- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Menjejaki Usahawan Miri

Must read

Kami ditemani oleh dua orang Pegawai Pembangunan Encik Micheal Jenat
dan Encik Elvis untuk menemubual tiga orang usahawan tajaan MARA. Bukanlah
bermaksud hanya tiga orang sahaja usahawan tajaan ini yang ada di Miri, namun
kesempatan yang ada hanya memungkinkan kami bertemu dengan mereka bertiga
sahaja. Dalam kesibukan pihak MARA sendiri yang mempunyai banyak rancangan dan
aktiviti pembangunan, namun mereka masih mahu meluangkan masa memberikan
kerjasama kepada kami apabila diminta untuk memperkenalkan usahawan tajaan
mereka yang berjaya.

Kami
diperkenalkan kepada Encik Ali Yaman. Perjumpaan diatur di pejabat Encik
Ali Yaman di salah sebuah kedai runcit beliau.

Bagaimana dikatakan usahawan yang berjaya?
Banyak perkara menarik yang ditemui mengenai Encik Ali Yaman. Beliau adalah pemilik 3 buah pasar mini, 200
hektar ladang kelapa sawit, sebuah kantin ladang dan juga seorang kontraktor
kelas F yang disegani.

Bekas
juruteknik sebuah syarikat petroleum di Miri, apabila syarikat tersebut
memperkenalkan skim saraan pilihan, beliau yang ketika ini memang berminat
dengan perniagaan mengambil peluang tersebut. Beliau diberi pampasan hampir
lebih RM100,000. Dengan sedikit modal beliau
membuka sebuah pasar mini bumiputera yang pertama di pekan Bekenu pada tahun
1996. Beliau menyewa satu lot kedai dua tingkat.
>

Dugaan
membuka pasar mini memang hebat. Bila dikenangkan kembali memang kenangan yang
sungguh mengusik jiwa.

“Hari
pertama kedai saya dibuka jumlah jualan adalah RM8.00. Ramai orang kampung yang
tidak mahu membeli kerana percaya barangan yang saya jual tidak sebaik yang
dijual oleh peniaga lain dan lebih mahal. Mungkin mereka juga sudah terbiasa
membeli di kedai lain kerana sudah biasa berurusan dengan pemilik kedai
tersebut.”

“Namun
apa yang mendorong penduduk kampung berbelanja adalah daging ayam segar yang
terjamin halal. Inilah sebab utama penduduk kampung terdorong untuk berbelanja
di kedai saya. Sedikit demi sedikit mereka juga membeli barangan lain.”

“Ada
juga yang malu untuk berbelanja kerana takut dilihat dan meyinggung perasaan
pemilik kedai yang telah biasa dengan mereka. Ada permintaan khas untuk setiap
barangan yang mereka beli. Mereka mahu semua barangan itu dibawa dalam plastik
hitam, untuk menyembunyikan hakikat yang mereka telah berbelanja di kedai saya.
Hanya sebahagian yang dibeli di kedai saya dan yang lain dibeli di tempat
biasa.”

Kini
lot kedai yang disewa telah pun menjadi milik Encik Ali sepenuh apabila beliau
membeli lot berkenaan dengan nilai RM200,000. Untuk mengembangkan lagi
perniagaan beliau mendapat pinjaman MARA untuk melunaskan sebahagian daripada
pembelian lot kedai di sebelah pasar mininya yang bernilai RM230,000.

Encik
Ali juga mendapat bimbingan dari MARA apabila beliau mengikuti kursus
pengurusan perniagaan dan perakaunan anjuran MARA.

Encik
Ali kini mempunyai tiga buah pasar mini iaitu di pekan Bekenu, di ladang sawit
beliau juga di Bekenu dan juga di lebuh raya pesisir Bekenu – Miri.

Kini
jumlah jualan harian bagi pasar mininya adalah hampir RM2,000 sehari pada
hari biasa. Pada tahun baru Cina jumlah jualan adalah RM8,000 sehari dan pada
hari penerimaan gaji, jumlah jualan mencecah RM15,000 sehari. Sekarang
keseluruhan operasi kedai diuruskan oleh isterinya. Ini kerana tumpuan Encik
Ali adalah untuk kemajuan syarikat kontraktornya dan juga pengurusan ladangnya.

