- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pengusaha Premis Makanan Sambut Baik Sistem Gred

Must read

Sistem Penggredan bagi premis makanan di Sarawak mendapat sambutan baik daripada pengusaha dengan kebanyakan mereka memperoleh status gred baik, sementara bilangan yang menerima gred rendah semakin berkurangan pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak menetapkan sasaran bagi semua premis makanan yang diperiksa mendapat status gred A menjelang hujung tahun ini.

Usaha proaktif KASKA melalui agensinya, pihak berkuasa tempatan itu amat bersesuaian dengan masanya, lebih-lebih lagi ketika negara giat berkempen untuk Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 untuk menarik kehadiran pelancong dari seluruh dunia.

Bagi tempoh Mac hingga Jun 2006, sejumlah 1,477 premis telah diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak 146 premis (9.88 peratus) diberikan status gred A, 786 premis (53.22 peratus) gred B, 513 premis (34.73 peratus) gred C dan 32 premis (2.17 peratus) gred D.

Sementara antara tempoh Julai dan September, daripada sejumlah 1,060 premis yang diperiksa, 109 premis (10.28 peratus) diberikan gred A, 627 premis (59.15 peratus) gred B, 315 premis (29.72 peratus) gred C dan sembilan premis (0.85 peratus) gred D.

Kriteria penilaian atau penggredan itu menitikberatkan kebersihan tandas dan kawasan penyediaan yang menyumbang sebanyak 30 peratus masing-masingnya. Kawasan menghidang menyumbang 20 peratus, kebersihan diri sebanyak 10 peratus dan lain-lain sebanyak 10 peratus.

Premis yang memperoleh antara 85 dan 100 peratus akan mendapat gred A dengan kod berwarna hijau dan diperiksa setahun sekali, 70 hingga 82 peratus mendapat status gred B dengan kod berwarna jingga dan diperiksa dua kali setahun.

Sementara itu, premis yang menerima antara 60 hingga 69 peratus akan mendapat gred C dan pengusahanya akan diberikan notis supaya meningkatkan tahap kebersihan dan pada masa yang sama diperiksa tiga kali setahun.

Bagi gred D iaitu 59 peratus dan ke bawah, tiada sebarang kod warna akan diberikan dan pengusahanya akan diberikan notis supaya meningkatkan kebersihan dalam masa 14 hari yang disusuli dengan pemeriksaan premis terbabit.

Jika masih tiada sebarang peningkatan, amaran terakhir akan dikeluarkan dan sekiranya keadaan itu masih berterusan, premis terbabit akan ditutup dan akan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan seterusnya.

Melalui sistem penggredan itu, imej sesebuah premis makanan dapat dipertingkat serta akan memberi keselesaan bukan sahaja kepada para pelancong yang datang, malah kepada orang ramai di kalangan masyarakat tempatan yang menjadi pelanggannya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article