- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Rebut Peluang Jadi Usahawan MARA

Must read


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
melihat barangan yang dipamerkan di gerai Sarawak. Beliau diiringi oleh
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah

Sesiapa sahaja yang mempunyai cita-cita menjadi seorang usahawan boleh meneruskan hasrat mereka itu kerana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) melalui agensinya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempunyai peruntukan yang cukup besar untuk tujuan itu.

Dengan peruntukan berjumlah RM5.7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kementerian itu berharap dapat mencapai kira-kira 150,000 usahawan menjelang tahun 2010, meningkat dari kira-kira 46,299 orang pada tahun 2006.

MECD dalam tempoh itu mensasar untuk melahirkan 11,000 usahawan berasaskan kemahiran iaitu dari kalangan pelatih Pusat Giat Mara (PGM) yang berpotensi untuk dibangun dan dikembangkan. Ini kerana dengan kemahiran dan pengalaman yang diperoleh mereka diharap mampu menjadikan mereka berdaya saing.

Selain 11,000 usahawan berkenaan, MARA juga mensasarkan seramai 10,000 lagi usahawan dalam perusahaan mikro dan 20,000 orang usahawan Bumiputera terlibat dalam bidang peruncitan.

Dalam merealisasikan sasaran itu, MARA telah merancang pelbagai strategi dan program untuk dilaksanakan.

Antaranya ialah penganjuran Pesta Produk Usahawan 2007 yang diadakan di Tebingan Sungai Kuching pada penghujung Januari lalu.

Penganjuran itu juga merupakan yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan telah menghimpunkan kira-kira 30 usahawan MARA yang berjaya dalam pelbagai pengeluaran produk.

Pesta Produk Usahawan berbeza dengan ekspo usahawan MARA yang pernah diadakan kerana hanya usahawan yang terbaik dari setiap negeri sahaja yang layak menyertai pesta produk itu.
Setiap negeri juga dibahagikan kepada gerai masing-masing dan hanya mempamerkan produk terbaik mengikut negeri.

Selain usahawan terpilih itu, sebanyak 90 gerai yang menyertai pesta itu yang turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta. Antara produk yang dipamerkan mereka ialah makanan, minuman, kraftangan, herba, pakaian dan kosmetik.

Selain mempromosikan produk keluaran, pameran itu juga telah menjadi landasan untuk para usahawan untuk mengadakan pemadanan perniagaan untuk membangunkan lagi usaha masing-masing.

Sememangnya penganjuran pesta itu amat tepat dengan strategi dan matlamat MECD bagi melahirkan usahawan berkualiti dan bukan setakat menumpukan kepada usaha untuk menggandakan bilangan mereka.

MECD dalam usahanya itu turut akan membantu menerusi beberapa pendekatan seperti program inkubator, latihan menerusi syarikat-syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta menyediakan modal untuk membuka perniagaan.

Malah, Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) juga merupakan inisiatif baru MECD yang baru ditubuhkan di 11 bahagian di Sarawak. Penubuhan itu sekaligus manjadikan negeri ini yang pertama memiliki majlis itu di setiap bahagian di negara ini.

MPUB merupakan mekanisme baru MECD dalam usahanya menyelaras program pembangunan usahawan di peringkat akar umbi yang akan menjadikan usaha pemantauan dan pembangunan usahawan lebih fokus dan menyeluruh. Sebanyak RM60,000 disediakan kepada setiap MPUB untuk melaksanakan aktiviti mereka.

Serentak dengan penganjuran Pesta Produk Usahawan itu, MARA turut menganjurkan Karnival Pendidikan MARA 2007 iaitu yang kelapan, bertempat di Kompleks Pelancongan Sarawak yang melibatkan penyertaan 30 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Pendidikan MARA (IPMa) dari seluruh negara.

Karnival Pendidikan MARA 2007 menyediakan pelbagai imput pendidikan terkini
kepada golongan belia dan pelajar sekolah

Karnival Pendidikan itu telah menarik perhatian ramai golongan pelajar serta belia untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang peluang-peluang dan kemudahan-kemudahan pendidikan yang ditawarkan oleh pelbagai institusi pendidikan di negara ini.

Pesta Produk Usahawan dan Karnival Pendidikan MARA 2007 yang berlangsung selama tiga hari itu telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia.

Info

  • 29 dana dan skim jaminan untuk perusahaan kecil berjumlah kira-kira RM15 bilion disalurkan melalui pelbagai agensi seperti MARA dan Kementerian MECD, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Bank Pertanian, Bank SME, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sebagainya.
  • Kira-kira 46,299 orang usahawan MARA di seluruh negara. Dari jumlah itu, kira-kira 35 peratus merupakan usahawan wanita
  • Kira-kira 1,953 orang usahawan MARA di Sarawak


Sila lihat juga :
Usahawan Wanita Teroka Industi Rempah Masakan
MARA Sasar 18 Ribu Usahawan Baru



Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article