Walaupun
begitu, bidang perniagaan bukanlah perkara asing. Sewaktu masih dalam
perkhidmatan di syarikat petroleum pun beliau sudah berjinak-jinak dalam bidang
perniagaan dengan beberapa orang sahabatnya iaitu menyewakan jentera berat
untuk kegunaan ladang kelapa sawit. Namun perniagaan itu gagal setelah mereka
ditipu oleh pembekal jentera dari Sibu.

“Saya
terlalu percayakan orang. Wang pendahuluan telah dibayar, namun saya tidak
nampak pula jentera yang dipesan. Apabila dihubungi, syarikat tersebut tidak
melayani saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa tidakan kerana tidak ada hitam
dan putih dalam perniagaan. Saya kerugian hampir RM120,000. Ini adalah
pengajaran pahit buat saya, namun kegagalan ini adalah pengajaran untuk saya.
Tak mungkin saya akan buat kesalahan yang sama dua kali. Ini juga salah satu
sebab pencetus kepada kejayaan saya pada hari ini”.

“Kami
berhutang dengan bank hampir RM120,000. Mujurlah ada pasar mini sebagai
sandaran untuk meneruskan kehidupan. Saya bernasib baik kerana ada perniagaan
sampingan. Rakan kongsi saya serik untuk berniaga dan kembali bekerja di
syarikat petroleum untuk melunaskan hutang bank”.

“Saya
mendapat sokongan penuh isteri dan keluarga saya untuk terlibat dalam
perniagaan ini. Bagi saya kita mesti yakin, jujur dan berdisiplin apabila
terlibat dalam perniagaan”.


Terasa
kagum dan bersemangat apabila mendengar kisah Encik Ali. Bukan senang rupanya
untuk berjaya. Sebarang tindakan ada ujian dan cabaran. Terpulanglah kepada
kita sendiri untuk menanganinya. Perasaan putus asa tidak seharusnya ada dalam
kamus seorang ahli perniagaan.

Kami
bertolak ke bandar Miri untuk bertemu dengan Puan Hajijah Shaikh, pemilik
galeri pakaian siap Alieia Fashion dan kedai jahitan pakaian. Pertemuan
diadakan di galeri Alieia di Bangunan Mara di Jalan Bendahara.

Menjengah
ke dalam galeri, tersusun kemas pakaian moden dan tradisional. Suasana kedai,
bersih, kemas dan nyaman. Terdapat juga aksesori, skarf dan tas tangan sesuai
untuk suai padan dengan pakaian yang terdapat di galeri ini. Boleh dikatakan Alieia Fanshion merupakan
pusat sehenti bagi fesyen terkini untuk wanita.

Puan
Hajijah hanyalah seorang wanita dari Bekenu yang gemar menjahit dan mahu
menjadikan kegiatan jahitannya satu pendapatan tambahan. Untuk menimba
pengalaman, beliau bekerja sebagai tukang jahit di sebuah kedai jahitan pada
tahun 1982 hinggalah 1986. Dengan perolehan dan simpanan yang ada beliau
memberanikan diri membuka sebuah kedai jahitan di Jalan Melayu di Miri. Kedai
ini memang terkenal di bandar Miri kerana kehalusan dan mutu jahitannya yang
sehingga kini tidak dapat ditandingi oleh kedai jahitan yang lain walaupun oleh
kedai jahitan bukan bumiputera. Kualiti merupakan perkara yang diutamakan oleh
Puan Hajijah.


“Saya
terlibat dalam perniagaan pakaian kerana melihat orang bukan Bumiputera tidak
memahami seni jahitan dan fesyen baju Melayu yang betul, kalau tidak ditangani
dari awal, seni ini akan rosak dan akan mudah dilupakan oleh orang Melayu
sendiri”.

