- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sarawak Negeri Paling Komited Majukan ICT

Must read

Pembentangan kertas kerja oleh Nor Akmar Shah Minan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. YBhg. Datuk Dr. Halim Shafie duduk di barisan hadapan (tengah) manakala Tuan Haji Ngah bin Senik di sebelah kanan beliau

Sarawak merupakan negeri yang paling komited dalam usahanya untuk memajukan prasarana dan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) YBhg. Datuk Dr. Halim Shafie berkata, pihaknya berasa kagum dengan usaha dan komitmen kerajaan Sarawak kerana inisiatifnya dalam pembangunan prasarana dan penggunaan ICT di negeri ini sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Teknologi ICT yang bertemakan ‘Akses dan Aplikasi Kerajaan Elektronik Jalur Lebar Untuk Semua Warga Malaysia’ di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar, Kuching baru-baru ini.

Jelasnya, Sarawak merupakan negeri yang paling responsif dengan usaha kerajaan pusat untuk membangunkan ICT di negara ini.

Tindakan kerajaan negeri itu katanya telah dilaksanakan secara agresif semenjak Tan Sri Hamid Bugo memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri lebih sepuluh tahun lalu. Ketika itu beliau masih berkhidmat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Katanya, penubuhan Sarawak Information Systems (SAINS) dan SACOFA juga merupakan usaha yang tepat kerana telah menjadi tulang belakang dalam pembangunan ICT di negeri ini. Ia seterusnya turut sama membantu untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri dan negara dalam mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) dan masyarakat berpengetahuan (k-masyarakat).

Jelasnya, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang banyak untuk program pembangunan industri ICT, penyelidikan dan pembangunan (R&D) kemudahan jalur lebar, aplikasi e-pembelajaran, penghasilan produk berkualiti tinggi serta pembiayaan bagi pembangunan kandungan untuk aplikasi ICT.

Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari bahawa usaha perlu ditingkatkan untuk membangunkan infrastruktur jalur lebar yang diperlukan dalam suasana komunikasi yang bergantung kepada kepantasan serta keupayaan kapasiti tinggi pada hari ini.

Apabila infrastruktur itu telah berada pada tempatnya, baru tumpuan sepenuhnya boleh diberikan kepada pembangunan kandungan, kemahiran serta menggalakkan masyarakat menggunakan ICT dengan lebih giat dalam kehidupan harian mereka.

Pada persidangan media selepas itu, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa Sarawak merupakan negeri pertama menetapkan sasaran sendiri bagi penembusan internet jalur lebar di negara ini iaitu dari kira-kira 1.6 peratus ketika ini kepada 50 peratus sebelum tahun 2009.

SKMM amat yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan pelbagai usaha telahpun dimulakan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada masyarakat tidak mengira di bandar dan luar bandar.

Antaranya pembinaan kabel dasar laut yang sejauh kira-kira 1,000 km dari Kg Buntal ke Mersing di Johor yang boleh mencapai kapasiti maksimum 2.8 terrabit sesaat serta kabel fiber optik dari Kuching ke Miri yang menghubungkan semua bandar dan pekan utama yang sejauh kira-kira 1,000 km yang mempunyai kapasiti 2.5 gigabit sesaat.

Seminar separuh hari itu merupakan anjuran bersama oleh Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, MAMPU dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Sebanyak empat kertas kerja yang bertajuk ‘ICT for Public Delivery System – Issues and Challenges’ oleh SKMM, ‘Pelan Jalur Lebar Kebangsaan’ oleh Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi, ‘Keselamatan ICT di Sektor Awam’ oleh MAMPU dan ‘Broadband Access Technology for the Public Sector’ oleh Danawa Resources Sdn. Bhd. telah dibentangkan pada seminar yang dihadiri kira-kira 300 pegawai kerajaan persekutuan dan negeri itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah YBhg. Tuan Haji Ngah bin Senik, Setiausaha Persekutuan Sarawak.


Objektif Seminar Teknologi ICT

  • Memberi pendedahan dan kefahaman berkenaan teknologi dan gaya terkini di peringkat global dan Malaysia
  • Mempertingkat pengetahuan bagi memastikan bahawa ia seiring dengan keperluan sejagat dalam perubahan industri yang pesat dan pantas

Info ICT

  • Sarawak mencatatkan kadar penetrasi jalur lebar seramai 1.64 pengguna bagi setiap 100 penduduk, 6.8 bagi pengguna internet dial-up, 10.9 pengguna bagi talian tetap dan 51.5 untuk telefon mudah alih (Disember 2006)
  • Pada peringkat kebangsaan, seramai 3.3 pengguna bagi setiap 100 penduduk menggunakan internet jalur lebar, 14 bagi internet dial-up, 16.1 talian tetap dan 72.3 untuk telefon bimbit
  • 75 lokasi hotspot di Sarawak sehingga Disember 2006

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article