- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Menyusuri Rumah Panjang di Bintulu

Must read

Kali terakhir kami di Bintulu
adalah tujuh tahun yang lalu. Ketika itu Bintulu rancak melaksanakan fasa
pembangunannya. Sungguhpun demikian, berbanding tujuh tahun yang lalu, kini
nampaknya telah banyak projek yang telah disiapkan.

Kedatangan pihak kami ke Bintulu
kali ini membawa banyak pengertian besar. Banyak perubahan yang berlaku di
Bintulu. Walaupun dalam tujuh tahun ini kami ada melawat Bintulu, namun lawatan
kali ini berbeza. Satu minggu telah dikhususkan hanya untuk Bintulu. Beberapa
agensi kerajaan telah kami lawati dan kemajuan adalah memberangsangkan.

Kami diiringi oleh Penolong
Pegawai Pertanian Encik Akau dari Jabatan Pertanian Bintulu dan Pn. Noriah
(Pejabat Daerah Kecil Sebauh). Antara lawatan yang menarik adalah berkunjung ke
beberapa buah rumah panjang yang terpilih sebagai rumah panjang contoh. Satu
hari telah dikhususkan untuk melawat rumah panjang ini.

Pada paginya kami ke Pekan Sebauh
yang terletak kira-kira 65 kilometer dari bandar Bintulu. Kami singgah di
Pejabat Daerah Kecil Sebauh. Perjalanan ini mengambil masa selama kira-kira 40
minit. Jalan raya elok sekali – berturap tar. Bas awam yang melalui jalan ini
mempunyai penghawa dingin dan tetap jadual perjalanannya.

Dulu pada tahun 1999, Jalan raya Bintulu – Sebauh masih belum siap
sepenuhnya. Kami menggunakan bas awam yang melalui jalan yang masih berbatu dan
berlubang-lubang.

Ini diserikan pula dengan kejadian bungkusan pos dalam bas berkenaan
tercampak keluar melalui pintu bas tanpa disedari kerana dialun oleh deruman
enjin bas dan pemandu bas terlalu menumpukan perhatian di hadapan dalam memilih
laluan terbaik.

Bas seolah-olah dilambung ombak besar dan teroleng-oleng apabila
bergerak. Kami di dalam bas pula sakit punggung menahan hentakan apabila tayar
bas melalui lubang-lubang besar di jalan. Difahamkan keadaan jalan pada waktu
itu amat teruk kerana lori balak masih aktif beroperasi. Bas yang dinaiki pula
sangatlah buruk dan tidak ada cermin tingkap kecuali cermin untuk pemandu.

Dengan keadaan jalan sebegitu, mungkin kenderaan yang digunakan
memanglah amat sesuai.

Bungkusan pos yang tercampak keluar itu hanya disedari oleh penumpang
(kalau tidak silap seorang budak lelaki) yang duduk di hadapan yang segera
memaklumkan kepada pemandu bas agar berhenti kerana ada benda yang diletakkan
di sisi pemandu telah tercampak keluar. Lucu sungguh rasanya.

Setelah menemuramah pegawai tabdir
yang menguasa di Sebauh kami dibawa ke Rumah Panjang Dana, Sungai Nangka yang
terletak kira-kira 6 km dari Sebauh. Rumah panjang ini terkenal dan menjadi
contoh kerana komitmen padu penghuninya dan Ahli JKKK terhadap segala kegiatan
kerajaan yang diperkenalkan. Contoh program yang diperkenalkan adalah Program
4K, K3P, Desa Wawasan dan sebagainya. Rumah ini diasaskan pada tahun 1994
apabila mereka berpecah dari Rumah Ningkan. Ia mempunyai 23 bilik dengan jumlah
penghuninya seramai 138 orang.

Bagi rumah panjang lain mungkin boleh diperumpamakan bagai sekali
air bah, sekali pasir berubah. Sekali program diperkenalkan sekali itulah
diamalkan. Tidak ada program yang berterusan. Sedangkan program pembangunan
yang diperkenalkan bukanlah setakat sekali saja hayatnya. Hakikatnya banyak
program kerajaan adalah perintis untuk kemajuan. Program ini seharusnya diamalkan
selalu. Bukannya hanya pada waktu pelancarannya sahaja. Namun kesungguhan yang
ditunjukkan oleh penghuni rumah panjang ini menjadikan ramai pegawai kerajaan
yang suka untuk menjadikan rumah panjang ini sebagai projek perintis.
Keberkesanan aktiviti atau program dapat diukur jika program ini diamalkan oleh
Rumah Dana.

Keadaan fizikal Rumah Dana adalah
sederhana. Diperbuat daripada kayu dan buluh, halaman rumah panjangnya amat
bersih. Lanskap hadapannya cantik dihiasi pokok renek tempatan. Usia rumah
panjang ini baru 12 tahun. Mereka berpecah dari Rumah Panjang Ningkan kerana
rumah sebelumnya itu terlalu panjang dan besar.