Setelah
perniagaannya berkembang Puan Hajijah menyertai kursus ditawarkan oleh Majlis
Amanah Rakyat (MARA). Antara kursus yang disertai adalah Asas Keusahawanan,
Motivasi, Pengurusan Perniagaan dan sebagainya. Berbekalkan pengalaman dan
modal yang dikumpul, Puan Hajijah mengorak langkah memberanikan diri membuka
sebuah galeri pakaian wanita di Bangunan Mara di Jalan bernama Alieia Fashion.

Yang
membezakan pakaian yang ada di kedai Puan Hajijah dengan yang ada di pasaran
adalah kualiti dan keaslian produknya. Beliau hanya memilih pengedar yang sah
untuk mengimport batik, tekstil dan sutera. Ini menentukan bahawa beliau hanya
menjual barang yang dibayar duti importnya. Kualiti kain juga menjadi
keutamaan. Walaupun rekaan mungkin kelihatan sama pada mata kasar, namun jenis
kain adalah penentu pada perbezaan harga. “Ramai pengguna tidak kenal jenis
kain yang elok dan bermutu.” Jelas Puan Hajijah.

“Ramai
orang merungut mengatakan produk kami mahal. Namun mereka sepatutnya tahu nilai
harga yang mereka bayar. Mungkin produk di luar kedai murah, kita tidak
menafikannya, namun kita khuatir akan barang yang mungkin diseludup di mana
tidak ada jaminan atas pembuatannya. Ini terutamanya kain batik dari Indonesia.
Ramai yang tidak faham akan hal ini.
Harga pakaian siap kami dikatakan tinggi berbanding dengan kedai-kedai
lain sedangkan dalam pasaran sememangnya produk yang terkini terutama fesyen
sememangnya berharga tinggi. Kedai kami merupakan antara kedai yang terawal
dalam mengikut arus fesyen”. Sedangkan kedai lain memperolehi barangan yang
lewat keluar di pasaran. Tentulah harga barangan tersebut telah jatuh.
Masyarakat kita belum terbuka untuk menghargai nilai fesyen pakaian yang ada di
pasaran”.

Perniagaan
kedai jahitan sudah lama stabil dan dikenali. Namun Alieia Fashion masih baru
beberapa bulan ditubuhkan.

“Tidak ramai yang mengetahui lot kedai di
sini sudah pun beroperasi. Selalunya pelanggan yang datang adalah secara
kebetulan atau walk-in customer.
Namun bagi pelanggan yang sudah biasa dengan jahitan saya, mereka war-warkan
mengenai galeri pakaian ini. Sambutan
sederhana kerana persaingan yang kuat dari kedai pakaian yang lain. Kami masih
cuba menempa nama dalam bidang ini. Setakat ini saya memang cekalkan hati untuk
berniaga. Saya tahu bidang fesyen memang memerlukan ruang masa untuk mendapat
tempat di hati pelanggan.”

“Tak
takutkah dengan risiko kerugian dengan perniagaan baru ini? “

“Saya
perlu bersabar dan tingkatkan promosi, Insya Allah akan berjaya. Ada juga
pemilik kedai lain yang menjengah untuk melihat kedai ini. Melihat-lihat
strategi yang saya gunakan. Biasalah, saya juga akan berbuat begitu. Itukan
adat dalam perniagaan!,” tegas Puan Hajijah.

Kemudian kami beransur ke Malek Batek Craft
di Miri Hertage Centre. Kami difahamkan usahawan yang bakal ditemubual adalah
seorang artisan terkemuka di daerah
Miri iaitu Encik Abdul Malik bin Adenan yang membuka sebuah gerai kraft di
sana. Encik Abdul Malik kelihatan sibuk menyiapkan lukisan batiknya ketika kami
datang. Beliau tidak menjangka akan kedatangan kami memandangkan hari sudah
lewat petang. Keasyikan melukis membuatkan beliau terlupa seketika temujanji
yang telah dijadualkan.

“Kamu
semua dari mana? Apa yang kamu mahu tahu tentang saya?” Soalnya bertalu-talu. Setelah memperkenalkan
diri barulah beliau tenang dan mula bercerita.

