Perkembangan sukan negara
di peringkat antarabangsa tidak pernah sepi daripada pelbagai kritikan merujuk
kepada prestasi tidak konsisten yang dipamer para atlet dalam beberapa sukan
tertentu.
Sukan penting bukan sahaja dalam melahirkan rakyat yang
cergas dan cerdas dari segi kesihatan malah meningkatkan produktiviti negara,
malah meningkatkan tukaran wang asing melalui penganjuran aktiviti berprestij
dunia.
Menyedari negara perlu
menjadi “kuasa sukan”, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan juga memutuskan
untuk memperkenalkan sukan teras yang terdiri daripada lapan (8) jenis sukan
seperti akuatik, badminton, bola sepak, boling, gimnastik, hoki, olahraga dan
skuasy
Pembangunan sukan
teras ini turut diperluaskan ke setiap bahagian dan daerah dalam usaha
pencarian bakat dalam sukan berkenaan.
Bagi memastikan negara
tidak ketandusan “bintang”, kerajaan juga giat mewujudkan sekolah sukan, yang
dalam masa yang sama bertindak sebagai gelanggang mencari pelapis baru bagi
memastikan kita tidak ketandusan.
Mengapakah prestasi
tidak konsisten ini masih berlaku? Di manakah silapnya kita?.Walaupun negara
pernah melakar kejayaan dalam beberapa sukan terpilih namun ia lebih bersifat
sukan berprestasi tinggi ataupun program pembangunan sukan intensif.
Kita boleh saksikan
kecemerlangan tersebut antaranya kehebatan pemain skuasy negara, Nicol Ann
David, pada tahun lepas sahaja yang mengharumkan nama negara setelah dinobatkan
selaku pemain terbaik dunia dan menjuarai enam (6) perlawanan melibatkan
Terbuka Kuala Lumpur,Terbuka Kuwait,Terbuka Belanda,Terbuka Malaysia, Terbuka
British,Terbuka Dunia di Hong Kong.
Pencapaian cemerlang
turut hadir menerusi badminton apabila lima (5) kejuaraan perseorangan milik
negara menerusi Hafiz Hashim di Terbuka Switzerland, Thailand dan Belanda
manakala Lee Chong Wei di Terbuka Malaysia dan Denmark.
Kejayaan memberangsangkan kontinjen
negara pada temasya Sukan Sea di Manila pada tahun lepas meraih 61 pingat emas,
50 perak dan 64 gangsa turut membanggakan kita. Banyak lain sukan yang
mempamerkan kecemerlangan antaranya seperti olahraga, renang, gimnastik
artistic dan gimrama.
Bagaimana pula dengan sukan massa (melibatkan masyarakat secara
menyeluruh) ?
Kita masih kurang
membudayakan sukan yang melibatkan semua masyarakat sehingga ke tahap mereka
boleh menerima sukan itu sebahagian daripada gaya hidup.
Bak
kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pencarian bakat
terpendam seharusnya bermula pada peringkat usia yang muda.
Mengambil contoh kebanyakan
negara maju, antaranya Amerika Syarikat, Korea Selatan, China dan Jepun, negara
ini mencari “jaguh” sukan bermula dengan menanam semangat dan budaya sukan pada
peringkat yang awal.
Menyedari pentingnya,
sukan dihayati semua peringkat usia, kerajaan melalui Kementerian Belia dan
Sukan (KBS) mengambil tindakan drastik memperkenalkan Liga Sukan Komuniti
bermula Mei tahun ini (2006)
Objektif Utama Liga Sukan Komuniti
- Membudayakan sukan didalam aktiviti masyarakat Malaysia.
- Mencungkil bakat-bakat baru dan muda didalam bidang sukan.
Liga yang mengambil
tempoh pelaksanaan selama empat bulan bagi sesebuah kawasan ini membabitkan 567
Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 13 kawasan Parlimen.
Sudah tiba masanya kita
membudayakan sukan serta menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup kita.
Selama ini kita melahirkan atlit hanya untuk menyertai pertandingan sahaja.
Mereka dilatih, diberi tunjuk ajar sehinggalah sampai ke masanya mereka
menyertai pertandingan.
Kebiasaan seumpama itu
harus dibuang sebaliknya cuba membentuk budaya sukan baru dan melalui Sukan
Komuniti ini ia boleh dicapai. Siapa tahu, mungkin ada di kalangan rakan anda
mahupun di dalam komuniti di tempat anda, yang bakatnya berjaya dicungkil dan
seterusnya mewakili negara suatu hari kelak.
