- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sarawak Kongsi Idea, Pengalaman Dengan Sabah

Must read

YB Datuk K.Y. Mustafa, SUK Sabah (tengah) menjelaskan tentang CD kegemarannya sebelum diserahkan kepada YB Datu Wilson (kiri) sebagai cenderamata. Turut kelihatan ialah Datuk Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (kanan)

Kerajaan Sarawak amat mengalu-alukan perkongsian idea dan pengalamannya dalam membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini dengan kerajaan Sabah.

Kesungguhan Sarawak itu ditunjukkan melalui lawatan kerja selama separuh hari oleh YB Datuk K.Y. Mustafa, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang juga ketua bagi rombongan yang terdiri daripada 11 orang pegawai kerajaan Sabah ke Kuching, Sarawak pada Mac lalu.

Datuk K.Y. Mustafa turut diiringi oleh YBhg. Dato’ Ismail Wadin, Setiausaha Persekutuan Sabah serta para pegawai negeri dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Institut Kajian Pembangunan Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Kementerian Kewangan.

Mendengar taklimat di Bilik Gerakan Negeri di Tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia

Ketika berada di sini, rombongan berkenaan telah mendengar taklimat bertajuk ‘Koridor Pembangunan Negeri Sarawak’ yang disampaikan oleh Unit Perancang Negeri Sarawak dan ‘Status Pelaksanaan Pusat Pertumbuhan Desa di Negeri Sarawak’ oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak di Wisma Bapa Malaysia.

Sebagai dua buah negeri yang berjiran serta mempunyai latar belakang geografi dan kesukaran untuk membangunkan kawasan luar bandar yang hampir sama, Sarawak dan Sabah perlu saling belajar dari pengalaman masing-masing supaya pembangunan yang lebih berkesan dapat dicapai.

Ini terutamanya dalam menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang sedang berlangsung serta memastikan keberkesanan penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah yang baru di Sabah dan Sarawak bagi menyelaras dan melaksanakan usaha pembangunan luar bandar dan wilayah yang bersepadu.

Antara tujuan penubuhannya adalah bagi mewujudkan lebih banyak aktiviti yang boleh menjana pendapatan di kawasan pedalaman.

Ahli rombongan dari Sabah itu juga mengadakan kunjungan hormat kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Wilson Baya Dandot di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Info Negeri Sabah

  • Negeri Sabah terletak di utara pulau Borneo yang meliputi kawasan seluas kira-kira 72,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 1,440 kilometer serta mempunyai 3.13 juta penduduk pada tahun 2005 iaitu pertumbuhan 3.1 peratus berbanding tahun 2000 (2.6 juta).
  • Sabah terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan etnik yang menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 80 dialek.
  • Menerima peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM16,908 juta dalam RMK9.
  • Mencapai kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 4.3 peratus dalam RMK8 dan dijangka meningkat kepada 5.8 peratus dalam RMK9.
  • Kadar kemiskinan sebanyak 23.4 peratus pada tahun 1999 menurun kepada 23.0 peratus pada tahun 2004. Kadar kebangsaan menurun dari 8.5 peratus kepada 5.7 peratus dalam tempoh yang sama. Sementara kemiskinan tegar ialah 6.5 peratus berbanding 1.2 peratus di seluruh negara pada tahun 2004.
  • Mempunyai 84 buah agensi sektor awam pada Disember 2005.
  • Pengisian perkhidmatan awam negeri, badan-badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan ialah sejumlah 26,708 orang pada Jun 2006.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article