- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Menangani Masalah Ketidaksamaan Sosioekonomi

Must read

Teras Ketiga Misi Nasional

Kerajaan mendokong
matlamat untuk membasmi kemiskinan, menjana pembangunan lebih seimbang, serta
memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat secara adil dan saksama.

Usaha berterusan untuk membasmi
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat telah dilaksanakan semenjak peristiwa
13 Mei 1969 yang dikenalpasti berpunca daripada ketidaksamaan ekonomi di
kalangan rakyat serta pengagihan kemakmuran ekonomi yang tidak seimbang.

Justeru, pelbagai perubahan dan perancangan
telah dilaksanakan sehingga ketidaksamaan mampu dirapatkan dan pengagihan
kekayaan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di negara
ini.

Sungguhpun demikian, sejak awal
tahun 90-an kemajuan yang dicapai kian terbatas apabila proses liberalisasi
mula melanda dunia. Ia kemudiannya semakin merosot apabila negara dilanda
krisis kewangan sekitar tahun 1998.

Akibatnya, pelaksanaan Rancangan Malaysia
kelapan (RMK8) turut dibayangi dengan ketidakseimbangan dari segi pendapatan,
terutama antara kaum, antara yang kaya dengan yang miskin, serta antara kawasan
bandar dengan luar bandar kembali ketara.

Laporan 2004 UNDP (United Nations Development
Program) menyebut bahawa 10 peratus kumpulan rakyat terkaya di Malaysia
menguasai kira-kira 38.4 peratus ekonomi negara manakala 10 peratus kumpulan
rakyat termiskin menguasai hanya kira-kira 1.7 peratus.

Sementara
itu, Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS)
1999 menunjukkan kadar kemiskinan masih tinggi di kalangan Bidayuh di Sarawak
dan Kadazanduzun, Bajau dan Murut di Sabah.

HIS khas pada tahun 2002 mengenai minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak
pula menunjukkan kadar kemiskinan adalah tinggi di kalangan Bidayuh, Kenyah,
Kayan, Kadayan, Penan dan Lun Bawang di Sarawak.

Ketidakseimbangan
dari segi penyertaan kumpulan etnik dalam perkhidmatan awam di pelbagai sektor
tertentu seperti perkhidmatan polis dan tentera juga masih ketara.

Sehingga Jun 2005,
daripada seramai 899,250 kakitangan awam di negara ini, seramai 77.04 peratus
adalah Melayu, 9.37 peratus kaum Cina, 5.12 peratus kaum India, 37.7 peratus
Bumiputera dan 0.7 peratus kaum-kaum lain.

Walaupun pelbagai
usaha dan inisiatif diambil kerajaan, kadar kemasukan bukan Bumiputera dalam
perkhidmatan awam, khususnya dua sektor perkhidmatan tersebut belum mencapai
tahap yang diinginkan.

Sehubungan itu, kerajaan memberi
penekanan semula kepada usaha menangani keadaan ketidaksamaan sosioekonomi
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) melalui pelbagai strategi yang
berlandaskan kepada tiga prinsip berikut:


  • Pertama, membasmi kemiskinan supaya tidak ada rakyat yang
    ditinggalkan dari arus pembangunan, dan dengan itu memperkukuh landasan
    sosioekonomi negara agar ekonomi nasional dapat terus dibangunkan secara mapan;
  • Kedua, menjana
    arus pembangunan yang lebih seimbang, terutamanya di kawasan yang kurang
    mengalami pembangunan, dan seterusnya membuka lebih banyak peluang penyertaan
    dalam ekonomi negara; dan
  • Ketiga, memastikan bahawa manfaat daripada pembangunan
    ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama.

Membasmi Kemiskinan

Semenjak Pendapatan Garis
Kemiskinan (PGK) diperkenal pada
tahun 1977, banyak perubahan telah berlaku dari segi struktur harga, corak
perbelanjaan dan taraf hidup rakyat. Justeru, kerajaan telah mengkaji semula
ukuran PGK untuk disesuaikan dengan
keadaan berkenaan.

