- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Kehakiman Sarawak Terajui Penggunaan ICT

Must read


Kiri: Ketua Hakim Negara mencuba
Sistem Persidangan Tele dan Sistem Persidangan Video dengan
Hakim di Mahkamah Miri dan Mahkamah Sibu.
Kanan:
Kakitangan SAINS menunjukkan bagaimana
Sistem Carian Fail berfungsi

Badan kehakiman di Sarawak menjadi peneraju kepada penggunaan pelbagai aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di negara ini melalui pelancaran Sistem Persidangan Tele, Sistem Persidangan Video, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Sistem Carian Fail (FTS) di mahkamah-mahkamah utamanya di negeri ini.

Pelaksanaaan Sistem Persidangan Tele dan Sistem Persidangan Video di antara Mahkamah Kuching dan Mahkamah Miri merupakan yang pertama di negara ini, sebelum sistem turut dilaksanakan di Mahkamah Sibu dan Bintulu dalam masa terdekat.

Jabatan Kehakiman Negara juga akan meluaskan penggunaan sistem itu ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat yang jelas menunjukkan menifestasi serta komitmen badan kehakiman untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan perundangan negara.

Ketua Hakim Negara, Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim berkata manfaat daripada penggunaan beberapa sistem itu amat banyak dan ia nyata akan menjimatkan masa dan kos yang terpaksa ditanggung oleh mahkamah, peguam dan orang ramai ketika prosiding (perbicaraan) sesuatu kes dijalankan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran pelbagai sistem berkenaan di Kompleks Mahkamah Kuching awal Februari lalu.

Melalui sistem canggih yang dibangunkan bersama oleh Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Sarawak dan Sarawak Information System Sdn. Bhd. (SAINS) itu, mereka yang terbabit dalam prosiding kes tidak perlu menghadirinya secara fizikal.

Menurutnya, para peguam dan saksi prosiding hanya perlu ke Bilik Persidangan di Mahkamah Kuching, Mahkamah Miri, Mahkamah Bintulu dan Mahkamah Sibu untuk menghadirkan diri dalam kes yang sedang berlangsung mahkamah di luar daerah masing-masing.

Sehubungan itu, kos penginapan dan pengangkutan yang tinggi terutama apabila peguam terpaksa menghadiri prosiding mahkamah di luar bahagian masing-masing akan dapat diminimumkan.

Selain itu, ia juga dapat menjimatkan masa peguam dan saksi seperti ahli kimia yang mungkin perlu menghadiri dua kes pada hari yang sama di bandar yang berlainan seterusnya mengurangkan masalah ketidakhadiran peguam dan saksi pada hari yang ditetapkan.

Katanya, sistem itu juga boleh dihubungkan dengan pihak polis dan Jabatan Penjara, khusus bagi menyelaraskan proses mendapat atau melanjutkan perintah tahanan reman seseorang suspek jenayah. Dengan cara itu, ia bukan sahaja menjimatkan masa dan kos malah mengurangkan risiko keselamatan.

Selain itu, sistem SMS dan FTS yang diperkenal juga akan mampu menambahbaik mutu perkhidmatan mahkamah terutama dalam usahanya menangani masalah lambakan kes lapuk.
Jelasnya, kebanyakan kes lapuk berpunca dari faktor pengurusan masa prosiding di mahkamah serta masa peguam dan saksi kes itu sendiri.

Melalui SMS, sesiapa sahaja yang terbabit dalam sesuatu perbicaraan kes akan dimaklumkan tentang perkembangan terkini kes masing-masing. Ia termasuk maklumat terkini tentang perubahan jadual, tarikh, masa dan tempat prosiding dengan hanya menghantar SMS ke nombor perkhidmatan SMS yang disediakan.

Dengan cara ini, peguam serta sesiapa sahaja yang terbabit dalam prosiding akan sentiasa diingatkan tentang prosiding yang akan dihadiri seterusnya dapat menangani bilangan kes tertangguh.

Kejadian kehilangan fail kes di mahkamah pula boleh menjejaskan perjalanan prosiding sehingga menambah bilangan kes lapuk. Walau bagaimanapun, melalui FTS, setiap fail kes akan mampu dikesan melalui penggunaan sistem rekod berkomputer di mahkamah kerana setiap fail kes akan dicatatkan nombor kod bar.

Dengan sistem itu, semua maklumat pergerakan fail dari mula kes difailkan sehingga kes selesai akan direkodkan di dalam komputer mahkamah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article