- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kayu Belian Ganti Penutup Besi Banteras Kecurian

Must read


Kayu belian menggantikan penggunaan besi untuk menutup longkang

Kes vandalisme ataupun pemusnahan harta benda awam serta kecurian yang semakin menjadi-jadi menyebabkan pelbagai pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) menanggung kos kerugian yang besar saban tahun.

Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam usahanya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat turut berdepan dengan masalah itu.

Menurut Encik Ishak Mahdan, Pemangku Penolong Setiausaha MPS di dalam maklumat yang diberikannya kepada RAKAN Sarawak, Bandar Sibu yang terletak di bawah jagaan majlis itu turut tidak terlepas daripada kes kehilangan besi penutup longkang dan peralatan besi di taman-taman permainan di sekitar bandar ini yang dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Begitu juga dengan kes merosakkan harta benda majlis seperti tong sampah dan lampu. Sungguhpun begitu, masalah itu masih terkawal dan dapat ditangani oleh pihak majlis.

MPS juga telah mengenalpasti bahawa masalah kecurian penutup longkang yang diperbuat daripada besi adalah yang paling kritikal dan perlu diberi perhatian.

Selain berbahaya kepada pengguna seperti pejalan kaki, masalah itu turut menjejaskan peruntukan kewangan yang sepatutnya digunakan untuk pelbagai jenis projek infrastruktur dan kemudahan lain.

Sepanjang tahun 2006, MPS mencatatkan sejumlah kira-kira 1,196 laporan kes kecurian penutup longkang di kawasannya.

Keadaan itu menyebabkan MPS terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM80 ribu tahun lalu.

Masalah itu dikatakan berpunca daripada permintaan serta harga yang agak tinggi ditawarkan oleh premis barang terpakai dan besi buruk. Harganya boleh mencecah kira-kira RM600 satu tan (60 sen sekilogram).

Bagi menangani masalah itu, MPS telah mengambil tindakan dengan menukar penutup longkang dengan menggunakan bahan yang diperbuat daripada kayu belian.

Selain mempunyai fungsi yang sama seperti penutup besi, penggunaan kayu belian itu telah dapat mengatasi masalah bilangan laporan ke atas masalah kecurian.

Di samping itu, konsep ‘pemilikan’ iaitu konsep yang menekankan pemilikan bersama harta benda awam di sekitar bandar yang diamalkan oleh pihak majlis telah membantu menanam perasaan menghargai harta benda di kalangan orang awam terhadap kemudahan di persekitaran mereka.

Misalnya, taman-taman awam yang dibina atas kerjasama badan-badan korporat dan pertubuhan komuniti di Sibu. Masing-masingnya telah turut sama memainkan peranan dalam memastikan kemudahan di dalam taman terpelihara dan digunakan dengan betul oleh orang ramai.

Sungguhpun demikian, semua langkah itu masih tidak dapat memastikan sepenuhnya kawasan MPS bebas daripada vandalisme dan kecurian.

Sehubungan itu, MPS telah menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan yang bertugas selama 24 jam di kawasan-kawasan yang strategik di sekitar bandar.

Selain membantu memantau masalah yang berkaitan, kehadiran para pengawal itu turut membantu meningkatkan ketenteraman dan keselamatan para penduduk dan pengunjung ke Bandar Sibu.

Info Berkaitan

  • Telekom Malaysia Bhd (TM) rugi kira-kira RM5 juta di Sarawak pada tahun 2006 kerana kecurian kabel
  • Nilai untuk satu kilogram Kabel TM serta SESCO Berhad mencecah di antara RM18 hingga RM25

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article