabatan Pertanian
Balingian, keyakinan serta komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta selama
ini telah banyak membantu kumpulan itu menjadi Johan Pengusaha Jaya Ternakan
Ikan (Sangkar) bagi Kategori Penternak Ikan/Udang pada Pertandingan Peladang,
Penternak dan Nelayan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat
Negeri Sarawak 2006.

Ia merupakan
pencapaian terbaik kumpulan berkenaan setelah berjaya merangkul Naib Johan pada
tahun sebelumnya atas daya usaha dan komitmen cemerlang yang telah ditunjukkan
mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article