- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bakat Sebagai Sumber Rezeki

Must read

Kadangkala bakat ataupun kemahiran boleh dijadikan asas kepada pengembangan cabang rezeki.

Bak kata pepatah “hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih”, sekiranya seseorang itu berani mencuba, ganjaran kejayaan sentiasa menanti mereka.

Begitulah kisahnya Puan Salamah Bte Madong, 49, yang berasal dari daerah Daro, Mukah walaupun tidak mempunyai pendidikan khusus mengenai jahitan namun dia cuba memberanikan diri secara serius menerima termpahan pakaian sehinggalah kini dia berasa yakin memenuhi lebih banyak tempahan pakaian.

Kekurangan tersebut tidak pernah mematikan semangatnya untuk berusaha mengembangkan bakatnya. Berbekalkan minatnya yang mendalam, Salamah yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang tersebut juga tidak jemu menimba seberapa banyak mungkin pengalaman mengenai selok-belok bidang jahitan daripada rakan-rakannya.

Jelas Salamah lagi, sekurang-kurangnya usaha mereka (menjahit pakaian) ini boleh meringankan beban tanggungan keluarga.

“Lebih-lebih lagi, inilah kemahiran yang kami ada dan kami akan pastikannya diguna sebaik mungkin untuk meningkatkan hasil pendapatan keluarga”, jelas Salamah.

Mungkin melihat kepada kegigihan mereka, pihak Sarawak Development Insitute (SDI) sudi membantu mereka dengan menyediakan bantuan mesin jahit di bawah program mikro-kredit pada penghujung tahun lepas. Bantuan ini sedikit sebanyak meningkatkan produktiviti mereka.

“Kalau dahulu mungkin untuk menyiapkan sepasang baju memakan masa yang lama, kini kami boleh menyiapkan antara 2 ke 4 pasang dalam sehari”,jelasnya.

Setiap baju yang disiapkannya berharga dalam lingkungan RM17 hingga RM20.

Cuma pada musim perayaan sahaja, dia dapat meraih pendapatan yang agak lumayan kerana pada waktu tersebut tempahan boleh mencecah sehingga ke 70 pasang baju.

Jelas Salamah, mereka cuba untuk memenuhi permintaan dari sekolah berhampiran terutama membuat pakaian seragam sekolah, selain tempahan individu yang lain.

“Kami juga tidak perlu risau untuk menerima tempahan, kerana mesin jahit baru dapat menampung keperluan tersebut, jelas Salamah.

Dia juga tidak memandang ke belakang, sebaliknya merancang untuk memperluaskan serta mempelbagai produk jahitannya termasuklah perhiasan rumah.

Salamah turut menjadikan rumahnya sebagai kelas untuk belajar jahitan, di situlah dijadikan pusat bagi semua ahli kumpulannya berkumpul dan bertukar-tukar maklumat mengenai teknik-teknik jahitan terkini.

Kesungguhan Salamah bersama-sama dengan enam (6) orang lagi rakan-rakannya turut diakui Hamsiah Bte Jokin, pembantu masyarakat (Jabatan Kemajuan Masyarakat Persekutuan) KEMAS yang menyelia mereka. Bagi beliau bantuan seumpamanya mampu menjadi pencetus kepada golongan ini bergiat aktif dalam aktivit menjahit ini.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Salamah, yang telah mendorong Hamsiah membantu mereka dari segi memperkemaskan teknik-teknik jahitan di samping memberi tunjuk ajar bagaimana untuk mengurus rekod tempahan dan jualan dengan berkesan.

Selain Salamah Madong, antara yang mendapat manfaat daripada skim mikro-kredit SDI ialah Anita Bujang; 35, Jamilah Bte Gasa; 52, Hayati Shamsuddin; 36, Masniah Madong; 39, Widyanti Jerajak; 32 dan Jamaiah Jaafar, 33.

Skim Mikro-Kredit tersebut dilancarkan di bawah Program Geran Kecil untuk Projek Penyertaan Masyarakat Dalam Pengurusan Mapan dan Penangkapan Ikan Terubok di Daro Sarawak yang dibiayai Global Environment Facility (GEF), Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP). Projek tersebut telah diselia oleh Sarawak Development Institut (SDI).

Seramai 7 orang peserta Kampung Tebaang menerima 7 mesin jahit yang bernilai kira-kira RM10,575.

Program tersebut menyediakan peluang untuk menambah pendapatan kepada golongan wanita khasnya bagi mereka bergerak aktif dalam kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang mereka miliki.

Ia sedikit sebanyak membantu Salamah dan rakan-rakannya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil jahitan mereka

Bantuan ini amat penting bagi mereka, yang turut menerima kesan daripada berkurangnya tangkapan hasil ikan. Bantuan mesin ini sekurang-kurangnya menjadi persediaan kepada mereka beralih kepada sumber pendapatan yang lebih terjamin.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article