Permuafakatan yang ditunjukkan
amat mengkagumkan. Biarpun baru beberapa tahun usianya penghuninya sedaya upaya
menjadikan rumah panjang mereka sebagai kediaman dalam taman, bersih dan indah.
Keseragaman hiasan dalaman terserlah. Bersungguh-sungguh mereka mencari
persetujuan bersama atas segala aktiviti yang dijalankan. Akaun bersama Rumah
Panjang diselenggara baik. Segala perbelanjaan adalah telus dan semua orang
mendapat manfaatnya. Segala aktiviti di rumah ini dijalankan bersama-sama.
Sekurang-kurangnya setiap minggu ada saja aktiviti yang dijalankan oleh
penghuni Rumah Dana.

Tuai rumah Encik Dana juga
mempunyai koleksi pakaian Iban yang disulam halus oleh isterinya. Pakaian ini
hanya dipakai untuk upacara rasmi dan perayaan. Kemahiran klasik ini masih
terpelihara. Namun mereka tidak pula terfikir untuk menengahkannya ke peringkat
komersial. Namun kemahiran ini cuba diturunkan kepada ahli keluarga yang lain.

Memandangkan kami datang ketika
musim kering, masalah air diajukan kepada kami. Nampaknya Rumah Dana masih
menggunakan air hujan sebagai sumber airnya. Namun kekurangan ini tidak pula
mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

Setelah itu kami ke Rumah Michael
Lanyau, Sungai Gelam, Sebauh. Asalnya kami perlu ke kembali ke pekan
Sebauh dan menaiki bot menyusuri Batang
Kemena dan Sungai Sebauh. Namun kami difahamkan Kerajaan telah pun membina
sebatang jalan untuk ke Sebauh iaitu Jalan Ulu Sebauh. Jalan ini bagaimanapun
masih di peringkat pemampatan. Hanya pasir dan batu yang terhampar sepanjang
jalan. Sunggguhpun demikian kami mengambil keputusan untuk mencuba menggunakan
jalan darat ini dari Bintulu ke Sebauh. Dapat juga melihat pembangunan.

Perjalanan ke Rumah Michael Lanyau
melalui Jalan Ulu Sebauh lurus sahaja. Sekali sekala semakin hampir ke Sebauh
barulah ada beberapa buah bukit yang telah diteroka dengan tanaman kelapa
sawit. Di kiri kanan terdapat kebun-kebun kecil milik perseorangan. Antaranya
kebun limau, kelapa sawit, pisang, buah-buahan dan sebagainya. Semakin hampir
ke Sebauh, jalan raya makin elok, banyak rumah panjang yang kelihatan di kiri
kanan. Semuanya tersusun cantik. Sehinggalah kami sampai ke sebuah jalan mati.
Di situ kelihatan Rumah Michael Lanyin. Betul-betul berhadapan Sungai Sebauh
yang tenang airnya.

Menurut Encik Michael dari rumah
mereka untuk ke Pekan Sebauh hanya mengambil masa lima minit dengan menaiki
bot. Tapi dengan menggunakan jalan Ulu
Sebauh kami mengambil masa kira-kira 50 minit dari Bintulu. Rumah Michael
diberbuat daripada kayu belian dan sudah berusia hampir 50 tahun. Walaupun
diperbuat daripada kayu, hiasan dalamannya sungguh moden.

Panjangnya ke belakang hampir 100
kaki. Berbeza dengan rumah panjang lain yang biasanya antara 60 hingga 90 kaki sahaja. Sebolehnya Rumah Michael cuba
mengekalkan ciri-ciri klasik dan keunikan rumah panjang dan mengaplikasikan
kemudahan asas dan moden pada rumah ini. Dengan itu mereka masih dapat mengekalkan
warisan dan dapat pula mendapat kemudahan asas yang lengkap seperti air,
elektrik, telefon dan sebagainya.

Namun kebanyakan penghuninya
adalah generasi tua, kerana kebanyakan generasi muda sudah pun berpindah dan
memiliki rumah sendiri di tempat lain.

Mereka tidak berniat langsung
untuk merobohkan rumah ini, kerana generasi muda ini masih mahu pulang ke Rumah
Panjang apabila menyambut perayaan. Budaya tinggal di luar ini wujud kerana
kebanyakan penghuni rumah ini tidak mencari rezeki di sekitar kediaman mereka.
Ini kerana kebanyakan penghuni di sini berpelajaran, dan memang sesuailah
mereka mencari rezeki di tempat lain kerana Sebauh sendiri masih jauh dari
Bintulu disebabkan oleh sistem pengangkutannya yang masih belum begitu
sempurna.

