- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Perniagaan Pertubuhan Peladang Terus Meningkat

Must read

Pertubuhan Peladang
Negeri Sarawak (PPNS) mencatatkan
peningkatan nilai perniagaan secara berterusan semenjak 10 tahun yang lalu dan
dijangka mencapai jumlah RM23 juta tahun ini.

Nilai perniagaannya
telah meningkat dari RM10 juta pada tahun 1996 kepada kira-kira RM23 juta pada
tahun ini, bersamaan kira-kira RM1.9 juta sebulan. Tahun lalu ia mencatatkan
RM20 juta.

Sementara itu, PPNS bersama-sama rakan kongsi
perniagaannya turut mencatatkan nilai modal pusingan berjumlah RM143 juta pada
tahun lalu dan dijangka mengekalkan pencapaian yang sama pada tahun ini.

Demikian menurut
Pengerusinya, Encik Francis Harden Hollis pada pembukaan Mesyuarat Agung
Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)
ke-21 di Kuching baru-baru ini.

Beliau yang juga
Menteri Muda Pembangunan Tanah menjelaskan bahawa kira-kira 65 peratus daripada
aktiviti perniagaan PPNS adalah di
pasaran terbuka sementara selebihnya adalah dalam captive market Jabatan Pertanian.

PPNS sehingga kini mampu bersaing
dalam pasaran terbuka kerana kepakarannya dalam penawaran input pertanian
seperti makanan ikan, serta produk berasaskan lada dan sagu.

Pada tahun ini, PPNS dijangka mencatatkan keuntungan
bersih berjumlah kira-kira RM500,000 berbanding sebanyak RM354,497 pada tahun
lalu.

Sepanjang 10 tahun
yang lalu, PPNS telah mencatatkan
keuntungan bersih terkumpul berjumlah RM7.8 juta.

Sementara itu, semua PPK di negeri ini akan menerima sejumlah RM105,850 dalam bentuk
dividen dan sumbangan pada tahun ini. Pada ketika ini terdapat sejumlah 28 buah
PPK yang mewakili kira-kira 147 ribu
buah keluarga tani.

Sebenarnya fokus
utama PPNS bukanlah untuk mendapatkan
keuntungan semata-mata. Sehubungan itu, matlamatnya bukan untuk memaksimumkan
keuntungan. Sebaliknya kebajikan para ahlinya di dalam PPK adalah lebih utama.

Aktiviti perniagaan
utama PPNS ketika ini ialah jual beli
dan kerja kontrak. Selain itu, ia juga mengendalikan beberapa estet mini getah,
sagu, kelapa sawit dan padi dengan kerjasama daripada Kementerian Pemodenan
Pertanian Sarawak dan Jabatan Pertanian Negeri.

Dengan pengalaman
yang dimiliki, kini PPNS telah
bersedia untuk mengorak langkah meluaskan pasarannya ke luar negeri. Ketika ini
pasaran ladanya telah berjaya menembusi pasaran negara China dan beberapa
negara Eropah, selain daripada pasaran buah mata naga (dragon fruit) yang telah
sampai ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

PPNS
merupakan pertubuhan
korporat yang bertindak sebagai badan perniagaan bagi Jabatan Pertanian Sarawak
yang diperbadankan pada 2 Januari 1986 dan diletakkan di bawah bidang kuasa
Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article