Berdasarkan PGK1 baru, kadar kemiskinan dalam negara berada pada
tahap 5.7 peratus dan kemiskinan tegar pada tahap 1.2 peratus pada tahun
2004.

Menjelang tahun 2010, kerajaan
menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8
peratus dan membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar.

Bagi mencapai sasaran itu,
kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha bina upaya di kalangan golongan
miskin dengan menambah baik akses kepada pendidikan dan kemahiran, memupuk
nilai positif serta membina keyakinan dan motivasi diri.

Usaha itu akan meningkatkan
penyertaan golongan berpendapatan rendah secara aktif dalam aktiviti ekonomi.

Mencapai Pariti Pendapatan

Walaupun pendapatan isi rumah
purata meningkat, jurang pendapatan keseluruhan dan antara kawasan bandar
dengan luar bandar semakin melebar. Nisbah antara isi rumah bandar dengan isi
rumah luar bandar meningkat dari 1:1.81 pada tahun 1999 kepada 1:2.11 pada
2004.

Sehubungan itu, usaha bersepadu
akan dilaksanakan ke arah mencapai pariti pendapatan dan merapatkan jurang
pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar serta di antara etnik di
negara ini.

Jurang pendapatan antara luar
bandar dengan bandar akan dikurangkan dari 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2
pada tahun 2010. Kerajaan juga
mensasarkan untuk meningkatkan peratusan pendapatan isi rumah bagi kumpulan
penduduk 40 peratus terendah.

Memacu Pembangunan Wilayah

Walaupun pelbagai projek dan
program pembangunan dibawa ke kawasan luar bandar, kualiti dan gaya hidup
penduduknya masih ketinggalan daripada apa yang dinikmati oleh mereka yang
tinggal di bandar.

Sehubungan itu, lebih banyak
kawasan pertumbuhan baru akan dibangunkan, termasuk mengambil pendekatan
merentasi sempadan negeri untuk membolehkan sesuatu projek memberi manfaat
kepada beberapa negeri secara serentak.

Ia termasuk membangunkan Koridor
Utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Perak Utara dan Seberang Perai), Koridor
Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang Timur) serta Sabah dan Sarawak.

Pembangunan kawasan secara
bersepadu juga akan dilaksanakan bagi menyatukan kampung serta mewujudkan pusat
pertumbuhan baru.

Di samping itu, kemudahan
prasarana akan ditambah baik dan pertumbuhan peluang baru ekonomi digalakkan
untuk menjana pendapatan dan pekerjaan terutamanya berkaitan pertanian baru,
industri asas tani dan sektor perkhidmatan.

Bagi tujuan itu, sejumlah RM1.2
bilion akan dibelanjakan bagi menambah baik bekalan air ke kawasan luar bandar,
RM1.0 bilion bagi bekalan elektrik luar bandar, RM2.7 bilion bagi pembinaan
jalan raya luar bandar dan RM900 juta bagi jalan kampung.

Lembaga Kemajuan Wilayah juga
akan ditubuhkan di Sabah dan Sarawak yang akan menumpukan kepada pembangunan
kawasan pedalaman dan pusat pertumbuhan desa di dua negeri itu.

Mengurangkan Jurang Kekayaan

Usaha akan diteruskan untuk
mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera
menjelang tahun 2020 daripada kira-kira 18.9 peratus pada ketika ini.

Untuk itu, program penswastaan
akan terus berperanan sebagai landasan bagi membantu Bumiputera berkelayakan
untuk menyertai perniagaan. Selain itu, kerajaan juga akan membangunkan sumber
modal Bumiputera seperti tanah dan harta wakaf di bawah tanggungjawab pihak
berkuasa agama Islam negeri, meningkatkan pemilikan kekayaan Bumiputera ke atas
harta kediaman dan perniagaan di kawasan bandar serta menggalakkan lebih banyak
pemilikan harta intelektual.

Bantuan pembangunan bagi tanah
adat dan tanah pribumi di Sabah dan Sarawak juga akan ditingkatkan.

