- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

KWAPM, inisiatif KPM Banteras Keciciran Pelajar

Must read

Faktor kemiskinan telah dikenalpasti menjadi antara
penyumbang utama kepada masalah keciciran pelajar di negara kita. Kadangkala
wujud kes di mana pelajar atau murid terpaksa berhenti sekolah disebabkan ketidakmampuan
ibu bapa mereka meneruskan persekolahan anak-anak mereka.

Namun, nasib pelajar yang miskin akan sentiasa mendapat
pembelaan daripada kerajaan yang ingin golongan ini turut sama mendapat hak
untuk menikmati taraf pendidikan yang seimbang.
Kerajaan sedar serta prihatin terhadap tanggungan ibu bapa terutamanya bagi
yang berpendapatan rendah, untuk membiayai kos persekolahan anak-anak.

Bebanan mereka ternyata sedikit sebanyak dapat dikurangkan
apabila kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mula
memperkenalkan Skim Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sejak
tahun 2003 bagi sekolah rendah dan mula diperluaskan ke sekolah menengah pada
tahun lepas (2006).

Rasionalnya adalah apabila Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) mendapati faktor keciciran mempunyai hubungkait kukuh dengan faktor
kemiskinan.

Sebagai langkah untuk mengelakkan keciciran pelajar berlaku,
KPM telah melaksanakan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Seksyen 29A Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550) mulai Januari 2003 yang mewajibkan ibu bapa
menghantar anak mereka bersekolah mulai tahun Satu (1) sekolah rendah.
Selaras dengan perlaksanaan dasar itu juga, satu tabung yang dinamakan
“Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin” ditubuhkan untuk membantu ibu bapa yang
tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah.

Tabung KWAPM telah diluluskan penubuhannya pada 10 April
2003 yang bertujuan untuk memastikan tiada murid di sekolah rendah yang
tercicir daripada persekolahan akibat kemiskinan.
KPM yang dipertanggungjawabkan mengerakkan inisiatif ini melihat ia sebahagian
daripada usaha serta tanggungjawab bersama untuk membanteras gejala keciciran
pelajar dalam sistem pendidikan negara.
Bantuan ini amat besar ertinya demi masa depan pelajar. Ianya juga bagi
mengelakkan kemiskinan menjadi faktor penghalang untuk “mencipta” kejayaan dan
kecemerlangan dalam pelajaran.
Pada tahun ini (2007), masuk tahun kelima kemudahan ini disediakan dan ramai
yang telah mendapat manfaat serta faedah daripada Skim Bantuan ini.

Berdasarkan pencapaian tahun 2006, agihan bantuan KWAPM yang
berjumlah RM185.25 juta telah melibatkan seramai 545,386 orang pelajar. Pecahan
daripada jumlah tersebut, seramai 514,555 ialah pelajar sekolah rendah manakala
seramai 30,831 orang pelajar sekolah menengah.

Di Sarawak, pada tahun lepas (2006) menerima peruntukan
sebanyak RM18 juta untuk tujuan bantuan persekolahan Kumpulan Wang Amanah
Pelajar Miskin (KWAPM) telah berjaya dimanfaatkan sejumlah 91,947 pelajar yang
layak.

Bagi tahun 2007 pula, bagi meringankan beban ibu bapa dan
memastikan pelajar dapat bersekolah maka bantuan persekolahan dan bantuan am
kepada pelajar di Tahun 2 hingga Tahun 6 pada tahun 2007 telah diagihkan mulai
akhir Disember 2006. Bayaran ini melibatkan seramai 385,000 orang pelajar dengan
anggaran perbelanjaan berjumlah RM173 juta.

Pembayaran bantuan KWAPM ini dimulakan dengan negeri Sarawak
dan Sabah diikuti dengan negeri-negeri lain. Pelajar-pelajar ini akan menerima
bantuan persekolahan dan bantuan am.
Pada tahun ini (2007), bantuan KWAPM di sekolah menengah dikekalkan untuk
pelajar tahun 1 dan Peralihan sahaja. Bantuan KWAPM untuk pelajar Tahun 1 dan
Tingkatan 1 pula akan diagihkan mulai April 2007.

