Negara-negara Asia mendominasi tiga daripada lima kedudukan teratas kerajaan elektronik (e-kerajaan) terbaik dari sejumlah 198 buah negara pada tahun 2006. Sementara itu, Malaysia berada di tangga ke 36, meningkat dari tangga 157 pada tahun sebelumnya.
Kajian oleh sekumpulan penyelidik di Taubman Center for Public Policy and American Institutions, Brown University, Amerika Syarikat itu meletakkan Korea Selatan di tangga teratas berbanding kedudukan 86 pada tahun sebelumnya.
Kedudukan Korea Selatan itu diikuti oleh Negara Taiwan, Singapura, Amerika Syarikat dan Kanada.
Hasil kajian kumpulan penyelidik itu mendapati kira-kira 29 peratus daripada agensi kerajaan di seluruh dunia menyediakan perkhidmatan dalam talian, meningkat daripada kira-kira 19 peratus sahaja pada tahun 2005.
Kumpulan penyelidik itu menilai sejumlah 1,782 kandungan laman web agensi kerajaan di 198 buah negara seluruh dunia di antara bulan Jun dan Julai 2006.
Penilaian melibatkan lebih 20 kriteria, termasuk akses golongan kurang upaya, kewujudan penerbitan dan pangkalan data, penggunaan polisi sulit dan persendirian serta keselamatan, maklumat perhubungan dan bilangan perkhidmatan dalam talian.
Analisis mereka melibatkan laman web badan eksekutif, legislatif dan kehakiman serta kementerian dan jabatan kerajaan yang berkaitan kesihatan, pelajaran, perhubungan luar, dalam negara, kewangan, sumber asli, pelaburan asing, pengangkutan, pertahanan, pelancongan dan komunikasi.
Daripada jumlah laman web yang dikaji, sejumlah 94 peratus mempunyai penerbitan dalam talian dan 72 peratus mempunyai rangkaian kepada pangkalan data. Hanya 26 peratus memaparkan polisi sulit dan persendirian manakala 14 peratus menunjukkan polisi keselamatan.
Sebanyak 23 peratus pula menyediakan kemudahan bagi golongan kurang upaya.
Penilaian itu turut mengambilkira kemudahan akses melalui alat bantuan peribadi (PDA), yuran pengguna dan kepelbagaian penggunaan bahasa.
Setiap negara diberi nilai antara kosong (terendah) sehingga 100 (tertinggi).
Menurut laporan penyelidik itu, beberapa langkah boleh diusahakan untuk menjadikan laman web agensi kerajaan lebih efektif, mudah dicapai dan berpotensi sepenuhnya.
Ia termasuk meningkatkan reka letak laman web agar lebih mesra pelanggan. Teks yang banyak di bahagian bar perantauan (navigation bars) juga perlu dikurangkan. Begitu juga dengan bilangan iklan yang perlu dihadkan.
Setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan itu juga perlu menyediakan capaian (links) ke kementerian atau jabatan kerajaan yang lain. Langkah itu dikatakan perlu untuk meningkatkan integrasi laman web e-kerajaan tanpa menjadikannya entiti persendirian.
Peta laman (tapak) pula akan membantu pengguna mengenalpasti kedudukan maklumat yang dicari.
Keperluan komunikasi yang efektif amat diperlukan di antara kerajaan dan pelanggannya. Sehubungan itu, kewujudan borang maklum balas, alamat e-mel, undian dan pelbagai cara komunikasi yang lain amat perlu untuk meningkatkan keupayaannya memenuhi kehendak pelanggan.
Kajian itu juga mendapati terdapat banyak laman web yang tidak dikemaskini dari semasa ke semasa menyebabkannya tidak berfungsi secara berterusan. Untuk menangani masalah itu, penyelidik berkenaan menasihatkan agar semua maklumat yang dipaparkan dikemaskini bagi memastikan semua maklumat yang dipaparkan adalah terkini dan tepat.
Semua kerajaan juga digalakkan supaya menyediakan perkhidmatan untuk rakyatnya sendiri dan bukan semata-mata bagi tujuan berkaitan pelancongan atau pengguna luar negara.
Begitu juga dengan kes perkhidmatan dalam talian yang disediakan tetapi tidak digunakan oleh pelanggan kerana maklumat berkenaan kewujudannya tidak diketahui.
Sehubungan itu, setiap laman web kerajaan dinasihatkan supaya membuat senarai perkhidmatan dalam talian secara komprehensif dalam satu halaman supaya memudahkan pengguna mengenalpasti dan mencari jenis perkhidmatan yang disediakan.
E-Kerajaan Terbaik Dunia Bagi Tahun 2006
1 (86) Korea Selatan
2 (1) Taiwan
3 (2) Singapura
4 (3) Amerika Syarikat
5 (6) Kanada
6 (11) Britain
36 (157) MalaysiaAngka dalam () adalah kedudukan pada tahun 2005.
Sumber: Taubman Center for Public Policy and American Institutions, Brown University, Amerika Syarikat. Kajian dan senarai e-kerajaan di dunia telah dibuat sejak tahun 2001 oleh penyelidik di Taubman Center.