- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkhidmatan Awam Perlu Bergerak

Must read

Seiring Perkembangan ICT

Warga perkhidmatan awam di Sarawak perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sedang mengubah keadaan ekonomi dunia kepada persekitaran yang lebih mencabar.

Hal itu kerana dominasi ICT telah mencipta satu bentuk ‘cultural capital’ kepada semua kakitangan sektor awam serta melahirkan kekangan baru di dalam penggunaannya.

YBhg. Tuan Haji Ngah bin Senik, Setiausaha Persekutuan Sarawak berkata, teknologi telah mentakrifkan semula pengetahuan dan kemahiran.

Kakitangan awam ketika menggunakan ICT dalam menjalankan
tugas juga tidak boleh mengelak dari hakikat tersebut. Sehubungan itu,
maklumat telah menjadi aset yang amat bernilai dan perlu ditangani
dengan cara yang bijaksana.


YBhg. Tuan Haji Ngah bin Senik, Setiausaha Persekutuan Sarawak

Menurutnya, pelaksanaan tugas menggunakan pengetahuan semata-mata tidak mencukupi dan tidak boleh menjamin penyelesaian tugas kerajaan yang begitu kompleks pada hari ini.

Ini kerana tugas seharian bergantung kepada teknologi sama ada setiap orang mampu melengkapkan laporan, mendapatkan maklumat atau membuat tugas di luar pejabat dengan berkesan.

Sehubungan itu katanya, kemampuan kakitangan kerajaan untuk memanfaatkan ICT dalam tugas seharian amat bergantung kepada kemampuan masing-masing untuk menggunakan ICT dengan cara yang lebih efektif.

Usaha itu termasuk menggunakan teknologi internet jalur lebar yang dapat memudahkan dan mempercepat proses pencapaian maklumat melalui internet.

Dalam mempromosikan ICT, beliau turut menggesa supaya ketua-ketua jabatan lebih komited dalam melaksanakan perubahan kepada organisasi masing-masing bagi mempromosikan penggunaan teknologi dengan lebih efektif.

Jelasnya, ketua-ketua jabatan adalah agen perubahan dalam menukar minda serta paradigma para pegawai, anggota serta rakan lain di dalam jabatan khususnya untuk menjayakan inisiatif-inisiatif kerajaan seperti e-kerajaan, e-ekonomi dan sebagainya.

Pemikiran yang positif, inisiatif dan inovatif serta perubahan sikap merupakan asas individu yang paling penting bagi kejayaan ke arah transisi tatacara dan proses kerja selaras dengan perkembangan ICT masa kini.

Tuan Haji Ngah bin Senik menjelaskan demikian ketika dalam ucapan alu-aluannya pada Seminar Teknologi ICT yang bertemakan ‘Akses dan Aplikasi Kerajaan Elektronik Jalur Lebar Untuk Semua Warga Malaysia’ di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar, Kuching, Mac lalu.


Para peserta memberi perhatian terhadap
kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar

Seminar itu merupakan anjuran bersama oleh Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ia telah dirasmikan oleh Pengerusi SKMM YBhg. Datuk Dr. Halim Shafie dan dihadiri oleh kira-kira 300 ketua-ketua jabatan dan para pegawai kerajaan persekutuan dan negeri.

Antara Objektif Seminar

  • Memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai awam di Sarawak tentang maklumat ICT terkini

  • Menggalakkan penggunaan ICT dalam pelaksanaan tugas seharian di pejabat selaras dengan perkembangan teknologi terkini

  • Memperkenal teknologi jalur lebar kepada warga perkhidmatan awam di Sarawak

Info Jalur Lebar

  • Pelan Jalur Lebar Negara diluluskan pada Ogos 2004

  • Sasaran awal ialah sebanyak 25 peratus kadar penetrasi pada tahun 2006, 50 peratus tahun 2008 dan 75 peratus tahun 2010

  • Pencapaian sebenar ialah 3.3 peratus pada penghujung tahun 2006

  • Internet jalur lebar membolehkan pengguna mendapatkan perkhidmatan video interaktif, data dan suara secara serentak pada kelajuan tinggi. Ciri uniknya ialah talian internet sentiasa terpasang tanpa mengganggu perkhidmatan talian telefon.

  • Malaysia menetapkan bandwidth melebihi 384 kbps dan sambungan berterusan (always on) sebagai capaian jalur lebarnya. Kaedah konvensyenal ialah melalui dial-up dengan bandwidth sehingga 56 kbps dan ISDN sehingga 128 kbps sementara jalur lebar mencapai 100 mbps (100,000 kbps)


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article