- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

“Kursus Menyediakan Kami… Menghadapi Sebarang Bencana”

Must read

Joseph Tan Beng Joo selaku ketua kumpulan menerima Piala Pusingan YB SUK daripada YBhg. Datu Dr. Hj. Yusoff Nook

“Kami kini telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang amat penting khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku di kawasan kami.

“Justeru pengalaman dan pengetahuan itu boleh dijadikan sebagai panduan khususnya ketika menghadapi saat-saat getir apabila bencana yang sebenarnya berlaku.”

Demikian ulas Encik Joseph Tan Beng Joo, Pembantu Penerangan Daerah Kuching apabila kumpulan dua yang diketuainya telah merangkul Piala Pusingan Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam persembahan simulasi yang turut disertai dua buah pasukan lain.

Tiga pasukan itu yang terdiri daripada kira-kira 60 orang pegawai (20 orang sepasukan) dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta yang masing-masingnya telah diberikan tugas yang berbeza.

Kumpulan 1 telah membuat simulasi wakil rakyat mengunjungi tempat kejadian, Kumpulan 2 membuat simulasi sekumpulan media datang ke tempat kejadian untuk membuat liputan dan Kumpulan 3 membuat simulasi Residen Bahagian telah datang ke tempat kejadian.

Ketiga-tiga kumpulan telah diberikan situasi yang sama iaitu:

“Beberapa orang Ahli Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) telah menghubungi Bilik Gerakan Daerah X pada 8 Februari, jam 8.00 malam. Mereka melaporkan beberapa buah rumah di Kampung X telah ranap akibat tanah runtuh. Sepuluh orang penduduk kampung telah mati di tempat kejadian dan lima hingga sepuluh orang lagi telah terperangkap dalam timbunan tanah. Mereka memohon bantuan supaya pasukan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dengan segera untuk mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang tercedera dilaporkan seramai 35 orang.”

Menurut Joseph, aktiviti latihan simulasi yang melibatkan masa kira-kira enam jam itu bertujuan menguji tahap pemahaman dan cara-cara pengurusan operasi bencana secara sistematik, pantas dan berkesan melalui aplikasi saluran penyampaian maklumat yang tepat dan teratur.

Bagi kumpulan 2 yang diketuainya, mereka telah membahagikan tugas ahli kumpulan untuk memegang watak-watak sebagai pegawai daerah, pegawai perubatan, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya, SALCRA, Jabatan Mineral dan Geosains, Ketua Kampung, penduduk kampung serta media.

Setiap kumpulan kemudiannya membuat persembahan selama kira-kira 20 minit di hadapan panel penilai yang diketuai oleh YBhg. Datu Dr. Hj. Yusoff Nook, Pengarah Unit Keselamatan Negeri Sarawak, Residen Bahagian Kuching serta Pegawai-pegawai Daerah Kuching, Bau dan Lundu.

Jelas Joseph, antara faktor yang membawa kepada kejayaan kumpulannya ialah keberkesanan gimik kumpulan mereka dalam mewujudkan suasana kekecohan disebabkan para penduduk kampung di tempat kejadian berasa tidak puas hati dengan penjelasan daripada Ketua Kampung berkenaan angka korban yang dilaporkannya.

Menurutnya, suasana ketegangan yang seakan benar dan cara pengendalian suasana itu ditangani dengan berkesan selaras dengan objektif kursus adalah antara babak yang telah berjaya mencuri perhatian para juri.

Watak pihak polis dan pegawai perubatan juga telah menunjukkan kerjasama yang jitu. Dalam simulasi itu, pihak polis yang bertindak sebagai komandan bencana masih perlu mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan berkenaan berkaitan bilangan mangsa yang terlibat.

Joseph juga amat berpuas hati dengan semangat para ahli kumpulannya kerana telah sedaya upaya menggunakan pengetahuan sedia ada untuk menghasilkan persembahan yang benar-benar mantap sehingga mampu mewujudkan suasana ketegangan yang seakan benar.

Dalam simulasi itu, mereka telah dapat menunjukkan suasana bagaimana setiap jabatan dan agensi yang terlibat berhubung secara konstruktif antara satu sama lain dan mengadakan koordinasi yang berkesan untuk mengatasi masalah yang sedang ditangani.

Kumpulan itu juga telah berjaya mengawal pihak media dengan baik dengan tidak membenarkan mereka menghampiri tempat kejadian iaitu pada jarak kira-kira 100 meter.

Pihak Jabatan Mineral dan Geosains juga telah memainkan peranannya untuk membuat kajian tahap keselamatan di tempat kejadian.

Sebagai salah seorang peserta kursus, Encik Joseph amat berpuas hati dengan perjalanan kursus dan pengetahuan yang telah ditimba oleh mereka sepanjang dua hari itu.

Menurutnya, kursus seperti itu amat baik kerana ia dapat menyediakan diri para peserta kursus terhadap sebarang jenis bencana.

Katanya, para peserta kursus dalam siri ini juga akan dipanggil semula untuk menghadiri kursus siri kedua yang dirancangkan dalam masa terdekat.

Siri kedua kursus itu akan memfokuskan kepada aktiviti serta kemahiran berbentuk kaunseling dan psikologi.

Kemahiran itu amat perlu untuk membantu mereka terutama ketika berdepan dengan ahli keluarga dan saudara mara mangsa bencana yang berlaku.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Haji Mohd. Morshidi bin Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran, Keselamatan dan Hal Ehwal Korporat) yang diwakili oleh Datu Dr. Hj. Yusoff Nook.

Kursus yang serupa juga akan diadakan di Bahagian Sibu, Bintulu dan Miri dalam tahun ini supaya lebih ramai pegawai berpeluang mendapat ilmu persediaan menghadapi bencana.

Info

  • Persembahan simulasi itu merupakan salah satu daripada aktiviti utama dalam Kursus Asas Kesiapsiagaan Bencana Siri 1/2007 (Bahagian Kuching) yang berlangsung selama dua hari anjuran Unit Keselamatan Negeri di Kuching baru-baru ini.
  • Objektif utama kursus adalah sebagai persiapan menghadapi sebarang bencana di Negeri Sarawak serta sebagai platform untuk memastikan bahawa mereka yang terlibat di dalam pengurusan banjir diberi pendedahan dan pemahan yang sewajarnya supaya dapat digolongkan sebagai ‘trained, certified, recorded, segmented and pooled personnel’.
  • Disertai 60 orang peserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
  • Kursus dua hari itu melibatkan pembentangan sebelas buah ceramah oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article