- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sisa Toksik Berbahaya Pada Manusia dan Ekosistem

Must read

Dalam usaha mengejar pembangunan, kita turut menyaksikan pertumbuhan pelbagai jenis industri yang turut membawa banyak peluang pekerjaan.

Tetapi, penghasilan sisa industri termasuk sisa toksik merupakan kesan sampingan yang tidak dapat dielakkan.
Dianggarkan lebih kurang 5,000 syarikat yang dikenal pasti mengeluarkan sisa toksik atau sisa berjadual yang memerlukan rawatan teliti sebelum dilupuskan di negara ini.

Secara purata industri berkenaan menghasilkan kira-kira 430,000 tan metrik sisa toksik setiap tahun sejak tahun 2001 di seluruh negara.

Sarawak pula mencatatkan antara 8,000 sehingga 14,000 tan dalam setahun. Namun, angka itu merupakan data rasmi yang bermakna bilangan yang melalui pengendalian pelupusan dan perawatannya berdasarkan prosidur yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Bagaimana pula dengan sisa toksik yang tidak dibuang atau dilupuskan dengan cara yang sepatutnya sama ada di tanah lapang, kawasan terpencil dan sungai yang berhampiran dengan kediaman manusia?

Di antara tahun 2001 sehingga 2005, sebanyak 97 kes pembuangan sisa toksik telah dikendalikan oleh JAS kerana adanya laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

Antara penyebab yang dikatakan membawa kepada masalah itu ialah kos rawatan yang tinggi terpaksa ditanggung oleh pihak industri yang menghasilkan bahan tersebut.

Bagi pelupusan secara timbus, industri terpaksa memperuntukkan sekitar RM400 bagi satu tan manakala untuk sisa-sisa toksik yang berbahaya kosnya mencapai RM4,000 satu tan.

Sisa toksik yang tidak dikendalikan dengan cara yang sepatutnya itu telah menimbulkan pelbagai bahaya yang sukar diramal tahapnya kepada manusia dan ekosistem keseluruhannya.

Begitu juga dengan pelbagai jenis penyakit yang tidak pernah berlaku pada zaman nenek moyang kita suatu ketika dahulu.

Kewujudan pelbagai jenis penyakit akut atau kronik pada hari ini tidak dapat dinafikan daripada kesan agen-agen toksik yang terdapat di persekitaran kehidupan manusia.

Ia menjejaskan kesihatan kita sama ada melalui air yang diminum dan digunakan, udara yang dihirup dan bahan makanan yang dimakan setiap hari.

Ini bermakna ekosistem kita yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, buah-buahan atau makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan haiwan peliharaan yang terdedah pada bahan toksik akan turut memberi kesan memudaratkan kepada kesihatan manusia.

Kimia organik meruap seperti bahan pencuci, perekat, cat, cecair pencuci kering, pengawet kayu, pewangi, semburan rambut, kerosin, asap tembakau, pengecat kuku dan pelarut cat mengandungi bahan kimia seperti trikloroetilina, benzena, toluene, etil keton, alkohol, metakrilat, akrolein, polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH) dan racun makhluk perosak boleh menyebabkan loya, muntah, pening, letih, keradangan pada mata, kulit, saluran pernafasan dan hidung tersumbat.

Bahan seperti formaldehid yang dibebaskan dari papan lapis, kayu gentian, perekat dan gam, bahan tekstil, asap tembakau, cat dan kosmetik pula menyebabkan tindakbalas alahan ke atas kulit, mata, paru-paru dan saluran pernafasan.

Plumbum yang biasa digunakan dalam industri cat, saluran paip, alat permainan, perabot, industri kimpalan, seramik, kaca dan bateri pula boleh menyebabkan kerosakan pada sistem saraf, buah pinggang, kesukaran belajar, memberi perhatian dan daya ingatan yang rendah. Pendedahan yang besar ke atas bahan itu menyebabkan sawan, tidak sedarkan diri dan kematian.

Bahan yang digunakan dalam pembuatan racun makhluk perosak seperti racun serangga, racun makhluk perosak, racun kulat dan racun lalang dalam aktiviti pertanian atau kegunaan rumah boleh menyebabkan simtom keracunan ditunjukkan dengan serta merta seperti sakit kepala, pening, otot memulas, lemah dan loya.

Di samping toksik kepada tumbuhan, bahan kimia organik meruap yang dihasilkan dari aktiviti pelupusan sampah, loji pembersihan air dan penghasilan minyak mentah dan gas asli pula menyebabkan penyakit berkaitan kanser kulit, katarak, lemah sistem badan melawan penyakit dan masalah pernafasan.

