- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sokong Pembangunan Benih Ikan Secara Sistematik

Must read

Mungkin ramai di
kalangan kita tidak menyedari bahawa kualiti dan kapasiti pengeluaran ikan
boleh ditingkatkan sekiranya kita mempunyai kaedah yang sistematik untuk
melaksanakannya.

Pada peringkat
penghasilan benih ikan ianya amat memerlukan kepada satu kaedah yang
benar-benar berkesan agar ia mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran benih ikan
bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.

Masalah seperti
ketidakmampuan menghasilkan bekalan benih ikan yang mencukupi oleh pengusaha hatcheri (tempat pengeluaran benih ikan)
turut menimbulkan masalah kepada pengusaha dan penternak yang menjalankan
penternakan ikan dalam kolam.

Salah satu
faktor yang dikenalpasti kurang diberi perhatian di kalangan penternak ialah
dari segi kaedah pemberian makanan ikan yang masih tidak mempunyai sistem
teratur.

Masalah ini
telah memberi idea kepada sekumpulan lapan (8) orang kakitangan di Stesen
Asuhan Benih Ikan Laut (SABIL) untuk mencari pendekatan terbaik untuk
menghasilkan inovasi yang mampu mengatasi masalah tersebut.

Menurut Zakaria
Mahli, Penolong Pegawai Perikanan, SABIL, Jabatan Perikanan Laut Sarawak,
Santubong, segalanya bermula di peringkat penghasilan benih ikan kerana tanpa
adanya cara yang sistematik ataupun kaedah baru mengawal kualiti ikan di
peringkat penghasilan benih ikan, industri ini kemungkinan besar akan terjejas.

Zakaria yang
juga Ketua Kumpulan tersebut bersama tujuh (7) orang lagi kakitangan SABIL,
telah menggunakan platform Kumpulan
Meningkat Mutu Kerja (KMK) dengan menubuhkan Kumpulan Puteri Sejinjang pada 31
Jun 2005 bagi menangani masalah ini.

Setelah mendapat
kepercayaan dan sokongan di kalangan ahli dan pihak pengurusan dan fasilitator
KMK, mereka pun melaksanakan projek pertama bertajuk “Kaedah Pemberian Makanan
Hidup Untuk Benih Ikan Siakap Berumur 0 hingga 15 hari dalam Kolam Komersil
kurang efisien”

Jelas Zakaria,
daripada KMK tersebut terciptanya kaedah “Aliran Makanan Hidup”, yang berupaya
meningkatkan hasil bekalan benih ikan.

Kajian mengenai
benih ikan siakap dipilih disebabkan ikan tersebut mendapat permintaan yang
mengalakkan dari penternak ikan.

Katanya,
pihak mereka memfokuskan kepada usaha penghasilan benih ikan dari 0 hingga 15 hari termasuklah aspek penjagaan
benih ikan, pemberian makanan ikan di samping penghasilan inovasi berkaitan dengan kaedah pemberian makanan.

Melalui inovasi
itu, mereka telah membangunkan dua (2) komponen utama projek tersebut iaitu
tangki “tempat menyimpan makanan ikan” dan tiub plastik (5mm)-PVC bagi
menyalurkan makanan terus dari tangki ke 34 lokasi aliran di kolam tersebut.

Pihaknya telah
memilih untuk menggunakan saluran PVC sebagai saluran utama menyalurkan makanan
hidup (dalam bentuk cecair) kepada benih ikan di setiap penjuru kolam. Sebuah
tangki khas juga telah dibina bagi tujuan tersebut sebagai tempat menyimpan
makanan.

Cara
penggunaannya, menurut Zakaria amat mudah iaitu dengan mengisi tangki tersebut
dengan air masin yang dimasukkan makanan hidup serta diberi pengudaraan yang
secukupnya. Setelah itu, air (makanan tersebut) dialirkan melalui tiub plastik
ke lokasi kolam.