“Dulu
saya bekerja dengan syarikat petroleum, namun hati saya tidak senang, walaupun
kewangan saya mencukupi. Jiwa saya bukan di situ. Saya mengambil keputusan
untuk berhenti dan belajar melukis dan membuat batik di Kelantan. Keluarga saya
tidak setuju dan adik-beradik semuanya menentang. Namun saya cekalkan hati dan
belajar selama tiga tahun di sana. “

Semasa
tekun belajar, pada masa yang sama beliau bertemu jodoh dengan seorang gadis
Kelantan.

“Saya
pulang ke Miri dengan semangat yang berkobar-kobar, sebab tidak ramai orang di
Sarawak yang tahu akan seni batik ini. Jadi saya mahu membuka perniagaan kerana
saya tahu mesti ada pasaran untuk batik saya ini.”

Memulakan
perniagaan di bawah rumah, beliau mula mengambil tempahan untuk skarf dan
kraftangan yang bermotifkan batik. Namun terdapat pula aral apabila mahu
memasarkan barangan.

“Ramai
yang berkenan namun mereka tidak pula mahu membayar harga yang ditawarkan.
Mahal konon. Mereka lupa bahawa hasil seni tidak dapat diukur dengan nilai
wang. Semua mahu sampel percuma. Bagaimana saya mahu meneruskan kehidupan?”

Tak
tahan dengan penjualan kraft tangan, ada pula peluang perniagaan dengan
saudagar dari Brunei.

“Beliau
amat tertarik dengan hasil kerja saya dan mula menempah skarf dan membayar wang
pendahuluan. Kali pertama pesanan adalah RM500. Produk saya diambil dan
kemudian beliau menambah pesanan sebanyak RM3,000. Namun wang pendahuluan
tidak lagi dibayar tetapi saya dibawa makan di hotel terkemuka. Mungkin hati
sudah terpojok maka saya tidak pedulikan masalah itu. Saya menyiapkan tempahan
seperti biasa. Kemudian pesanan kedua diambil dan ada lagi pesanan untuk
berpuluh ribu ringgit. Seperti biasa saya menyiapkan semua tempahan itu. Banyak
modal dan masa yang saya laburkan. Penat melukis Allah sahaja yang tahu. Namun
sehingga kini satu sen pun saya tidak nampak apa lagi kelibat saudagar
terbabit. Saya sudah kena tipu sebab terlalu percayakan pojokan orang. “

“Terlalu
banyak kesannya kepada diri saya, saya berhutang banyak dengan pihak MARA
sehingga menerima surat saman. Namun saya tetap cekal. Saya berjumpa dengan
pihak MARA menjelaskan agar diberi peluang kerana saya tetap mahu melunaskan
hutang saya. Kalau saya ditakdirkan muflis maka MARA mungkin tidak dapat
mengutip walau satu sen pun dari saya. Pihak MARA akhirnya sanggup memberi
peluang kedua.”

“Saya
terpaksa memulakan kehidupan baru kembali. Isteri saya membantu dengan membuka
perniagaan katering secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan kami.. Saya
masih buntu mencari jalan keluar. Setelah puas berdoa dan bersembahyang
tahajud, akhirnya saya mendapat ilham untuk mengiklankan kebolehan saya ini.
Saya mencetak risalah iklan untuk kelas lukisan bagi sesiapa sahaja yang berminat. Kemudian saya didatangi dengan
tawaran untuk mengajar para ekspatriat yang ada di Miri di Piasau Kem. Mereka
ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pelbagai profesion. Mereka
berminat untuk belajar melukis kerana saya menawarkan lukisan batik canting
sebagai kursus utama. Mungkin inilah peluang
yang seharusnya direbut oleh para ekspatriat ini apabila berada di Malaysia.”

“Saya
dibayar untuk setiap dua jam sebanyak RM400 dari pukul 10 pagi hingga lima
petang lima hari seminggu. Saya telah diamanahkan dengan kunci kelas oleh pihak
mereka kerana kepercayaan mereka kepada saya. Bukan mudah untuk mendapatkan
kepercayaan orang luar terhadap bangsa kita!. Saya mesti menunjukkan kejujuran
dan kebolehan saya, barulah saya benar-benar diterima.”

