- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Tingkatkan Imej Sistem Perundangan Negara

Must read

Beberapa
pendekatan baru telah digariskan bagi memastikan imej sistem perundangan berada
pada tahap yang terbaik, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Panglima
Richard Malanjum.

Katanya,
antara pendekatan tersebut seperti mahkamah bergerak, sistem persidangan video
dan telepersidangan, penggunaan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), pengabungan beberapa firma guaman,
Teknik Pengurusan Kes dan Penyelesaian Pertelingkahan Alternatif (ADR) bagi mempercepatkan proses
perbicaraan kes.

Beliau
berkata demikian pada majlis pembukaan Tahun Perundangan 2007 yang diadakan di
Bilik Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Kuching baru-baru ini.

Pendekatan
tersebut, menurutnya selain memberi kemudahan dan keselesaan kepada bukan
sahaja kepada institusi mahkamah malah pengamal undang-undang dan orang ramai,
ia juga akan menjimatkan kos pengurusan, di samping dapat menjamin aspek
ketelusan dalam melaksanakan proses keadilan.

Jelas
beliau, ini adalah bagi melicinkan lagi proses perundangan bagi kepentingan
masyarakat dan keadilan.

Menjelas
lebih lanjut mengenai Mahkamah Bergerak, beliau menyatakan bahawa ia
diwujudkan adalah untuk menyediakan khidmat nasihat dan saluran perundangan
bagi penduduk di kawasan luar bandar.

“Kita
memahami kesukaran mereka untuk datang ke bandar atau kawasan yang agak jauh
untuk mendapat hak dalam keadilan”, jelasnya mengenai relevannya penubuhan
mahkamah bergerak.

Sebelum
ini menurutnya, banyak pembaziran masa dan kos yang berlaku, kerana mereka
terpaksa pergi ke mahkamah Kuching.

Selain
itu, beliau berkata penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi
menghubungkan beberapa buah mahkamah di negeri ini.

Buat masa
ini, menurut beliau lagi, sistem tersebut akan digunakan bagi tujuan kes sivil
dan dilaksanakan di antara mahkamah-mahkamah di Kuching dan Miri.

Mengenai
penggunaan SMS dalam urusan seharian,
beliau menyokong penuh usaha tersebut yang disifatkannya boleh digunakan pihak
mahkamah dan peguam untuk berurusan sesama sendiri berkaitan status kes.

Melalui
penggunaan ICT, jelasnya pengendalian
kes-kes dapat dikendalikan dengan lebih cepat dan lancar.

Pendekatan
lain yang akan dilaksanakan adalah pengabungan firma guaman yang dilihat perlu sebagai
persediaan untuk menghadapi cabaran globalisasi.

Teknik
pengurusan kes dan ADR pula adalah
pendekatan bagi memudahkan penyelesaian kes yang melibatkan dua atau lebih
pihak, sebelum mereka hadir ke mahkamah.

Beberapa
langkah lain yang telah dilaksanakan adalah seperti mempercepatkan proses
perbicaraan dan penyelarasan beberapa kes tertunggak.

Terdahulu
sebelum itu, acara sambutan Tahun Perundangan 2007 dimulai dengan perarakan
dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Bangunan Mahkamah yang diketuai oleh Datuk
Seri Panglima Richard Malanjum bersama semua pengamal undang-undang di negeri
ini yang seterusnya diikuti dengan acara kemuncak iaitu amanat daripada Datuk
Panglima Richard Malanjum kepada pengamal perundangan di Bilik Mahkamah
Persekutuan, Mahkamah Kuching.

Turut
hadir pada majlis tersebut, tiga (3) orang Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia
iaitu Dato’ Bentara Istana, Dato’ Nik Hashim Nik Abdul Rahman, Dato’ Haji
Hashim Dato’ Haji Yusuff dan Dato’ Azmel Haji Maamor.

Hakim
Mahkamah Tinggi dari Sarawak yang hadir termasuk, Datuk Clement Allan Skinner,
Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, Lau Bee Lan,Datuk Linton Albert dan Dato Zulkifli
Baba.

Hadir
sama, Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk JC Fong dan Peguam Kanan Persekutuan,
Fadzillah Begum dan Presiden Majlis Peguam Sarawak, Sim Hui Chuang.

Info Ringkas Mengenai Mahkamah Bergerak

  • Mahkamah bergerak yang pertama di Sarawak telah memulakan perbicaraan pada 31 Januari yang lepas (2007) di Pekan Balingian, kira-kira tiga (3) jam perjalanan dari Bandar Sibu.
  • Sesi perbicaraan tersebut bermula dari 9 pagi hingga 5 petang di pejabat daerah Balingian
  • Dari Balingian, mahkamah ini ke Oya, dan kemudiannya Kapit dan Song
  • Mahkamah ini mempunyai seorang pesuruhjaya sumpah dan peguam
  • Antara perkhidmatannya, selain mendengar kes-kes tempatan, ia turut menyediakan perkhidmatan seperti pengesahan dokumen dan angkat sumpah.
  • Mahkamah bergerak ini diwujudkan di kawasan pedalaman adalah bertujuan membantu menyelesaikan masalah kes tertunggak dan pengesahan dokumen.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article