- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Belajar Dari Pengalaman Lepas

Must read


Belajar dari pengalaman lepas, itulah sebahagian daripada pendekatan atau cara berkesan untuk mengenalpasti kelemahan dalam persediaan menangani sebarang bencana alam agar ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot merujuk kepada aspek persediaan atau kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bencana alam yang menurutnya perlu kepada satu sistem pengurusan krisis yang berkesan.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Kursus Asas Kesiapsiagaan Bencana (Siri 1/2007) kepada anjuran Unit Keselamatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri baru-baru ini.

Walaupun Sarawak tidak menghadapi sebarang ancaman besar banjir pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini (2007), namun jelasnya sesuatu harus dipelajari daripada pengalaman pada tahun 2003 dan tahun 2004.

Katanya, keupayaan meramal sesuatu yang berlaku dan tindakan bersepadu seluruh agensi di samping cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik mampu memperlengkapkan diri untuk menghadapi apa sekalipun situasi.

Menceritakan mengenai pengalamannya sewaktu meninjau kawasan banjir, jelas beliau, beberapa aspek logistik seperti pengangkutan, pusat pemindahan, bekalan makanan, pakaian dan sebagai perlu diperkemaskan lagi.

Malah, jelasnya aspek kesiapsiagaan turut menuntut kecekapan pihak yang dipertanggungjawabkan agar bergerak "pantas" dengan menyediakan maklumat tepat dan terkini bukan sahaja kepada mangsa bencana tetapi hendaklah menyeluruh termasuk masyarakat dan pihak media.

Jelasnya lagi, semua pihak harus memainkan peranan mereka agar sesuatu bencana dapat diuruskan dengan baik.

“Dalam menangani apa jua bencana, ia memerlukan usaha bersama pelbagai pihak dan jika kita terlalu bergantung kepada satu-satu pihak, adalah dikhuatiri usaha sebegini akan menemui kegagalan,” katanya.

“Sebarang alasan kelewatan atau lambat melaksanakan tugas sewaktu bencana tidak dapat diterima kerana setiap pegawai harus lebih fokus ketika melaksanakan tugas”,katanya.

Menurut beliau, banyak perkara yang perlu diperhalusi yang melibatkan pelbagai pihak bagi menjamin operasi pemindahan dan menyelamat ketika bencana alam berjalan dengan lancar.

Mengenai kursus yang julung kali diadakan itu, ia perlu dilihat sebagai medium kepada setiap peserta berkongsi maklumat dan mendapat gambaran jelas bagi memastikan pengurusan menangani bencana dapat diurus pada tahap terbaik.

Katanya, sekiranya pegawai dari agensi yang berkaitan mendapat latihan dan maklumat yang mencukupi, mereka boleh berhadapan dengan apa juga cabaran sekalipun.

Kursus Asas Kesiapsiagaan Bencana (Siri 1/2007) selama 2 hari anjuran Unit Keselamatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sarawak ini melibatkan seramai 58 orang peserta daripada 29 buah agensi kerajaan negeri dan persekutuan, GLC dan NGO. Siri pertama tersebut lebih tertumpu kepada pengurusan bencana banjir khasnya Bahagian Kuching.

Matlamat penganjurannya adalah sebagai satu persiapan menghadapi sebarang kemungkinan bencana di Negeri Sarawak dengan setiap pegawai-pegawai barisan hadapan (front liner) diberi pemahaman dan pendedahan menyeluruh ketika berhadapan dengan sebarang situasi.


Selain ceramah, turut diadakan latihan simulasi selama 6 (enam) jam.

Sebelas (11) ceramah melibatkan 10 buah agensi kerajaan antaranya Unit Keselamatan Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM),Polis DiRaja Malaysia (PDRM), BKN,Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran dan Pejabat Residen Kuching.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article