“Hasil
daripada mengajar lukisan batik ini, saya juga mempelajari teknik lukisan yang
lain daripada para ekspatriat ini. Teknik ini saya cuba aplikasikan kepada
lukisan batik saya. Hasil lukisan ini kemudian saya jualkan kepada mereka. Ada
yang membelinya sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke negara mereka”.

Sedikit
demi sedikit, Encik Abdul Malik menempa nama sebagai artisan unggul. Beliau
telah dijemput untuk mengikuti rombongan kraftangan dan pelancongan di luar
negara oleh Majlis Kraft Sarawak.

“Saya
pernah ditempatkan di Kompleks Kraftangan Jalan Conlay sebagai artis jemputan
selama beberapa bulan. Hasil pengalaman saya ke luar negara seperti Jepun dan
Eropah telah membuka mata saya mengenai pentingnya pembungkusan dan penampilan
hasil karya saya. Saya mula belajar teknik bingkai yang sesuai dengan karya
saya. Begitu juga dengan sistem penghantaran yang digunakan. Ini kerana
biasanya karya saya dibeli oleh penggemar seni di luar negara. Kemahiran
sebegini amat perlu apabila memasarkan produk. Saya pernah membingkaikan satu
lukisan namun seorang pembeli dari Amerika Syarikat telah menolak bingkai ini
dan hanya mahukan lukisan saya sahaja. Saya akur dan hanya mengirimkan kanvas
lukisan. Beliau membingkaikan lukisan saya menurut citarasa beliau dan artisan
yang beliau pilih di sana. Hasilnya? Terdapat perbezaan perasaan apabila
lukisan itu siap dibingkaikan. Beliau akhirnya datang kembali ke Miri
semata-mata untuk menyuruh saya membingkaikan kembali lukisan tersebut. Inilah
satu pujian yang paling besar untuk diri saya. Keyakinan diri saya makin kuat
untuk terllibat dapat bidang ini. “

Bagaimana
pula dengan gerai di Miri Heritage Centre?

“Tempat
ini tidak begitu mendapat sambutan. Kalau saya hanya mengharapkan hasil jualan
kraft mungkin sukar untuk senang. Namun saya menggunakan gerai ini sini sebagai
pengkalan untuk saya bekerja. Isteri saya sebenarnya yang menguruskan gerai ini
kerana saya sering keluar mengajar, berkursus dan menyertai pameran di luar
negara”.

Kebanyakan
karya lukisan Encik Abdul Malik dijual dengan harga RM1,000 dan ke atas tidak
termasuk bingkai, pembungkusan dan penghantaran. Bagaimana pula dengan
sambutan?

“Sambutan
bagus terutama di luar negara dan di kalangan para ekspatriat sendiri. Ini
kerana jenis karya saya bermotifkan alam dan subjek menggunakan perantara batik
canting sebagai alat. Seni ini jarang terdapat di tempat lain terutama bagi
para artisan. Ini merupakan jenama saya dan ini adalah diri saya”.

“Saya
juga memasarkan karya saya melalui internet. Saya menggunakan e-mel malatie@yahoo.com untuk menerima pertanyaan
dan tempahan. Laman web belum dibangunkan lagi kerana saya masih mengkaji
penggunaannya dalam perniagaan saya”.

Apakah
nasihat untuk bakal usahawan?

“Pada
saya apabila kita membuat sesuatu biarlah bersungguh. Perlu beri tumpuan dan
komitment tinggi dan jangan terlalu percayakan orang”.

Hari
sudah hampir malam apabila kami selesai menemubual Encik Abdul Malik. Ketara
sungguh perasaan dan jiwanya menceritakan pengalaman beliau kepada kami. Jiwa seorang penggiat seni sememangnya halus
dan sensitif. Namun perasaan ini dapat diseimbangkan selaras dengan ciri-ciri
lain untuk berjaya. Melukis mungkin perkara biasa. Tetapi mengurus dan
memasarkan sesebuah lukisan perlukan karektor lain pula. Beruntung Encik Abdul
Malik kerana mempunyai pendidikan dan ditambah pula dengan kemahiran seninya
maka kerjaya dan karya beliau dapat berkembang dengan lebih pesat lagi.

Artikel ditulis oleh Sharifah Nor Aini Shariff Hussain

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article