Implikasi Toksik Pada Kesihatan

Alergi

Terutama pada kanak-kanak yang sangat sensitif bahan kimia tertentu dari jenis sintetik lalu menyebabkan kesan alergi seperti bersin, mata gatal dan hidung berair.

Cacat

Racun makhluk perosak, pengganggu endokrin, logam berat, pencemar organik dan sebagainya boleh menyebabkan kerosakan pada sistem pembiakan manusia. Ia seterusnya menyebabkan kecacatan fizikal dan sistem saraf pada kanak-kanak baru lahir atau setelah mereka meningkat dewasa.

Keradangan kulit

Keradangan kulit boleh disebabkan oleh bahan kimia seperti pelarut, bahan pencuci, logam berat serta tumbuhan tercemar.

Emfisema

Paru-paru tidak dapat mengepam masuk dan keluar udara dengan sempurna disebabkan oleh pencemaran udara oleh bau dan asap bahan toksik.

Kerosakan Ginjal

Logam seperti kromium, plumbum, raksa, kadmium, kuprum, racun makhluk perosak, pelarut organik boleh menyebabkan kerosakan ginjal.

Gangguan Hormon

Boleh terjadi jika terdedah kepada pencemar organik kekal seperti dioksin, PCB (poliklorinated bifenil) serta pengganggu endokrin seperti racun makhluk perosak dan phthalate.

Kelemahan Sistem Imunisasi

Kelemahan sistem imuniasasi menyebabkan badan mudah mendapat penyakit. Biasanya disebabkan oleh pencemar organik kekal, pengganggu endokrin dan lain-lain.

Kanser

Pelbagai jenis kanser dikaitkan dengan pendedahan terhadap asbestos, pelarut organik, logam berat dan racun serangga. Kanser tersebut adalah seperti kanser paru-paru, payudara, hati, sistem pembiakan, leukemia dan lain-lain.

Keracunan Plumbum

Keracunan ini ditunjukkan oleh tanda dan simptom seperti sakit kepala, kekejangan otot, sawan, kesukaran belajar dan menyebabkan kematian. Biasanya terdapat dalam cat, alat tulis dan air yang tercemar oleh sisa industri.

Keracunan Raksa

Makanan yang dimakanan seperti ikan yang telah tercemar dengan bahan ini boleh menyebabkan kerosakan ginjal, hati dan saraf. Tanda dan simptom keracunan seperti kebas, lemah otot, kekaburan mata, lumpuh dan juga boleh membawa kepada kematian.

Kerosakan Sistem saraf

Boleh berlaku akibat dedahan kepada kimia seperti racun makhluk perosak, logam berat dan pelarut organik.


Masih Selamatkah Kita Dengan Kehadiran POPs?
POPs atau pencemar organik kekal adalah bahan kimia yang paling toksik dan sedang tersebar meluas di alam sekitar kita. Ia sangat toksik kepada manusia dan haiwan walaupun dalam jumlah pendedahan yang kecil.

Umumnya, POPs bersifat separa meruap yang menyebabkannya mudah tersebar pada jarak jauh sehingga beribu kilometer dari puncanya sama ada melalui aliran udara dan air.

POPs juga mempunyai struktur kimia yang tidak mudah lupus dan ia sangat stabil serta mudah larut di dalam lemak dan berkumpul secara biologi di dalam tisu lemak haiwan, manusia dan organisma hidup sehingga mencecah 20 hingga 30 tahun.

Didapati paras POPs di dalam haiwan lebih tinggi daripada ikan dan diikuti fitoplankton dan sedimen.

Agensi perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) juga pernah melaporkan kira-kira 95 peratus POPs di dalam manusia adalah berpunca dari makanan yang dimakan.

Pada masa ini terdapat 12 bahan kimia yang diklasifikasi sebagai POPs, iaitu Aldrin, Klordan,Dieldrin, Endrin, Heptaklor, Mirek, Toxafen, DDT, poliklorinated dibenzo-p-dioksins (dioksin), poliklorinated dibenzofurans, Hexaklorobenzena dan PCB.

Hexaklorobenzena dan PCB merupakan bahan bahan kimia yang biasa dihasilkan oleh industri dan boleh juga terbentuk sebagai hasil sampingan pembakaran dari aktiviti yang tidak disengajakan.

Selain dari dioksin dan furans, PCBs dan heksaklorobenzena juga telah dikenal pasti sebagai hasil sampingan aktiviti pembakaran industri. Ia terhasil dari pembakaran klorin yang berasal dari polivinil klorida (PVC), pembungkus plastik, pelarut berklorin, kepingan cat dan racun makhluk perosak atau racun serangga.