Memandangkan kebanyakan generasi
lama telah terdedah akan kepentingan pendidikan, amalan menuntut ilmu amat
ditekankan kepada generasi muda. Bagi memenuhi tuntutan keperluan hidup moden
makan Rumah Michael telah membina sebuah pusat sumber.

Pusat ini akan menjadi pusat segala
aktiviti sosial bagi Rumah Michael. Ia juga akan digunakan sebagai
perpustakaan, pusat pembelajaran tarian, kelas komputer, pusat tuisyen dan
berbagai lagi aktiviti.

Ia akan dilengkapkan dengan
bekalan air paip dan elektrik. Pada waktu lawatan kami, mereka masih menunggu
untuk proses penyambungan bekalan elektrik.

Pembinaannya dilaksanakan secara
gotong royong. Pusat Sumber ini diberi nama Pusat Sumber Jilan, sempena nama
bapa kepada mantan wakil rakyat Sebauh Datuk Celestine Ujang. Encik Michael sendiri
merupakan sepupu kepada Datuk Celestine.

Seterusnya kami ke Bintulu untuk
makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan kami ke Rumah Bana. Rumah Bana
terletak di Jalan Bintulu – Sebauh iaitu di Sungai Selezu, Serakit. Rumah ini
dipilih oleh Encik Akau sebagai contoh yang perlu ditonjolkan kepada umum
kerana pencapaian mereka dalam kegiatan ekonomi dan sosial.

Rumah Bana terletak kira-kira 300 meter dari jalan raya, namun pandangan
dari jauh terhadap rumah ini amat mengagumkan. Jalan kampung yang menyambungkan
Rumah Bana difahamkan dibina sendiri dengan bantuan BDA oleh penghuni rumah
dengan kos RM10,000 dan RM18,000.

Terdapat tandas awam dan taman mini yang dibina di hadapan rumah. Ini
kerana Rumah Bana selalu dikunjungi pelawat dari dalam dan luar Sarawak yang
mahu melihat keunikan rumah panjang ini. Di samping itu ia juga sebahagian
daripada program Desa Wawasan.

Rumah ini diperbuat daripada bata merah dan konkrit.Tidak seperti
rumah panjang lain yang diperbuat dari kayu dan bertiang tinggi, Rumah Bana
bolehlah disamakan seperti rumah teres dua tingkat. Cuma elemen rumah panjang
seperti ruai masih kekal. Lantainya diperbuat daripada jubin seramik yang
berkilat, dindingnya daripada mortar yang halus dan dicat dengan warna ceria.
Keluasan setiap bilik adalah 18 kaki x 100 kaki. Dapurnya juga moden dengan
mempunyai kabinet dapur seperti rumah moden sekarang. Rumah ini mendapat
bekalan air paip yang dibekalkan oleh Jabatan Kerja Raya Bintulu.

Menjengah ke dalam rumah umpama
berada di sebuah rumah di bandar. Buat seketika kami terlupa bahawa kami masih
di rumah panjang di Sebauh. Keadaannya
amat bersih dan selesa. Ini kerana
ladang ternakan mereka terletak kira-kira 300m dari rumah.

Setiap rumah juga mempunyai ruang
untuk meletakkan kenderaan mereka.

Purata kos untuk setiap bilik
adalah antara RM50 ribu hingga RM75 ribu. Bergantung kepada kemahuan
pemiliknya. Perbezaan ini nyata apabila hiasan dalaman untuk setiap bilik
berbeza, berbanding dengan ruang hadapan yang masih seragam.

Mereka dapat menjimatkan kos
kerana pembelian barang secara pukal dan kadar buruh yang berpatutan kerana
skala pembinaan yang besar. Namun Tuai Rumah menekankan yang setiap
perbelanjaan adalah tunai dengan ansuran hanya beberapa kali.

Tuai Rumah Encik Dana hanya
berunding dengan kontraktor yang sanggup menerima syarat yang dikenakan.
Prinsip beliau, jangan berhutang dengan sesiapa pun.

Sumber kewangan tidak menjadi
masalah kerana perolehan dari hasil pertanian amat lumayan. Ini kerana Rumah
Bana terlibat dengan projek Nancem (Nangka Cempedak) anjuran Jabatan Pertanian.

Memandangkan harga getah semakin
bagus, pendapatan juga meningkat. Mereka beruntung kerana mempunyai tanah yang
luas untuk diusahakan bagi tanaman padi, sayuran, nancem, buah-buahan dan
sebagainya. Kebun getah mereka masih tetap mengeluarkan hasil biarpun pada
ketika harga getah masih rendah.

Tidak ada satu inci tanah pun yang
diabaikan. Kebanyakan penghuni Rumah Bana dididik untuk menyimpan wang untuk
kegunaan pendidikan dan masa hadapan. Tidak ada sesiapa pun yang membantah
kerana mereka semua tahu ini semua untuk kebaikan mereka sendiri.

