- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

KWSP Laksana Penstrukturan Semula Akaun Ahlinya

Must read


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menstrukturkan semula akaun ahlinya berkuat kuasa 2 Januari 2007 lalu dalam usaha meningkatkan jumlah simpanan persaraan ahlinya.

Dengan langkah penstrukturan semula akaun berkenaan, bilangan akaun ahli akan digabungkan kepada dua daripada tiga akaun sebelumnya. Langkah itu menjadikan Akaun 1 sebanyak 70 peratus daripada simpanan ahli manakala Akaun 2 sebanyak 30 peratus daripada simpanan ahli.

Sebelum ini, semua ahli KWSP mempunyai tiga akaun iaitu Akaun 1 sebanyak 60 peratus daripada simpanan ahli, Akaun 2 sebanyak 30 peratus dan Akaun 3 sebanyak 10 peratus.

Berikutan langkah itu, simpanan yang terdapat dalam Akaun 3, iaitu yang digunakan untuk pengeluaran berkaitan penyakit-penyakit kritikal diserapkan ke dalam Akaun 2.

Sehubungan itu, semua caruman yang dibuat selepas 2 Januari 2007 disalurkan ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing dengan pembahagian sebanyak 70 peratus dan 30 peratus.

Langkah itu juga membolehkan kira-kira 5.2 juta ahli KWSP aktif di seluruh negara memperoleh jumlah simpanan yang lebih besar untuk pengeluaran perumahan, pendidikan, kesihatan dan apabila mencapai umur 50 tahun.

Pengeluaran umur 50 tahun membolehkan ahli memilih sama ada mengeluarkan semua atau sebahagian simpanan di dalam Akaun 2 apabila mencapai umur 50 tahun. Ia bertujuan membantu mereka membuat persediaan sebelum bersara.

Dengan perubahan itu, KWSP menasihatkan ahli-ahlinya supaya merancang keutamaan pengeluaran pra-persaraannya dengan lebih berhati-hati kerana semua pengeluaran akan dibuat daripada akaun yang sama iaitu Akaun 2.

Walau bagaimanapun, KWSP melihat penstrukturan semula akaun ahli daripada tiga kepada dua akaun itu akan memberikan banyak manfaat kepada ahli dalam jangkamasa panjang.
Selain meningkatkan jumlah simpanan persaraan, ia juga memberikan ahli lebih kawalan terhadap simpanan mereka untuk kegunaan semasa.

Untuk sebarang pertanyaan, ahli KWSP boleh mengunjungi KWSP Sarawak, Jalan Uplands, Kuching atau menghubungi talian 082-240331 atau faks di 082-427899. KWSP juga mempunyai Pejabat Cawangan di Miri, Sibu dan Bintulu serta Pusat Perkhidmatan KWSP di Sarikei, Limbang dan Sri Aman.

Info KWSP
Kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) adalah skim simpanan nasional yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article