Di Sarawak pada tahun ini, dijangka sejumlah 99,749 orang
pelajar miskin dapat memanfaatkan skim bantuan tersebut dengan jumlah bantuan
keseluruhan RM48,625,800.

Melalui bantuan Skim Bantuan KWAPM, KPM telah menyediakan
tiga (3) jenis bentuk bantuan iaitu Bantuan Persekolahan yang meliputi
persediaan sebelum memulakan persekolahan, Bantuan Am yang berupa wang saku dan
Bantuan Kecemasan untuk kes-kes seperti bencana alam dan kebakaran.
Pelajar yang layak terdiri daripada empat kategori iaitu pelajar miskin tahun
satu yang tercicir, pelajar tahun dua hingga enam yang pernah bersekolah tetapi
sekarang tercicir, pelajar yang masih bersekolah tetapi berpotensi tercicir
sekiranya tidak mendapat bantuan dan pelajar yang terlibat dalam kes-kes
kecemasan.

Syarat kelayakan untuk memohon bantuan Tabung KWAPM ini bagi
Semenanjung Malaysia adalah pendapatan kasar bulanan keluarga sebanyak RM530
atau pendapatan per kapita sebanyak RM106.
Bagi Sarawak pula ialah sebanyak RM585 atau pendapatan per kapita RM117
manakala bagi Sabah dan Labuan pula ialah sebanyak RM685 atau pendapatan per
kapita RM137 sebulan.

Mengenai kaedah pemohonan yang kini dilakukan secara manual,
KPM juga akan melaksanakan projek rintis “SISKWAPM” pada tahun ini (2007) yang
akan membolehkan permohonan KWAPM secara online. Walau bagaimanapun, projek
rintis yang dijangka diadakan di dua buah Pejabat Pelajaran Daerah terpilih
sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

Menyedari bahawa masih ramai pelajar dan keluarga yang belum
menyedari kewujudan bantuan tersebut, KPM akan memperluaskan pengenalan
penyebaran maklumat masyarakat melalui pelancaran rasmi di beberapa buah
negeri. Pada tahun lepas, pelancaran di peringkat pusat telah diadakan pada
bulan April di Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan usaha KPM ini dilihat selaras dengan
salah satu teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan iaitu merapatkan jurang
pendidikan antara bandar dan luar bandar, jurang antara yang miskin dengan yang
kaya, jurang digital dan jurang antara yang normal dengan yang berkeperluan
khas.

Selain KWAPM, KPM turut memainkan peranannya membantu serta
meringankan beban ibu bapa bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah
turut membantu dalam bantuan lain seperti agihan Skim Buku Teks, Bantuan
pakaian seragam, Bantuan Makanan Tambahan, Skim Baucer Tuisyen dan sebagainya.

Ini diperkukuhkan lagi dengan pengumuman YAB Perdana
Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada bajet 2007 yang lepas
mengenai yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau setaraf dengannya, serta STPM di
semua sekolah kerajaan dimansuhkan berkuatkuasa mulai tahun persekolahan 2007
turut membuktikan keprihatinan kerajaan membantu golongan tersebut.

Malah kerajaan juga telah meringankan beban kos mereka,
dengan memberi bantuan kepada murid daripada keluarga miskin dengan menaikkan
kadar bantuan murid sekolah rendah daripada 30 ringgit kepada 50 ringgit
sebulan, manakala biasiswa kecil persekutuan bagi murid di sekolah menengah
dinaikkan daripada 50 ringgit kepada 70 ringgit sebulan.

Langkah tersebut turut memberi manfaat kepada 1.5 juta murid
dengan tambahan peruntukan 310 juta ringgit, menjadikan jumlah keseluruhan
bantuan sekolah berjumlah 846 juta ringgit.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article