- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perlukah Lebih Ramai Kakitangan Awam

Must read

Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs), baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi mengenai
keperluan bagi kerajaan untuk menambah bilangan jumlah kakitangan awam sejumlah
200,000 orang menjelang tahun 2020.

Di peringkat Cuepacs, mungkin ini dilihat perlu sejajar
dengan pertambahan bilangan jabatan, agensi kerajaan, universiti awam malah
kementerian sekalipun yang diramal meningkat ketika itu (2020).
Malah kini dapat disaksikan beberapa insititusi pengajian awam (kolej
universiti) turut dinaiktaraf ke universiti turut menuntut peningkatan jumlah
tenaga kerja.

Di samping, itu keperluan dalam aspek mewujudkan bidang
baru turut memungkinkan keperluan lebih banyak penjawat awam ditambah.

Perkara ini ada kebenarannya disebabkan peningkatan
permintaan pengguna (perkhidmatan kerajaan) yang inginkan perkhidmatan lebih
baik.

Walaupun tidak kesemuanya, namun mungkin ia melibatkan
sesetengah jabatan yang melibatkan ramai pengguna atau pelanggan misalnya
Jabatan Pendaftaran, Jabatan Imigesen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),
Jabatan Pelajaran dan sebagainya.

Secara rasionalnya, di pihak Kementerian Sumber Manusia
sudah pasti ada alasan yang kukuh menolak cadangan ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn,
berkata pihaknya menolak cadangan tersebut yang mahu Ceupacs lebih fokus kepada
usaha untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Urusan kaunter perkhidmatan kini umpamannya telah
dipermudah dengan perkhidmatan dalam talian yang boleh dilaksanakan dengan
“sekali klik” sahaja.

Malah kemunculan akses laman web organisasi itu sendiri di
samping beberapa lagi perkhidmatan lain seperti khidmat pesanan ringkas (SMS),
muat turun borang secara online, telepersidangan, aplikasi dan portal baru dan
sebagainya yang sebenarnya bertujuan mengurangkan keperluan pertambahan
mendadak kakitangan awam.

Sungguhpun begitu, beliau tidak menafikan terdapatnya
kekurangan kakitangan di beberapa sektor seperti guru, polis, doktor dan
jururawat

Beliau mengulas demikian berhubung kenyataan Presiden
Ceupacs, Omar Osman mengenai bilangan 1.3 juta kakitangan awam yang dijangka
tidak dapat menampung keperluan negara menjelang tahun 2020.

Jelas Menteri Sumber Manusia, penambahan kakitangan
sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan bukannya
pada tahun 2020.

“Kita tidak mahu keadaan berlaku seperti di kebanyakan
sektor yang kini mengalami “lebihan” kakitangan di sektor pengurusan”,katanya.

Sehinggakan bagi menangani keadaan tersebut, beberapa organisasi
digesa supaya melatih semula kakitangan mereka dan diserap masuk di beberapa
jawatan yang masih berlaku kekurangan.

Malah kenyataan ini turut disokong oleh Ketua Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ketika Majlis Pelancaran
Penggunaan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Perkhidmatan Awam
Negeri Sarawak pada 5 Disember lepas yang pernah menyuarakan bahawa dalam
beberapa keadaan di mana jawatan tertentu tidak diisi dan masih kosong
disebabkan kementerian dan agensi mendapati jawatan tersebut tidak diperlukan
lagi dan kurang relevan.

Kekosongan jawatan, jelas beliau lagi akan sentiasa
berlaku hampir setiap tahun sebanyak 10 peratus disebabkan terdapatnya
kakitangan yang bersara di samping beberapa jawatan yang memerlukan tempoh yang
agak lama untuk pengambilan seperti guru dan doktor.

Jelasnya lagi, proses pengisian jawatan perkhidmatan awam
adalah berdasarkan keperluan semasa yang menurutnya setakat November 2006,
lebih 20,000 jawatan kosong oleh siswazah telah berjaya diisi setelah kerajaan
mengarahnya agensi kerajaan terbabit berbuat demikian Julai tahun lepas (2006).

Bagi kita di pihak pengguna perkhidmatan, hanya satu yang
kita inginkan iaitu sistem penyampaian perkhidmatan yang ada kini menjadi
bertambah baik.

Tiada gunanya kita memiliki ramai penjawat awam sekiranya,
perkhidmatan masih berada pada ditakuk lama. Apa yang penting adalah kualiti
dan bukannya kuantiti.

Pernah timbul senario suatu ketika dulu di mana
pengambilalihan peranan ICT turut menyaksikan sesetengah jawatan yang ada kini
dilihat kurang relevan.

Mengambil contoh antara jawatan terbabit ialah seperti
stenografi dan kerani yang kini berhadapan dengan cabaran untuk “kekal
relevan”.

Itu belum termasuk beberapa organisasi yang pernah mengalami
penstrukturan semula atau yang perlu distruktrukkan semula.

Bagi masyarakat di Sarawak, sebuah negeri yang agak luas,
kita mengharapkan perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan perlu “sampai”
ke sasaran peringkat akar umbi di samping dalam masa yang sama menuntut
kesanggupan kakitangan awam “turun padang” bersama-sama melaksanakan amanah
yang diberikan.

Banyak perkara yang melibatkan kakitangan perlu
diselesaikan terlebih dahulu antaranya seperti kesanggupan kakitangan
berkhidmat di kawasan pedalaman, adakah perkhidmatan sampai kepada golongan di
luar bandar, keadaan prasarana yang boleh dipertingkatkan lagi, dan sebagainya
tanpa menepikan kebajikan penjawat awam itu.

Walau bagaimanapun, pujian haruslah diberi kepada sektor
perkhidmatan awam itu sendiri yang bersedia untuk meningkatkan serta
memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatannya kepada kita semua.

Dapat disaksikan sikap keterbukaan sektor perkhidmatan
awam itu sendiri yang membudayakan sikap telus, berintegriti dengan pada masa
yang sama berusaha mengurangkan karenah birokrasi.

Beberapa proses dan prosedur perkhidmatan telah
dipermudahkan yang secara tidak langsung meningkatkan keyakinan masyarakat
terhadap sektor perkhidmatan awam.

Kita akui bahawa sektor awam, sebagai entiti yang membuat
dan melaksanakan dasar perlu memainkan peranan penting bersama-sama sektor
swasta dan masyarakat dalam menganjak ekonomi negara.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article