- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Penerokaan Biodiversiti Perlu Diimbangi

Must read

Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah
daripada 12 wilayah mega biodiversiti (kepelbagaian tumbuhan, haiwan dan
mikro-organisma) di dunia.

Rekod menunjukkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya 20
ribu spesis tumbuhan, hampir 15 ribu daripadanya merupakan spesis tumbuhan
berbunga, 200 spesis mamalia, 600 spesis burung, 140 spesis ular, 150 spesis
katak dan ribuan spesis serangga.

Daripada jumlah spesis tumbuhan itu, lebih kurang 1,230
spesis dilaporkan mempunyai nilai perubatan dan hampir 200 spesis biasa
digunakan sebagai bahan untuk produk herba dan ubat tradisional di kalangan
masyarakat kita.

Sudah tentu kita
harus berasa megah dengan pengiktirafan itu kerana ia merupakan pintu kepada
kamajuan pelbagai sektor ekonomi seperti
bioteknologi, biofarmaseutikal dan pelancongan.

Misalnya, kira-kira
75 peratus bekalan herba tempatan yang digunakan untuk pemprosesan ubat-ubatan
tradisional diperoleh dari hutan.

Malah,
pasaran bahan mentah herba berpotensi cerah untuk terus berkembang dalam
industri wangian, kosmetik dan toiletries
di pasaran tempatan dan dijangka mencecah nilai RM333.7 juta pada tahun 2010.

Sementara
laporan oleh World Bank pula menyebut
bahawa nilai pasaran herba akan meningkat kepada RM19 trilion di seluruh dunia
pada tahun 2050 berikutan perkembangan pesatnya dalam bidang perubatan,
farmaseutikal, makanan kesihatan dan makanan tambahan, pewangi dan industri
bau-bauan, kosmetik, toiletries,
bio-pesticide
dan kimia industri.

Di Sarawak, kira-kira
80 peratus atau 10 juta hektar daripada keluasan negeri ini masih dilitupi oleh
hutan
semulajadi. Keluasan
itu sudah semestinya telah dapat memberikan gambaran betapa luasnya peluang
yang mampu disediakan oleh khazanah biodiversiti kita.

Namun, cabaran
terbesar ialah bagaimana hasil daripada sumber kekayaan biodiversiti itu boleh
diterokai dan memberi manfaat untuk faedah bersama.

Pada masa yang sama
bagaimana kita hendak memastikan bahawa kekayaan khazanah hutan kita tidak akan
pupus akibat pembalakan, penerokaan tanah yang tidak teratur dan pencemaran?

Dua persoalan itu
turut ditekankan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri
Muhyiddin Yassin selepas merasmikan Sistem Maklumat Agrobiodiversiti Negara dan
Persidangan Kebangsaan Mengenai Pemuliharaan dan Penggunaan Agrobiodiversiti
Secara Lestari di Kuching baru-baru ini.

Menurutnya, antara
langkah yang perlu dilaksanakan ialah dengan meningkatkan program penyelidikan
dan pembangunan (R&D) terhadap
kepelbagaian sumber biodiversiti di negara ini.

Melalui langkah itu,
negara bukan sahaja akan dapat manfaat lebih banyak sumber genetik tanaman baru
yang berpotensi diterokai, tetapi juga membantu memajukan sektor pertanian
negara dengan mengeluarkan hasil berkualiti bagi menampung permintaan industri
makanan.

Industri makanan
negara mencatatkan defisit dagangan yang meningkat kepada kira-kira RM7.4
billion pada tahun 2005 daripada kira-kira RM5.3 bilion lima tahun sebelumnya.

Lima tahun akan
datang, defisit itu pasti terus meningkat jika usaha mengimbanginya tidak
dilipatgandakan kerana bilangan penduduk negara dijangka mencapai 28.9 juta
orang menjelang tahun 2010 dari seramai 26.7 juta ketika ini.

Jika R&D berkembang dan dikomersilkan, ia
bukan sahaja akan memberi manfaat kepada sektor pertanian dan industri makanan
tetapi juga semua sektor lain berkaitan dengan biodiversiti.

Pada masa yang sama, usaha memelihara
dan memulihara sumber biodiversiti negara terletak pada tanggungjawab dan usaha
kerajaan negeri masing-masing.

Di Sarawak usaha itu
dipelopori oleh Sarawak Forestry
Corporation
(SFC), Sarawak
Biodiversity Centre
(SBC), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak
(STIDC) serta beberapa buah agensi kerajaan yang lain.

Pengurusan sumber hutan dan
biodiversiti secara bestari perlu dilakukan oleh semua pihak demi manfaat
generasi pada hari ini dan masa hadapan.

Dengan kesedaran itu, kita akan mampu
menikmati sumber kekayaan biodiversiti negara pada hari ini dan seterusnya oleh
generasi akan datang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article