- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ciri Laman Web Terbaik

Must read

Bagaimana agaknya rupa serta kandungan laman web kerajaan yang dikatakan baik? Mungkin ramai beranggapan bahawa ia harus memaparkan semua maklumat yang diperlukan oleh pelanggan dan menyediakan perkhidmatan tanpa perlu mengunjungi kaunter yang beroperasi selama 24 jam sehari.

Setiap tahun pelbagai jenis pertandingan diadakan untuk mencari laman web kerajaan terbaik. Tidak kira siapapun penganjurnya, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri tujuannya tetap sama iaitu mencari agensi dan badan kerajaan yang mampu menyampaikan maklumat serta perkhidmatan mereka menggunakan kaedah laman web kepada pelanggannya.

Di Sarawak, Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Jabatan Ketua Menteri turut mengadakan Pertandingan Laman Web Terbaik Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak sebagai salah satu usaha mewujudkan pertandingan yang sihat di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri dalam membangunkan laman web yang berinformatif, terkini dan menarik selaras dengan matlamat kerajaan elektronik (e-kerajaan).

Antara kriteria yang dipantau ialah tahap kandungan maklumat asas, tahap kandungan maklumat tambahan, kepekaan kepada kehendak pelanggan, tahap penggunaan hiperangkai dan aplikasi interaktif, mudah difahami dan konsep yang jelas, tahap kreativiti dan daya tarikan, mudah guna dan fleksibel, tahap keaslian, penggunaan teks versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta tiada pelanggaran undang-undang dan pematuhan kepada piawai.

Semua itu merupakan kisah pelaksanaan e-kerajaan di Sarawak. Jika di Amerika Syarikat, negeri Texas telah dikenalpasti sebagai negeri terbaik dalam menyediakan perkhidmatan secara dalam talian baru-baru ini.
Ia berdasarkan kajian tahun 2006 oleh Pusat Dasar Awam Taubman, Brown University, Amerika Syarikat. ‘TexasOnline’ merupakan kunci kepada kejayaan negeri itu dalam usahanya menyediakan capaian perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai pada kos penyampaian yang murah.

Keunikan laman web ‘TexasOnline’ adalah kerana adanya kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta yang membawa kepada pewujudan kira-kira 800 pelbagai perkhidmatan secara dalam talian tanpa sebarang pembiayaan terus daripada kerajaan.

Kajian oleh universiti itu juga mendapati portal ‘TexasOnline’ amat ringkas, mempunyai sistem perantauan yang berkesan dan menyenaraikan lebih 500 perkhidmatan kerajaan dalam talian (e-perkhidmatan).

E-perkhidmatan itu dibahagikan kepada 15 kategori dan disusun mengikut abjad. Antaranya ialah bayaran cukai jualan, pembaharuan lesen kenderaan dan carian pangkalan data lesen. Di samping pilihan kepada bahasa Sepanyol, klip muzik dan video turut menjadikan portal itu interaktif.

Akses kepada rekod-rekod penting dan portal perniagaan bagi memudahkan para pelabur yang berminat melabur di Texas turut disediakan. Malah, baru-baru ini portal persediaan kecemasan taufan telah dibangunkan.

Ia bertujuan menyediakan penduduk Texas dalam situasi bencana alam serta maklumat terkini tentang cuaca, akses kepada agensi kerajaan yang berkaitan dan laluan proses pemindahan dari kawasan bencana.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article