- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Perancangan Kerajaan Negeri

Must read

Menangani Ketidaksamaan Sosioekonomi

Negeri
Sarawak pada ketika ini merupakan antara negeri yang paling cepat membangun di
negara ini. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak meningkat
2.8 kali ganda dari RM7,467 pada 1990 kepada RM21,260 pada 2005 sementara
negara pula hanya mencatatkan sebanyak RM17,687 pada 2005.

Ia
bermakna Sarawak mencapai pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus melebihi kadar
purata negara iaitu 4.5 peratus dalam tempoh RMK8.

Malah,
bilangan tenaga kerja juga telah
meningkat sebanyak 31.5 peratus dari 698,900 pada tahun 1990 kepada 919,100
orang pada tahun 2005 yang turut menggambarkan kejayaan usaha kerajaan dalam
menyediakan peluang pekerjaan.

Kejayaan
itu turut membawa kepada penurunan kadar pengangguran di negeri ini dari 9.9
peratus pada tahun 1990 kepada 3.8 peratus dalam tahun 2005.

Sarawak
juga mencatatkan pendapatan isi rumah bulanan purata sebanyak RM2,276 pada
tahun 1999 meningkat kepada RM2,725 pada tahun 2004 iaitu pertumbuhan tahunan
purata sebanyak 3.7 peratus.

Sementara
itu, kadar kemiskinan juga menurun dari 10.9 peratus pada tahun 1999 kepada 7.5
peratus pada 2004.

Walau
bagaimanapun, kerajaan menyedari bahawa ia tidak harus leka dengan fakta dan
nombor semata-mata. Masih banyak ruang perbezaan untuk dipenuhi dengan usaha
berganda demi membawa kemajuan yang mampu dinikmati oleh seluruh lapisan
masyarakat, tidak mengira di mana mereka berada, sama ada bandar mahupun luar
bandar.

Fokus
pembangunan yang akan dilalui untuk membawa negeri Sarawak membangun sepanjang
15 tahun akan datang sehingga tahun 2020 telahpun dibentangkan oleh YAB Ketua
Menteri, Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud pada 20 April 2006 di Persidangan Khas
Dewan Undangan Negeri.

Selain
dianggap sebagai fasa kedua pelaksanaan politik pembangunan yang diperkenal
oleh YAB Ketua Menteri, ia turut menerangkan hala tuju yang bakal dilalui oleh
jentera pembangunan Negeri Sarawak sepanjang RMK9.

Seperti dijangka, strategi untuk membawa pembangunan
ke kawasan luar bandar di Sarawak akan diberi tumpuan khusus oleh kerajaan
negeri.

Pembinaan
infrastruktur dan prasarana di kawasan itu akan diperhebat bagi mendekatkan
jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini bagi
memastikan pembangunan wilayah yang seimbang.

Daripada sejumlah RM15.1 bilion peruntukan bagi
negeri Sarawak (peruntukan ketiga terbesar untuk negeri-negeri di Malaysia),
sebanyak RM4.17 bilion akan digunakan untuk membaiki taraf hidup masyarakat di
luar bandar Sarawak.

Dalam ucapan beliau, YAB Ketua Menteri turut
menjelaskan perspektif pusat pertumbuhan desa (RGC) sebagai langkah ketiga dalam usaha meningkatkan pembangunan
wilayah.

Ia juga dianggap sebagai strategi terpenting kerana
kedudukannya yang lebih dekat dengan masyarakat di kawasan luar bandar.

RGC merupakan penempatan baru kepada
sekurang-kurangnya 5,000 orang penduduk. Melaluinya, kemudahan seperti air,
elektrik, jalan, sekolah, kemudahan kesihatan dan aktiviti ekonomi yang lain
akan lebih mudah dibawa masuk.

