- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Tenaga Solar Untuk Klinik Kesihatan di Bario

Must read


Masyarakat Kelabit yang dianggarkan berjumlah kira-kira 1,200 orang di kawasan tanah tinggi Bario akan menjadi komuniti pertama mendapat kemudahan klinik kesihatan menggunakan bekalan tenaga suria di negara ini.

Usaha itu merupakan pendekatan terbaru daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani isu perkhidmatan dan penjagaan kesihatan khususnya di kawasan luar bandar yang terpencil.

Klinik perintis itu akan dijana oleh tenaga suria yang disimpan di dalam bateri yang memadai bagi membekalkan bekalan elektrik untuk tempoh operasi selama 24 jam.

Sungguhpun begitu, beberapa buah generator akan disediakan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat keperluan untuk tenaga berlebihan atau jika waktu mendung untuk jangka masa yang lama.

Sistem yang digunakan di klinik itu dijangka akan menjadi kaedah terbaik kepada pengurusan klinik kesihatan di kawasan penempatan terpencil seperti di kawasan tanah tinggi Bario yang terletak kira-kira 3,280 kaki di atas paras laut, menjadikannya kawasan penempatan paling tinggi dan jauh di pedalaman Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Abdul Latiff bin Ahmad menjelaskan perkara itu ketika berucap pada majlis pecah tanah untuk pembinaan klinik berkenaan di tanah tinggi Bario.

Bario amat sesuai untuk pelaksanaan klinik seperti itu kerana keadaan muka buminya serta sistem perhubungan pengangkutan yang amat terhad.

Majlis pecah tanah itu juga merupakan yang pertama untuk Kementerian Kesihatan bagi projek seluruh negara yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang menumpukan kepada penggunaan tenaga mesra alam, bebas dari penggunaan tenaga berlanjutan dan kos penyelenggaraan yang rendah.

Idea pembinaan klinik mengikut konsep itu datang daripada Cawangan Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam usahanya menangani masalah bekalan elektrik di kawasan Bario.

Keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai RM7 juta, meliputi kemudahan asas seperti wad bersalin, wad pesakit luar dan rumah kediaman kelas F.

Tender untuk pembinaannya dijangka dikeluarkan oleh JKR pada pertengahan 2007.
Klinik itu yang menggunakan prototaip sistem hibrid berpusat akan diubahsuai dan akan turut diperkenal di Klinik Kesihatan Long San yang menggunakan sistem hibrid tidak berpusat.

Tujuan pengenalan dua sistem yang berbeza itu adalah sebagai perbandingan dan kajian oleh pihak JKR.

Info

  • 194 Klinik Kesihatan seluruh Sarawak
  • 173 Klinik Kesihatan di kawasan luar bandar
  • 67 Klinik Kesihatan belum mempunyai bekalan elektrik dan masih menggunakan set generator
  • Anggaran kos penjanaan menggunakan set generator untuk operasi sebuah klinik ialah kira-kira RM600 sehingga RM700 sebulan
  • Dua cadangan projek tenaga solar (pilot project) iaitu di Klinik Kesihatan Bario dan Klinik Kesihatan Long San yang akan dilaksanakan tahun 2007
  • Belum ada kajian terperinci berkenaan jumlah kos penjimatan jika menggunakan tenaga solar di Klinik Kesihatan

Sumber Info: Unit Maklumat & Dokumentasi, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article