- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Tuntutan Kenaikan Gaji Kakitangan Awam

Must read

Kakitangan awam di negara ini diminta bersabar
menunggu keputusan kerajaan berkenaan dengan tuntutan kenaikan gaji hampir 1.2
juta kakitangan awam yang dibuat Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) kerana kerajaan dan Cuepacs akan berunding untuk
menyelesaikan perkara itu, berdasarkan kemampuan kewangan negara.

Perkara ini dinyatakan oleh YAB Datuk Seri
Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dipetik daripada Berita Harian
pada 15 Februari 2007 yang lalu ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Cuepacs, di Kuala Lumpur. Teks ucapannya
dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Bernard Dompok.

TPM berkata, perkara itu sedang
diperhalusi dan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sendiri
sudah menjelaskan kerajaan sedang menilai tuntutan itu.

Pada Januari baru lalu, Perdana Menteri
ketika mengulas penyerahan Memorandum Semakan Gaji Anggota Sektor Awam oleh Cuepacs berkata, beliau akan
memperhalusi semua hujah Cuepacs dan
sebarang keputusan bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

Omar
Osman (Presiden Cuepacs)
dalam tuntutan itu berkata, kenaikan gaji
wajar diberikan kerana kira-kira 600,000 kakitangan sokongan mungkin berada di
bawah paras kemiskinan jika kerajaan tidak membuat semakan gaji dalam tempoh
tiga tahun daripada sekarang.

Kali terakhir semakan gaji dibuat ialah 14
tahun lalu yang menyaksikan kenaikan antara 10 hingga 40 peratus.

YAB Datuk Seri Najib berkata, kerajaan
sentiasa bersikap terbuka dalam sebarang rundingan dengan pemimpin Cuepacs kerana mereka juga kakitangan
awam yang memahami dasar serta objektif negara.

Sementara itu, ketika selepas menutup
Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam, di sini, YAB Datuk Seri Najib
berkata, kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam bukan saja diukur berdasarkan
kemampuan perbelanjaan kerajaan tetapi juga produktiviti.

“Kalau produktiviti dapat diperlihatkan
semakin meningkat, ada justifikasi yang kuat untuk kita mengkaji semula gaji
dan elaun pegawai dan kakitangan kerajaan, lebih-lebih lagi atas saranan
Perdana Menteri supaya sistem penyampaian kita diperbaiki sepanjang masa,”
katanya.

TPM berkata, kerajaan sentiasa memikirkan
cara untuk membantu kakitangan awam, terutama dari segi kebajikan mereka.

Sementara itu, Omar berkata, lebih 800,000
kakitangan awam Kumpulan Sokongan Tahap 1 dan 2 sudah menunggu 15 tahun untuk
menikmati kenaikan gaji hingga ada yang terpaksa mengikat perut untuk menyara
hidup, terutama di bandar besar.

“Produktiviti tidak perlu dijadikan isu
untuk melengah-lengahkan perkara ini kerana ia sudah lama meningkat. Untuk
melahirkan modal insan yang lebih cekap dan bertanggungjawab, kita perlukan
perubahan,” katanya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article