- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Turun Padang Raikan Warga Emas Rumah Seri Kenangan

Must read


Tidak ada apa yang dapat digambarkan daripada raut wajah warga emas selain perasaan gembira dan terharu apabila menerima kunjungan serta pemberian angpau daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot

Mungkin di hati penghuni Rumah Seri Kenangan, masih ada lagi pihak yang sudi mengingati mereka serta mendapat perhatian khusus daripada institusi dan persatuan sukarela.

Pemberian angpau tersebut adalah Sempena Majlis Penyampaian Angpau kepada 84 orang Warga Emas di Rumah Seri Kenangan, Kuching baru-baru ini.

Majlis anjuran Jawatankuasa Kebajikan dan Pendidikan MAKSAK (Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang melaksanakan peranannya turun padang menceriakan warga emas ini.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau yang juga Yang Dipertua MAKSAK Sarawak berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa mengambil berat terhadap golongan ini dan sentiasa diberikan pembelaan sewajarnya.

Jelas beliau, majlis yang disifatkannya sebagai program turun padang ini dapat mengajak penglibatan pertubuhan seperti MAKSAK ini untuk menyelami keadaan sebenar di rumah ini.

Katanya, bagi meningkatkan kejayaan setiap aktiviti institusi ini, semua pihak termasuk orang perseorangan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat perlu menjadikan ini sebagai tanggungjawab bersama.

Jelasnya, pihak yang berkemampuan harus lebih kerap turun padang untuk membantu golongan warga emas ini dan tanggungjawab ini tidak harus diletak di bahu kerajaan semata-mata.

“Sumbangan yang anda berikan sangat istimewa buat mereka dan kita berharap semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka membantu mereka yang benar-benar memerlukan”, tambah beliau.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan yang penting bukanlah menambah insitusi sedemikian tetapi institusi keluarga itu sendiri juga perlu diperkukuhkan bagi memantapkan usaha ke arah memupuk nilai terhadap keluarga dan ibu bapa.

Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada kakitangan dan Lembaga Pelawat di pusat terbabit yang telah mengurus pusat berkenaan dengan cekap.

Terdahulu sebelum itu, Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kendi Edward memuji sokongan persatuan, individu dan sektor korporat yang sentiasa menyokong program mereka selama ini, malah beliau sentiasa mengalu-alukan setiap bantuan daripada institusi yang ingin menyumbang ke Rumah Seri Kenangan ini.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sumbangan 59 orang individu dan 22 buah persatuan sukarela yang sudi menghulurkan bantuan kepada warga emas kali ini.

Menurut beliau, cabaran untuk mengurus agak besar dengan menggunakan kemudahan yang agak terhad.

Mengikut pecahan penghuninya, majoriti penghuni adalah Kaum Cina (52 orang) diikuti Melayu (15 orang), Bidayuh (9 orang), Iban (6 orang) di samping Jawa dan Serani masing-masing seorang.

Katanya cabaran besar terpaksa dipikul oleh kakitangan disebabkan ada di kalangan penghuninya mengalami masalah mental yang memerlukan perhatian khususnya.

Pihaknya telah menggunakan peruntukkan sebanyak RM500,000 yang diperolehi daripada Rancangan Malaysia ke lapan (RMK8) bagi tujuan menaiktaraf kemudahan di sini manakala dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9), Jabatan Kebajikan memohon peruntukan sejumlah RM9 juta.

Menyorot sejarah, Rumah Seri Kenangan, Kuching, ia mula beroperasi sejak tahun 1932 yang ketika itu diwujudkan oleh Persatuan Cina, Kuching, kemudian diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 1968.

Kini Rumah Seri Kenangan, Kuching sudah pun berusia 75 tahun dengan beberapa kemudahan juga agak uzur yang turut memerlukan perhatian segera.

Ia dapat menampung sekurang-kurangnya 100 orang pada satu-satu masa. Setakat ini, terdapat 84 orang warga tua yang menghuni di Rumah Seri Kenangan dengan diurus oleh seramai 28 orang kakitangan di Rumah Seri Kenangan ini.

Lihat juga : Lensa RAKAN – SUK Bersama Warga Rumah Seri Kenangan

Info Ringkas

  • Diseluruh dunia, dianggarkan bilangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas meningkat daripada 10 peratus pada tahun 2000 kepada 21 peratus menjelang tahun 2050
  • Berdasar penyelidikan daripada UNIMAS pada tahun 1993, jumlah golongan warga emas di Sarawak meningkatkan daripada 8.01 ke 8.81 peratus dalam tempoh 20 tahun. Pecahan golongan warga emas pada tahun 2000, adalah 7.97 peratus bagi lelaki manakala perempuan 9.66 peratus.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article