Masyarakat Orang Asli turut
tidak ketinggalan apabila satu pelan pembangunan komprehensif akan
dilaksanakan. Usaha itu termasuk mewujudkan peluang penjanaan pendapatan
menerusi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan skim penempatan
semula serta memperkenalkan program keusahawanan luar bandar di kalangan
mereka.

Langkah sewajarnya juga akan dilaksanakan untuk meningkatkan pemilikan
ekuiti etnik India kepada 3 peratus menjelang tahun 2020 di samping
menggalakkan keusahawanan, peluang latihan kemahiran untuk belia India melalui
penambahan tempat di Pusat Giat MARA dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
serta penubuhan Pusat Putra.

Menstruktur Semula Pola Pekerjaan

Seperti yang telah ditunjukkan
pada bahagian awal teras ketiga ini, pola pekerjaan di negara ini belum
menggambarkan komposisi semua kaum dalam semua sektor pekerjaan.

Sehubungan itu, kerajaan akan
meningkatkan usaha memastikan bahawa pola pekerjaan benar-benar mencerminkan
komposisi kaum masyarakat Malaysia terutama melalui peranan sektor swasta
supaya turut sama memacu penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor yang masih
kurang disertai oleh Bumiputera.

Usaha juga perlu diperhebat
untuk meningkatkan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam dan
sektor-sektor yang lain.

Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera Generasi
Baru

Pembangunan Masyarakat
Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)
akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha menyusun semula masyarakat
dan memastikan penyertaan lebih bererti Bumiputera dalam sektor ekonomi.

Bermulanya
RMK9 bermakna Program MPPB telah memasuki Fasa Kedua. Fokus kali ini
ialah untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang berdikari, berdaya tahan dan
berdaya saing serta PKS Bumiputera yang mantap.

Di samping itu, program
pembangunan francais dan vendor akan diperkukuh dan pendekatan
lebih sistematik serta berfokus akan diguna pakai ke arah pembangunan usahawan
luar bandar, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) asas tani dan PKS
kraftangan.

Mencapai Pembangunan Lebih Seimbang dan Bermakna

Usaha ini bertujuan
untuk mengembang dan mengagihkan semula pertumbuhan ekonomi negara pada masa
akan datang secara beransur-ansur melalui penyertaan secara aktif dan langsung
semua pihak dalam proses penjanaan pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui
usaha itu, pendapatan isi-rumah akan dapat dipertingkat sebanyak 25 peratus
dari tahap purata ketika ini sekaligus mewujudkan pembangunan yang lebih
seimbang dan bermakna untuk menjamin keadilan sosial dan memupuk keharmonian
rakyat.

Nota

1 Kajian semula PGK pada tahun 2005 bertujuan untuk menghasilkan pengukuran
kemiskinan yang menggambarkan perbezaan kos sara hidup antara kawasan bandar
dan luar bandar, antara negeri serta pola demografi setiap isi rumah, bagi
memberi pengukuran yang lebih tepat mengenai keadaan dan tahap kemiskinan di
Malaysia.

PGK terdiri daripada dua komponen iaitu
PGK makanan dan bukan makanan. PGK makanan mengambilkira keperluan harian
kilokalori setiap individu apabila mengambil makanan seimbang. Sementara itu, PGK
bukan makanan terdiri daripada pakaian, perumahan, pengangkutan dan
perbelanjaan lain yang dikira berasaskan kepada penyiasatan perbelanjaan isi
rumah.

PGK
ditentukan secara berasingan bagi setiap isi rumah dalam penyiasatan pendapatan
isi rumah (HIS) mengikut saiz, komposisi demografi dan lokasi (negeri dan
strata). Sesebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatan isi rumah tersebut
kurang daripada PGKnya, bermakna isi rumah itu kekurangan sumber untuk memenuhi
keperluan asas setiap ahlinya. Sementara itu, sesebuah isi rumah dianggap
sebagai miskin tegar jika pendapatan bulanan isi rumah itu kurang daripada PGK
makanannya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article