- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bekerja Secara Kolektif

Must read

Perdana Menteri
sering kali memberi penekanan terhadap betapa pentingnya prestasi perkhidmatan
awam dipertingkatkan.

Beliau sentiasa
memberikan ingatan kepada penjawat awam agar berusaha mengurangkan karenah
birokrasi; membanteras rasuah dan salah guna kuasa; melayani pelanggan dengan
cara berhemah, berbudi-bahasa dan bersopan-santun; mempunyai sikap ingin
membantu dan menolong; mempercepatkan proses membuat keputusan; serta
meningkatkan integriti anggota-anggota perkhidmatan.

Sistem
penyampaian perkhidmatan awam yang cekap amat diperlukan bagi menjamin
kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara.
Sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap juga perlu, bagi memenuhi tuntutan
rakyat dan masyarakat perniagaan yang terus meningkat.

Kita bukan hanya
memberi khidmat, malah juga penerima khidmat. Dalam urusan seharian, kadang
kala kita sendiri berurusan dengan jabatan dan agensi Kerajaan. Kalau kita
mahukan perkhidmatan yang cekap, kita harus terlebih dahulu memberikan
perkhidmatan yang sama.

Apabila secara
kolektif kita meningkatkan tahap perkhidmatan, manfaatnya akan dinikmati oleh
kita juga. Sehubungan itu, marilah kita membuat suatu perubahan yang positif
bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam agar lebih efisien,
profesional dan cemerlang.

Setakat ini,
realitinya rakyat dan para pelanggan masih memandang sistem perkhidmatan awam
negara ini merimaskan; dikongkong birokratik; tidak berorientasikan pelanggan
walaupun terdapat Piagam Pelanggan; dan urusan pemproses yang lembap di
kebanyakan jabatan dan agensi Kerajaan.

Pihak Biro
Pengaduan Awam juga melaporkan bahawa antara rungutan dan aduan paling kerap
yang dilaporkan oleh orang ramai ialah terhadap jabatan dan agensi Kerajaan
yang tidak memaklumkan status sesuatu permohonan yang telah dihantar. Perkara
ini tidak boleh dipandang remeh, dan perlu diberi perhatian yang serius.

Selain itu,
Ketua-ketua serta pegawai-pegawai kanan di jabatan dan agensi Kerajaan perlu
meningkatkan usaha untuk mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula
amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan
masing-masing. Ini termasuk mengkaji semula sistem dan prosedur kerja sedia
ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan
yang digunakan, serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan
tugas.

Untuk itu adalah
amat wajar sekiranya penggunaan ICT dimaksimumkan. Penggunaanya yang bersesuaian berupaya
memberi manfaat dalam meningkatkan prestasi sistem penyampaian perkhidmatan.
Sistem dan aplikasi ICT yang
dibangunkan berupaya memendekkan masa penyampaian perkhidmatan, mudah dan
sentiasa boleh dicapai oleh pelanggan serta tidak membebankan semua peringkat
pengguna dengan mengambil kira perkhidmatan utama yang boleh disampaikan
melalui ICT berpandukan kehendak dan
ekspektasi pelanggan.

Dalam masa yang
sama, Ketua-ketua jabatan dan agensi perlu rajin ‘turun ke padang’ serta
memantau usaha-usaha yang sedang dijalankan bagi memastikan usaha-usaha
pembaharuan dan penambahbaikan adalah menyeluruh dan meluas hingga ke akar
umbi.

Untuk mencapai
tahap kecemerlangan sesebuah agensi sebenarnya bukan bergantung pada kecekapan
segelintir warganya sahaja. Sebaliknya ia memerlukan semua warganya
bersama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan
sebaik mungkin.

Oleh itu, adalah
penting setiap warga penjawat awam sentiasa berusaha untuk meningkatkan
kecekapan diri masing-masing di dalam melaksanakan tugasan yang
diamanahkan.

Oleh yang
demikian adalah amat penting setiap dari kalangan kita memberikan komitmen
penuh ke atas semua perancangan serta pelaksanaan program latihan yang telah
disediakan.

Dalam masa yang
sama kita perlu berusaha berterusan menimba ilmu selaras dengan dasar Kerajaan
yang menekankan falsafah pembelajaran sepanjang hayat atau life-long learning, sebagai persediaan menghadapi cabaran-cabaran
yang mendatang.

Antara cabaran
utama bagi warga perkhidmatan awam pada hari ini, adalah untuk menukar cara
bekerja dari menjalankan tugas-tugas yang rutin kepada peranan yang lebih besar
sebagai Knowledge Workers, yang
sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran baru, mampu
meramal perubahan-perubahan yang bakal berlaku, dan berani membuat pertimbangan
dan keputusan, serta sanggup menghadapi risiko.

Untuk itu
kata-kata hikmah daripada Imam Ghazali, “Manusia akan dihormati bukan kerana
kekuatan dirinya, tetapi kerana ilmunya,” seharusnya terpahat kukuh di sanubari
kita.

Peralihan kepada
cara bekerja yang lebih mencabar ini, sudah tentu memerlukan kemahiran dan
pengetahuan baru.

Antara kemahiran
yang perlu dipupuk di kalangan anggota perkhidmatan awam ialah kemampuan untuk
mengolah atau menganalisis maklumat. Kemahiran ini akan membolehkan kita
bertindakbalas dengan lebih yakin, tegas dan cepat, selaras dengan perkembangan
pesat yang berlaku di sekitar kita.

Perubahan ke atas
pendekatan dan cara bekerja ini sudah tentu memerlukan kesediaan bukan sahaja
dari segi fizikal tetapi yang lebih penting adalah kesediaan dari segi mental.

Dalam era ICT masa kini, data, fakta dan
pengetahuan begitu cepat menjadi lapuk. Maka kemahiran perlu sentiasa
diperbaharui dan ditingkatkan untuk memastikan kemahiran yang ada, sentiasa
seiring dengan perkembangan semasa.

Selain itu, adalah penting bagi kita membina keazaman
untuk terus menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran, agar perkhidmatan awam
terus berada di hadapan, serta memberi hala tuju kepada rakyat dan Kerajaan ke
arah pencapaian matlamat pembangunan negara.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article