- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Laman Web : Gambaran Awal

Must read

Corak dan gaya hidup yang serba pantas kadangkala menyebabkan kita memilih platform yang pantas untuk mendapatkan sesuatu maklumat.

Memanfaatkan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang ada, kini laman web boleh dikatakan menjadi pilihan utama sumber rujukan kita selain bahan bercetak.

Laman web bertindak sebagai memberi "wajah" atau gambaran awal imej sesebuah organisasi. Kecenderungan ini dapat disaksikan kini apabila hampir semua perkhidmatan kerajaan kini menyediakan perkhidmatan dalam talian (online).

Namun terdapat juga laman web yang kurang diberi perhatian sehingga menjejaskan reputasi sesebuah organisasi tersebut.

Berdasarkan fungsi, ada laman web yang dibangunkan untuk tujuan tertentu, seperti pelancongan, pendaftaran, acara tertentu dan sebagainya.

Bagi laman web kerajaan, fokus lebih menjurus kepada usaha meningkatkan sistem penyampaian kerajaan seperti penyediaan maklumat asas perkhidmatan yang ditawarkan dan penyediaan borang online.

Apakah elemen yang membentuk sebuah laman web kerajaan yang menarik?


Di sebalik laman web Pejabat Daerah Mukah ;
Pembangun Laman Web; Encik Azri Brahim


Berkongsi pengalaman dengan seorang pembangun laman web, Encik Azri Brahim, yang bertanggungjawab terhadap laman Web Pejabat Daerah Mukah

Dia yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuannya berkata sebelum sesebuah laman web tersebut dibangunkan adalah perlu setiap pembangun laman web berkenaan mengetahui atas tujuan penyediaan laman web tersebut.

Tambahnya lagi, setiap laman web mempunyai peranan yang tersendiri, bagi laman web yang dibangunkannya, penekanan lebih kepada sumber maklumat, terutama perkhidmatan yang ditawarkan Pejabat Daerah Mukah di samping aktiviti yang berlaku di sekitar daerah Mukah.

Paling penting, menurutnya sesebuah laman web mampu memaparkan maklumat secara jelas iaitu apa yang perlu diketahui mengenai sesebuah organisasi berkenaan.

Demikian jelasnya kepada RAKAN Sarawak, sewaktu kunjungan kami ke Pejabat Daerah Mukah baru-baru ini.

Ciri dan fungsi sebuah laman web tersebut, turut dipengaruhi oleh jenis-jenis dan bilangan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah organisasi. Umpamanya, Pejabat Daerah Mukah ada menawarkan muat turun borang secara online.

Menurut Azri, sejumlah 11 borang (terutamanya melibatkan Permohonan Projek Kecil Luar Bandar dan Seksyen Pentadbiran dan Perkhidmatan), kini boleh dimuat turun melalui cara ini.

Sambil berkongsi sedikit nasihat, beliau berkata pembangun laman web juga harus bijak mengabungkan kreativiti tanpa mengenepikan maklumat penting.

Katanya, tugas ini turut memerlukan minat yang mendalam di samping berusaha untuk mengetengahkan beberapa idea "baru".

Begitu juga, tentang cara atau kaedah untuk mengatur idea dan maklumat agar nampak seragam dan kemas.

Malah jelasnya pemilihan perkataan, grafik, gambar atau warna haruslah bersesuaian serta seragam kerana ini sedikit sebanyak membantu menjadikan laman web berkenaan berupaya menarik perhatian pelawatnya.

Menurutnya, secara keseluruhan, sesebuah laman web perlu mengetengahkan maklumat berguna dan terkini, latarbelakang organisasi, kawasan di bawah pentadbirannya, profil daerah, maklum balas dan sebagainya.

Ini kerana, sekiranya diabaikan faktor tadi, laman web tersebut tidak mampu untuk menyampaikan mesejnya.

“Kualiti bukan saja daripada segi keindahan grafik atau reka bentuknya, malah isi kandungan laman web terbabit”, katanya.

Ditanya mengenai aspek pengemaskinian maklumat, menurutnya adalah amat penting bagi memastikan kandungan maklumat sentiasa dikemaskini.

Jelasnya, setakat ini, dia telah menghasilkan 8 (lapan) versi laman web Pejabat Daerah Mukah.

“Sentiasalah membuat rujukan bagi memastikan keseimbangan maklumat yang ingin dipaparkan”,katanya yang menjadikan sumber rujukan beberapa laman web jabatan dan kementerian di samping laman web luar yang terbaik.

Laman web Pejabat Daerah Mukah adalah antara laman web kerajaan yang dilihat berjaya memenuhi kehendak pelanggannya dengan memanfaatkan sepenuhnya kepesatan ICT.

Laman Web tersebut pernah mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Laman Web Sektor Awam yang pernah dianjurkan di negeri ini beberapa tahun yang lepas.

Kesungguhan serta minat terhadap pembangunan laman web agensi kerajaan di negeri ini telah pun bermula sejak tahun 2001, apabila Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Jabatan Ketua Menteri pertama kali mengadakan pertandingan seumpama itu pada tahun tersebut.

Selain mengiktiraf sumbangan dan merupakan galakkan kepada pembangun laman web di agensi kerajaan dan jabatan berkenaan, ia adalah sebahagian daripada merealisasikan misi kerajaan elektronik menjelang tahun 2008.

Antara kriteria yang dipantau dalam pertandingan tersebut ialah kandungan maklumat asas, mudah difahami dengan konsep yang jelas, tahap keaslian, peka terhadap kehendak pelanggan, daya kreativiti tinggi, mudah guna serta fleksibel.

Kriteria lain antaranya ialah aplikasi interaktif, tahap kandungan maklumat tambahan, tahap penggunaan hiperangkai, versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di samping tiada pelanggaran undang-undang dan mematuhi piawai yang ditetapkan.

Ringkasan Ciri –Ciri Menarik Yang Terdapat Pada Laman Web Pejabat Daerah Mukah

  • Maklumat mengenai Seksyen dan Bahagian
  • Galeri Gambar
  • Program dan Aktiviti
  • Muat Turun Borang
  • Profil Daerah dan Kampung
  • Maklumat dwi Bahasa
  • Proses Kerja dan Perkhidmatan Awam
  • Maklum Balas
  • ERC Mukah
  • Arkib
  • Pautan


Kenapa kebanyakan laman web kurang menampakkan keberkesanannya ?

  • Gagal memaparkan maklumat berguna
  • Maklumat yang sudah lapuk
  • Tidak dikemaskini
  • Tidak memenuhi kehendak pelanggan terutama dari segi kandungan dan cara laman web dipaparkan.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article