Perkembangan di lebih 10 buah RGC sedia ada setakat ini telah menarik perhatian ramai wakil
rakyat dalam Persidangan DUN Julai lepas untuk mencadangkan penubuhan RGC di kawasan masing-masing. Antaranya
di Semop, Bekenu, Selangau, Lachau, Matu dan Kampung Limpaku Pinang (Limbang),

Malah,
langkah melaksanakan persempadanan semula kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) dan Parlimen di Negeri Sarawak telah memberi kelebihan bagi pertambahan
peruntukan kewangan untuk tujuan pembangunan seterusnya akan membantu
mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi dan taraf hidup rakyat di negeri ini.

Mempelbagaikan Asas Ekonomi

Kerajaan
pusat telah merancang supaya asas ekonomi luar bandar di negeri ini dipelbagai
melalui pembangunan industri pembuatan berasaskan sumber, industri berasaskan
kraf, aktiviti hiliran nilai tambah berasaskan pertanian, ekopelancongan dan
perhutanan.

Pusat
pertumbuhan luar bandar yang berdaya maju dan berpotensi pula akan dikenalpasti
dan dibangunkan dengan penyediaan kemudahan asas infrastruktur dan sosial.

Langkah
yang lebih efektif juga akan diambil untuk meningkatkan pendapatan dan
memperbaik kualiti hidup golongan miskin terutama melalui usaha mempergiat
sektor kecil pertanian.

Pekebun
kecil koko, lada hitam dan sagu akan diberi bantuan kewangan untuk memulihkan
ladang mereka melalui konsep berasaskan estet serta aktiviti memproses
berasaskan pertanian.

Skim pembangunan tanah baru dan
pusat pembangunan luar bandar akan dibangunkan untuk menyediakan peluang
pekerjaan dan pendapatan yang lebih besar serta infrastruktur dan kemudahan
lain yang lebih baik kepada golongan miskin di luar bandar.

Sejumlah
RM702 juta akan disediakan untuk membangunkan jalan luar bandar dan jalan
kampung manakala RM396 juta untuk penyediaan bekalan air luar bandar di
Sarawak. Sejumlah RM150 juta pula akan diperuntukkan melalui FELCRA Bhd. untuk
program pembangunan pertanian di Sarawak. Peranan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
juga akan diperkembang bagi mengurangkan kemiskinan keseluruhan dan membasmi
kemiskinan tegar di kalangan Bumiputera melalui pelbagai kursus dan programnya.

Bagi membantu usahawan Bumiputera,
sejumlah RM72 juta diperuntukkan bagi membina premis perniagaan dan
perindustrian.

Bantuan
lain juga akan disediakan oleh pelbagai agensi pelaksana, termasuk agensi
amanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta dewan perniagaan dan
persatuan perdagangan melalui program latihan, R&D dan bantuan teknikal,
pinjaman dan promosi barangan.

Bagi meningkatkan
perkhidmatan kesihatan di luar bandar, lebih banyak klinik kesihatan bergerak
yang dilengkapi kemudahan pembedahan kecil menggunakan perkhidmatan
teleperubatan dan peralatan moden akan disediakan bagi membolehkan kawasan itu
mendapat akses kepada perkhidmatan dan kualiti penjagaan kesihatan yang lebih
baik. Di samping itu, perkhidmatan teleperundingan juga akan diperluas bagi
membolehkan penyediaan perkhidmatan pakar untuk penduduk luar bandar di negeri
ini.

Tidak
ketinggalan kajian semula dan pengukuhan peranan Pejabat Daerah bagi menambah
baik penyelarasan dan pelaksanaan projek dan
program pembangunan luar bandar dan wilayah di negeri ini.

Lembaga
Kemajuan Wilayah yang baru juga akan ditubuhkan di Sarawak bagi mewujudkan
lebih banyak aktiviti yang boleh menjana pendapatan di kawasan pedalaman.

Melalui
pelbagai perancangan dan potensi yang ada, Sarawak dijangka akan mencapai
peratusan KDNK sebanyak 6.1 peratus berbanding 6 peratus pencapaian negara pada
penghujung RMK9.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article