Kaum ibu juga aktif dalam kegiatan
ekonomi. Amanah Ikhtiar Malaysia juga membantu mereka meningkatkan taraf
ekonomi. Sewaktu kunjungan kami terdapat sekumpulan wanita yang tekun mendengar
taklimat pegawai dari Amanah Ikhtiar Malaysia. Mereka nampaknya
bersungguh-sungguh dalam usaha memperbaiki keadaan ekonomi keluarga.

Setelah puas meninjau dan melawat
rumah panjang dan kawasan sekitarnya, beramah mesra dengan tuai rumah dan penghuninya,
banyak yang dapat dirumuskan hasil dari lawatan ini.

Kebanyakan penghuni rumah panjang
menanam padi, bercucuk tanam dan menternak ayam dan khinzir untuk sumber
bekalan makanan.

Sungguhpun begitu, mereka masih
memerlukan wang untuk keberterusan hidup. Walaupun makanan senang diperolehi,
tetapi keperluan hidup moden amat sukar.

Tetapi memandangkan zaman sudah
berubah, maka keperluan hidup juga berubah. Pendidikan kini amat diutamakan.
Memandangkan tidak ada sekolah yang berdekatan, kebanyakan kanak-kanak di rumah
panjang bersekolah jauh di Bintulu. Mereka tinggal di asrama kerana perjalanan
berulang-alik amat memenatkan dan memerlukan belanja yang tinggi.

Setiap minggu mereka akan pulang
ke rumah. Namun kos untuk pulang ini dianggarkan hampir RM150 pergi dan balik.
Mungkin ada lagi kos tambahan yang lain. Ibu bapa terpaksa meninggalkan kerja
seharian untuk menjemput anak-anak mereka. Satu kerugian dan pertambahan dalam
perbelanjaan.

Mereka memang perlukan wang kerana
apabila tinggal di pedalaman, memang menjadi kesulitan apabila mahu ke bandar.
Mereka mungkin nampak senang apabila kita melihat lori pick-up berada di depan rumah. Namun hakikatnya kenderaan inilah
yang sesuai digunakan bagi situasi kehidupan mereka.

Bukan semua rumah panjang mempunyai
jalan raya yang baik. Ini ternyata dapat dilihat pada rumah panjang yang baru
didirikan. Kemudahan asas masih kurang.

Pencapaian sesebuah rumah panjang
bergantung kepada tuai dan penghuninya serta keadaan ekonomi mereka.

Semakin faham terhadap kepentingan
pembangunan, makin tinggi peningkatan
taraf hidup mereka.

Mereka perlukan pemimpin yang
bagus dan pengikut yang baik serta mahu menerima perubahan ke arah kebaikan.
Semua ini perlu seiring.

Biarpun keadaan fizikal rumah
panjang ini berbeza tiap satunya, perlu difahamkan bahawa keperluan hidup dan
cara hidup menentukan kesejahteraan penghuni rumah panjang. Bagi mereka yang
telah terdedah dengan kepentingan pendidikan memang dapat dilihat perbezaan
cara hidup dan pemikiran.

Semua ini bakal berubah walaupun
mengambil masa yang lama. Telah terdapat usaha untuk meningkatkan taraf hidup
di kalangan penghuni rumah panjang. Mungkin mereka telah dapat melihat kesan
positif terhadap kaum kerabat yang terlibat dengan projek-projek anjuran agensi
kerajaan.

Mereka juga dapat membuka minda
apabila telah terdedah dengan kunjungan orang luar ke tempat mereka di samping
mereka juga melakukan lawatan sosial dan pendidikan ke tempat lain. Pendidikan
juga adalah jalan untuk keluar dari kemiskinan. Ada banyak cara untuk maju.
Terpulanglah kepada kita sendiri untuk menentukannya. Bak kata pepatah “di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Kami pulang dengan hati girang.
Perut kenyang dijamu dengan nancem. Hati terhibur dan seronok dengan layanan
semua penghuni rumah panjang yang dikunjungi. Pelbagai masalah dapat
diutarakan. Pelbagai kejayaan dapat dikongsi dan juga pengajaran yang
diperolehi hasil daripada lawatan ini.

Perasaan kami bercampur baur. Rasa
kagum, bangga, simpati, terkilan semuanya ada di dalam sanubari. Namun ini
adalah ragam kehidupan. Kami menerima dengan hati terbuka.

Setiap orang di dunia ini ada
tanggungjawabnya masing-masing. Bagi kami sebagai penulis, mungkin inilah tugas
kami, menengahkan isu-isu dan cerita yang ada dalam masyarakat kita. Semuanya sebagai
panduan dan pemahaman pembaca. Setiap antara kita mungkin menjalani kehidupan
yang berbeza, namun kita semua mahukan kejayaan dalam hidup kita.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article