- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sistem e-DUN Sarawak

Must read


Delegasi Negara Brunei Darussalam kagum dengan ciri-ciri sistem e-DUN (Dewan Undangan Negeri Elektronik) yang digunapakai oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada ketika ini.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin Bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet/ Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam yang mengetuai lawatan ke DUN Sarawak baru-baru ini berkata, beliau amat tertarik hati dengan sistem e-DUN yang mampu menjadikan tugas lebih sistematik serta menjimatkan masa.

Beliau menyuarakan pandangan berkenaan kepada Speaker DUN Sarawak, YB Dato Sri Hj Mohamad Asfia bin Awang Nassar sejurus selepas mendengar taklimat serta demonstrasi daripada kakitangan DUN Sarawak mengenai aturan kerja elektronik bagi saluran soalan-soalan dan jawaban bagi persediaan Persidangan DUN Sarawak di Kompleks DUN Kuching baru-baru ini.

Melalui sistem e-DUN, sekretatiat DUN akan menghantar notis satu bulan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan persidangan yang akan diadakan.

Setiap ADUN kemudiannya akan mengambil tindakan susulan dengan menghantar semua soalan yang ingin dibangkitkan di dewan dalam jangka masa dua minggu kepada sekretariat dengan menggunakan sistem yang sama.

Sekretariat kemudiannya akan menyemak dan mengatur semula semua soalan untuk memastikan bahawa ia mematuhi semua peraturan dewan sebelum dihantar kepada semua kementerian yang berkenaan.

Semua proses itu akan terpampang dalam sistem e-DUN secara sistematik dan boleh dicapai oleh semua pengguna yang mempunyai akses kepadanya.

Seperkara yang turut menarik perhatian delegasi berkenaan ialah pangkalan datanya yang turut memuatkan kira-kira 18,800 dokumen hansard dalam format mudah untuk dibaca pengguna.
Pangkalan data itu mempunyai keunikannya tersendiri kerana semua dokumen hansard sejak persidangan DUN pertama pada tahun 1867 turut disimpan di situ. Ketika itu, DUN Sarawak dikenali sebagai ‘General Council’ di bawah pemerintahan Kerajaan Brooke dan pertama kali bersidang di Bintulu.

Selain itu, rombongan dari Negara Brunei itu turut diberi taklimat mengenai bangunan baru DUN Sarawak oleh Jabatan Kerja Raya dan kontraktor yang membinanya. Pembinaan Bangunan DUN baru dengan kos RM296.5 juta itu dijangka siap pada September 2007.

Tapak bangunannya sahaja melibatkan kawasan seluas kira-kira 3.035 hektar (7.5 ekar) sementara keseluruhan kawasannya kira-kira 69.605 hektar (172 ekar).

Rombongan turut dimaklumkan bahawa bangunan setinggi sembilan tingkat itu akan menyamai ketinggian 20 tingkat bangunan biasa.

Bangunan itu bakal mempunyai prasarana yang moden dan tercanggih selaras dengan keperluan persidangan, di samping penggunaan rangkaian sistem keselamatan yang terkini.

Sesi kunjungan hormat terhadap Speaker DUN Sarawak itu merupakan salah satu daripada aktiviti dalam rangka lawatan kerja selama dua hari delegasi seramai lapan orang dari Negara Brunei itu ke Sarawak. Sehari sebelumnya, mereka turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot di pejabatnya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article