Menceritakan
lebih lanjut mengenai idea “inovasi” tersebut, Zakaria menjelaskan idea
tersebut diperolehi apabila melihat konsep aliran air paip ataupun di pam
stesen minyak, jadi mereka menambahbaik
daripada idea tersebut.

Mengenai
penjimatan, jelas Zakaria projek itu telah banyak membantu pihaknya
melaksanakan penjimatan kerana kuantiti makanan yang boleh ditentukan pada
peringkat sebelum memasukkan makanan tersebut ke dalam tangki. Ini boleh
mengelakkan pembaziran.

Pada masa yang
sama, pengurangan beban tugas penjagaan dan pemberian makanan dapat dilihat
secara ketara dengan hanya seorang pekerja diperlukan yang mengambil masa hanya
5 jam berbanding kaedah lama dua (2) orang pekerja dengan jangka masa hampir 7
jam.

Ini turut
memberikan kesan dari segi penjimatan kos termasuk kos buruh (RM1,200) dan kos
lain (elektrik dan makanan) sebanyak RM5,000.

Jelas
Zakaria, pemilihan penggunaan tiub
plastik juga didapati lebih mudah, menjimatkan serta tahan lama.

Rasionalnya pada
akhir projek ini, mereka ingin mencari pendekatan berkesan dengan memantau
perkembangan benih ikan dan mereka mendapati bahawa kaedah aliran ternyata memberikan
kesan yang memberangsang.

Zakaria menambah
bahawa kaedah tradisional (dengan menaburkan makanan di kolam) dilihat kurang
berkesan disebabkan akan berlakunya ketidakserataan saiz pada benih ikan.

“Memang menjadi
kebiasaan di kalangan pengusaha dan penternak ikan kolam memberi makanan kepada
ikan secara menabur atau berpusat di satu-satu tempat”, jelasnya.

Ini
menyumbangkan kepada bertambah bilangan ikan yang kecil (akibat kekurangan
makanan) yang pastinya menjadi “mangsa” kepada ikan yang lebih besar ataupun proses
kanibalisma yang menyebabkan kurangnya penghasilan benih ikan yang berkualiti.

Menurut Zakaria,
dari situ mereka telah mengenalpasti bahawa kaedah pemberian makanan kepada
benih yang ada kini (tradisional) tidak efektif.

Keadaan
ini berjaya dikurangkan dengan menggunakan inovasi terbaru ini, disebabkan
semua benih ikan dalam kolam mendapat sumber makanan secara serata dan boleh
memberi keseimbangan kepada saiz benih ikan.

Hasilnya,
melalui kaedah ini sejumlah 610,000 benih ikan daripada 2 juta benih ikan
ataupun 30.5 peratus berjaya dihasil dengan peratusan serata pula sejumlah 90
peratus.

Walaupun tumpuan
projek ini diberi kepada penghasilan benih yang berumur dari 0 hingga 15 hari
namun menurutnya projek ini sesuai diperluaskan kepada pengusaha dan penternak
lain yang berminat dalam segmen pasaran penghasilan benih ikan bersaiz sehingga
ke saiz 3 inci (75mm)

Malah bukan
setakat itu sahaja, jelas Zakaria, projek ini turut relevan untuk dipraktikkan
kepada pengusaha segmen pasaran lain (penghasilan benih ikan lebih dari 16
hari) dan mereka yang terlibat dalam industri ikan hiasan.

Katanya, dengan
adanya kaedah sistematik ini kerana kita dapat memantau perkembangan benih ikan
dengan lebih sistematik dan mampu membekalkan benih ikan yang mencukupi kepada
para pengusaha dan penternak.

Projek
mereka, jelasnya sebenarnya di peringkat paling asas penyediaan benih ikan pada
umur 0-15 hari, ini bermakna berjayanya di peringkat ini maka mudahlah tugas
untuk pengusaha dan penternak ikan dalam segmen pasaran lain.