Aktiviti peleburan logam, penapisan minyak, relau dan dandang boleh juga menyumbang kepada penghasilan POPs.

Bulletin Umum Pusat Racun Negara (Bilangan 48), Universiti Sains Malaysia menjelaskan bahawa secara amnya punca perlepasan utama POPs di Malaysia adalah dari hasil sampingan aktiviti-aktiviti yang tidak disengajakan dari pembakaran industri seperti insinerator bagi sisa perubatan, buangan Majlis Perbandaran dan sisa berbahaya, asap kenderaan, pembakaran arang batu dan kayu dan sebagainya.

Setiap POP’s mempunyai kesan jangka pendek dan panjang sama ada ke atas manusia mahupun ekosistemnya seperti berikut :

Aldrin

  • Kegunaan: Racun makhluk perosak untuk pengawalan serangga tanah seperti cacing, belalang dan lain-lain. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1994
  • Metabolisma: Dimetabolisma di dalam tumbuhan dan haiwan kepada dieldrin.

Chlordan

  • Kegunaan: Racun serangga di dalam pertanian dan racun anai-anai. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1998.
  • Metabolisma:Terikat kuat pada sedimen akuatik dan terkumpul di dalam lemak organisma. Ia memberi kesan ke atas sistem ketahanan badan melawan penyakit.

DDT

  • Kegunaan: Kawalan penyakit berjangkit atau vektor seperti malaria dan juga digunakan di dalam pertanian. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1999.

Dieldrin

  • Kegunaan:Di dalam pertanian untuk mengawal serangga tanah, anai- anai. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1994.
  • Metabolisma: Dieldrin akan terkumpul di dalam badan dan merosakkan hati dan saluran ‘biliary’

Dioksin

  • Kegunaan: Tiada kegunaan dan terhasil dari kegiatan yang tidak disengajakan seperti pembakaran dan tindakbalas kimia di antara jisim organik dengan klorin atau bahan kimia hidrokarbon yang mengandungi klorin.
  • Keracunan: Menyebabkan chloracne, peripheral neuropathies, kepenatan, kemurungan, perubahan personaliti, hepatitis, pembengkakkan hati, paras enzim yang tidak normal dan gangguan sistem pembiakan lelaki dan wanita.

Endrin

  • Kegunaan: Racun serangga dan tikus di dalam pertanian. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990.
  • Metabolisma: Dimetabolisma dengan cepat dan tidak terkumpul di dalam badan.

Hexachlorobenzene

  • Kegunaan: Racun kulat dan juga hasil sampingan industri kimia. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990.
  • Metabolisma: Terkumpul di dalam lemak organisma
  • Keracunan: Memberi kesan pada kulit, pigmen kulit, pertumbuhan bulu yang tidak normal, sakit dada, porphyrinuria dan keletihan.

Heptachlor

  • Kegunaan: Racun serangga dan anai-anai. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990.
  • Metabolisma: Berkumpul di dalam lemak organisma. Dimetabolisma kepada heptachlor epoksidheptachlor.

Mirex

  • Kegunaan: Racun serangga seperti semut, anai-anai, lebah. Ia juga diguna sebagai penghalang api di dalam barangan plastik, getah, kertas dan elektrik. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990.
  • Metabolisma: Berkumpul di dalam organisma hidup terutama tisu lemak.
  • Keracunan: Kerosakan hati, katarak dan kecacatan bayi.

Polychlorinated biphenyls (PCB)

  • Kegunaan: Dalam transformer dan kapasitor, cat, kertas pendua tanpa karbon dan plastik. Terdapat 209 jenis PCB.
  • Keracunan: Kerosakan pada hati, pembengkakkan mata, pigmentasi pada kuku dan selaput mukos, kepenatan, loya dan muntah, penipisan lapisan kulit, kulit menjadi gelap, jerawat, kanser, sistem pembiakan, saluran penghadaman dan kelenjar tiroid.

Toxafen

  • Kegunaan: Racun serangga dalam pertanian dan ternakan. Diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990.
  • Metabolisma: Terkumpul didalam organisma hidup.
  • Keracunan: Merosakkan kromosom, buah pinggang, tiroid dan hati.

Furans

  • Kegunaan: Tiada kegunaan dan terhasil dari kegiatan yang tidak disengajakan seperti pembakaran dan tindakbalas kimia di antara jisim organik dengan klorin atau bahan kimia hidrokarbon yang mengandungi klorin.
  • Keracunan: Menyebabkan chloracne, gangguan sistem saraf, kepenatan, kemurungan, perubahan personaliti, hepatitis, pembengkakan hati, paras enzim yang tidak normal dan gangguan sistem pembiakan lelaki dan wanita.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article