Peranan masjid kini tidak lagi dilihat sekadar menjurus dalam hal-hal keagamaan malah lebih luas lagi iaitu mampu menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan modal insan, kata Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) YB Datuk Daud Abdul Rahman.
Ia dilihat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk menyeimbangi aspek pembangunan tidak hanya memfokuskan kepada pembangunan fizikal semata-mata.
Melihat kepada cabaran semasa, jelas beliau, masjid yang merupakan institusi penting dalam Islam perlu meningkatkan pengurusannya sebagai sebuah pusat ibadah, pusat ilmu serta pusat kegiatan keagamaan umat Islam.
Justeru, pengurusan masjid perlulah merangka dan menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti untuk masyarakat.
Katanya, usaha itu turut menuntut penyertaan umat Islam kerana peranan masjid tidak akan terserlah sekiranya umat Islam sendiri tidak memainkan peranan secara berterusan untuk mengimarahkannya.
Sehubungan itu, jelasnya umat Islam perlu sentiasa berganding bahu dan bekerjasama mengimarahkan masjid serta menentukan keadaannya sentiasa terpelihara serta diurus dengan cekap dan berkesan.
Kenyataan ini turut diperkukuhkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang berkata masjid hendaklah dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu bukan sekadar tempat beribadat tetapi sebagai pusat kecemerlangan ummah.
Menurut Ketua Menteri, institusi masjid juga menjadi tempat untuk mengukuhkan kefahaman mengenai jiran tetangga di samping tempat bagi mengadakan lebih banyak pertemuan dan perbincangan.
Malah perkembangan anak-anak yang seimbang dari segi sosial dan budaya juga turut bermula dari didikan agama yang sempurna, jelas beliau sambil berkata kewujudan Jabatan Kemajuan Islam perlu dimanfaat sepenuhnya oleh ibu-bapa.
Dalam perkara berkaitan, YB Datuk Daud Abdul Rahman berkata sebagai langkah permulaan untuk memperkemaskan pengurusan masjid, beliau menegaskan masjid di seluruh Sarawak agar mengamalkan konsep 5S dalam pengurusan dan pentadbiran hariannya.
Jelasnya, pihaknya telah memperkenalkan amalan ini bagi beberapa buah masjid di negeri ini dan ia akan diperluaskan.
Sambil menambah Konsep 5S yang mewakili lima perkataan Jepun yang bermula dengan huruf S iaitu Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiso (Sapu), Seiketsu (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal) telah terbukti berkesan di beberapa buah agensi dan organisasi harus dipertimbang untuk digunapakai di masjid dan surau di negeri ini.
Beliau berkata, dengan terlaksananya amalan 5S itu nanti, maka masjid-masjid di seluruh negeri akan lebih terurus dan sentiasa dalam keadaan bersih serta terpelihara.
Beliau berkata demikian sewaktu pada acara perasmian serentak Masjid Bahagian, bangunan Jabatan Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kehakiman Syariah baru yang menelan belanja sebanyak RM9 juta terletak di KM3 Jalan Beleteh.
Masjid baru Kapit yang telah dirasmikan oleh Y.A.B Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kemudiannya diberi nama Masjid Jabal Nur.
Mengenai perasmian bangunan pejabat baru Jabatan Agama Islam Sarawak dan Jabatan Kehakiman Syariah, beliau berkata, kedua-dua jabatan berkenaan pasti akan memberi keselesaan kepada para pelanggan untuk berurusan.
Malah kedudukan berdekatan tiga (3) buah projek itu iaitu Masjid, Pejabat JAIS, dan Jabatan Kehakiman Syariah adalah untuk meningkatkan lagi keberkesanan peranannya.
Dari sudut sistem penyampaian kerajaan pula, ia pastinya memberikan dorongan dan motivasi kepada warga kerja di kedua-dua insititusi untuk terus memberikan perkhidmatan lebih cemerlang pada masa hadapan.
Baru-baru ini semasa ucapan Perdana Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak,YBhg Datu Misnu Haji Taha menekankan bahawa pengurusan masjid akan ditingkatkan yang kini di bawah tanggungjawab kepada Unit Masjid Bahagian Dakwah.
Katanya, setelah beberapa siri konvensyen Imam dan pegawai masjid dilaksanakan dengan jayanya pada tahun 2006, fokus yang bakal ditekankan pada tahun 2007 adalah untuk merealisasikan masjid sebagai pusat kecemerlangan ummah.
Bagi mencapainya, Bahagian Dakwah akan menganjurkan Bengkel Peningkatan Prestasi Masjid dan Kursus Induksi Pegawai Masjid berjalan mengikut modul dan sukatan terkini. Malah terdapat juga cadangan penyusunan semula pengurusan masjid serta pelan pembangunan strategik masjid baru dilengkapkan pada bulan Mac tahun ini.