Jelasnya dalam
tempoh berkenaan adalah waktu “kritikal” kerana menurutnya sekiranya sasaran
dan bekalan benih ikan tidak dapat dicapai, ia pastinya menjejaskan segmen
pasaran lain.

Mereka berbangga
kerana telah berjaya memperkenalkan inovasi selaras dengan saranan kerajaan
ingin meningkatkan pengeluaran sektor perikanan negara melalui usaha
penambahbaikan dengan membawa “teknologi” ini ke kolam.

Menurutnya
lagi, projek tersebut diwujud bukanlah untuk memberi persaingan dengan
mana-mana pihak, tetapi untuk menyokong dan menghidupkan industri akuakultur
terutama pengusaha dan penternak ikan dalam kolam dan sangkar di negeri ini.

Melalui inovasi
dari Kumpulan Sejinjang, jelasnya telah memberi mereka penyelesaian kepada
berkurangnya sasaran penghasilan benih ikan sebelum ini.

Selain berjaya
membangunkan kaedah pemberian makanan ikan secara berkesan, kebanyakan ahli
kumpulannya berpuashati apabila mereka berjaya menepati salah satu piagam
pelanggan agensi mereka iaitu membekalkan benih ikan kepada mereka yang
memenuhi syarat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh penerimaan permohonan.

Tetapi apa yang
penting bagi dirinya, usaha mereka ini diharap dapat melihat lebih ramai mereka
yang mengusahakan tanah terbiar untuk aktiviti akuakultur di samping merangsang
semula industri asuhan ikan.

Selain itu,
mereka cuba untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai industri akuakultur
terutama ternakan ikan dalam kolam mahupun sangkar, kepada yang lebih
sistematik, mudah dan moden.

Kumpulan Puteri Sejinjang
bersama dengan inovasi mereka telah mendapat pengiktirafan baru-baru ini
apabila telah mendapat tempat kedua dalam Konvensyen KMK Sektor Awam 2006 bagi
Kategori Teknikal.

Faedah
–faedah lain yang diperolehi daripada inovasi

  • Kaedah ini akan
    membantu industri asuhan benih ikan berkembang dengan mengasuh benih kepada 3
    inci (75mm)
  • Kaedah
    ini akan membolehkan tumpuan kepada spesis lain yang berpotensi
  • Merangsang
    industri ternakan ikan sangkar dan kolam
  • Peralatan
    atau ujicuba ini sesuai dijalankan dalam industri ikan hiasan, asuhan ikan dalam
    kolam dan tangki
  • Merangsang
    perkembangan industri makanan berasaskan laut.
  • Penternak
    ikan dalam sangkar menaruh harapan dan yakin sumber bekalan benih yang
    dihasilkan
  • Merangsang
    pengusaha hatceri udang beralih kepada pembenihan ikan atau asuhan benih ikan
    yang mempunyai sambutan yang mengalakkan.

Keistimewaan

  • Kaedah
    ini boleh dijalankan secara praktikal di mana-mana pusat pembenihan yang
    mengendalikan sepsis ikan yang sesuai
  • Kaedah
    ini boleh dijalankan di mana –mana pusat asuhan yang mengendalikan saiz ikan
    yang kurang dari 2 inci (50 mm)
  • Kaedah
    ini menjimatkan dari segi peralatan, tenaga dan masa

Info
: Harga
pasaran ikan (Segmen Pasaran)

  • Induk
    Ikan – RM500 /ekor
  • Telur
    Ikan -RM250 / ekor
  • Larva
    Ikan -RM5.00/ juta
  • Benih
    16 hari -RM0.20 / ekor
  • Benih
    1” – RM0.40 / ekor
  • Benih
    2” –RM1.00 /ekor
  • Benih
    3” –RM1.50 /ekor
  • Ikan
    dewasa (600 gram ke atas) – RM12.00 /Kg & RM18.00/ Kg (hidup)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article