Pendekatan Liga Sukan
Komuniti dilihat sebagai pendekatan proaktif kerajaan dalam mengalakkan secara
langsung penglibatan masyarakat dalam sukan dengan mengambil kira minat
masyarakat.
Menurut Menteri Belia
dan Sukan, YB Datuk Azalina Othman, liga Sukan Komuniti diwujudkan dengan
meletakkan sasaran melahirkan ramai bakat muda yang berpotensi di peringkat
akar umbi yang pastinya suatu hari kelak boleh mewakili negara.
Kalau ditinjau dari
aspek lain, liga sukan komuniti ini bukan sekadar membudayakan sukan, malah
lebih penting ia dapat memperkukuhkan semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum
dan “mengetegrasikan” komuniti dalam sesuatu kawasan melalui aktiviti bersukan.
Malah Perdana
Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pernah menyuarakan
pelaksanaan program itu antara langkah terbaik untuk melahirkan modal insan
yang memiliki minda cerdas dan kesihatan yang baik.
Sebagai menyokong
program ini, kerajaan turut bersetuju untuk membina Kompleks Sukan Komuniti
(KSK) di setiap kawasan DUN dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) seperti yang diumumkan Perdana Menteri
dalam Bajet 2007 baru-baru ini.
Perkara ini turut
diperjelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan telah memutuskan 50
buah kompleks sukan komuniti akan dibina di peringkat Dewan Undangan Negeri.
Liga Sukan Komuniti
anjuran KBS mempertandingkan enam jenis sukan iaitu badminton, bola tampar,
bola jaring, futsal, sepak takraw dan bola keranjang yang diadakan hampir
setiap hujung minggu. Walaubagaimanapun
cuma empat aktiviti yang diadakan.
Pemilihan jenis sukan
tersebut adalah berdasarkan kepopularan sukan berkenaan di peringkat akar umbi
di samping mudah untuk dikendalikan.
Penganjurannya
membabitkan komuniti tempatan secara keseluruhan dengan masing-masing diberi
tanggungjawab dalam melaksana dan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan
berkaitan dengan Sukan Komuniti di kawasan yang dipertandingkan.
Penyertaan bagi liga
itu terbuka kepada komuniti tempatan, kelab sukan komuniti, kelab belia dan
pasukan serta individu. Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat tidak
mengira bangsa, agama, status seseorang serta dibuka kepada peserta berusia 15
tahun ke atas kecuali badminton yang terbuka kepada peserta berusia 19 tahun ke
atas.
Liga yang berlangsung
peringkat DUN ini menawarkan hadiah sebanyak RM500 untuk juara diikuti RM300
(kedua), RM200 (ketiga) dan RM100 (keempat).
Setiap kelab yang
ditubuhkan terlebih dahulu perlu didaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Melalui pengujudan Kelab-Kelab Sukan Komuniti ini diharap dapat merealisasikan
hasrat kerajaan agar sukan akan kembali “segar” bermula di peringkat komuniti
lagi.
Sejak diperkenalkan
pada Mei lalu (sehingga September) sejumlah 249,188 peserta membabitkan 27,247
pasukan beraksi pada Liga Sukan Komuniti di seluruh negara.
Di Sarawak terdapat
61 Kelab Sukan Komuniti telah ditubuhkan dengan setakat ini 60 kawasan DUN yang
telah mengendalikan sukan berkenaan.
Berdasarkan statistik
sehingga kini, program tersebut mendapat sambutan yang mengalakkan dengan
penglibatan 567 Kelab Sukan.
Minat orang ramai
terhadap sukan juga semakin meningkat dengan setiap hujung minggu ada saja
perlawanan berlangsung sehingga terdapat cadangan baru-baru ini untuk
melanjutkan aktiviti sehingga ke waktu malam.
Penganjuran liga itu
diharap dapat menjadi pencetus kepada usaha meningkatkan penglibatan masyarakat
dalam akitiviti sukan ke arah merealisasikan masyarakat berbudaya sukan.
Pada akhirnya, segalanya terletak kepada
masyarakat itu sendiri bagaimana untuk menghargai pelaburan besar kerajaan
dengan menterjemahkannya kepada pencapaian cemerlang sukan negara ke peringkat
antarabangsa.