- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Pedalaman Bukan Halangan

Must read

Berhadapan dengan keadaan serba kekurangan kadangkala menjadikan kita cekal dan tabah untuk menghadapi sebarang cabaran.

Keadaan ini lebih dirasai di kawasan pedalaman yang mungkin belum mempunyai infrastruktur seperti jalan yang lebih baik dan belum mendapat liputan komunikasi yang menyeluruh.

Namun apa yang pasti, keadaan itu tidak pernah mematikan semangat untuk seorang pegawai kerajaan, Gima Ak Mengkang, 47 tahun yang berkhidmat dengan penuh setia menyumbangkan bakti di kawasan luar bandar.

Malah ia menuntut kebijaksanaannya untuk berfikiran dengan lebih kreatif untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Berkhidmat sebagai pegawai tadbir di pejabat daerah kecil Long Lama, di sebalik kekurangan tersebut, Gima gembira kerana mampu melaksanakan tugasnya dengan baik.

Lebih-lebih lagi, kebolehannya teruji di sebuah pusat pentadbiran kecil di kawasan luar bandar yang hanya dapat dihubungi melalui jalan ladang/jalan balak ataupun penggunaan laluan sungai.

Menjalinkan kerjasama dengan komuniti perniagaan, (syarikat berkaitan sektor pembalakkan) adalah antara pendekatan pertama yang diambil beliau.

Katanya, kerjasama telah memungkinkan penggunaan kenderaan pacuan empat (4) roda milik syarikat berkenaan bagi tujuan berulang-alik sekiranya terdapat keperluan. Tambahan pula, pihak syarikat terbabit kerap ke Pekan Long Lama menggunakan jalan ladang berkenaan.

Beginilah caranya untuk berulang-alik dari Pekan Long Lama ke lokasi penempatan penduduk sekiranya berurusan di luar Pekan Long Lama ataupun menuju ke pekan terdekat seperti Marudi dan bandar raya Miri.

Kesempatan itu, turut secara tidak langsung memberinya ruang mendekati keperluan komuniti perniagaan dan masyarakat setempat.

Menurutnya, amat penting bagi kita menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk komuniti perniagaan. Jelasnya, sekurang-kurangnya terdapat tiga (3) buah syarikat besar yang bersama-sama memainkan peranan penting mencorakkan pembangunan daerah kecil Long Lama.

Selain kerjasama dengan komuniti perniagaan, dia turut mendapat rujukan dan panduan daripada ketua masyarakat yang beliau jadikannya sebagai nasihat berguna dan panduan bagi beliau untuk memahami selok belok keadaan di sesebuah tempat.

Itu adalah antara perkara yang dilakukannya ketika mula ditempatkan di kawasan Long Lama, imbas Gima merujuk pengalamannya tiga (3) tahun yang lepas.

Kini, setelah tiga (3) tahun berlalu, kerjasama tersebut terus kukuh.

Menurut Gima, cabaran dan pengalaman menarik beliau ialah pengalamannya sewaktu menemui masyarakat di kawasan pedalaman.

Jelasnya lagi, antara jarak perjalanan paling jauh pernah dilaluinya ialah dari Long Lama ke Long Bangga yang memakan masa kira-kira sembilan (9) jam perjalanan menggunakan pacuan empat (4) roda.

Itu belum diambil kira keadaan jalan ketika musim hujan yang mungkin memakan masa lebih lama daripada itu.
Ada sesetengah tempat yang memerlukan seseorang itu bermalam sebelum menyambung perjalanan seterusnya pada keesokkan harinya.

Jelasnya lagi, tidak semua kawasan boleh dilalui dengan bot ekspres dan hanya boleh “dicapai” menggunakan sejenis perahu kecil yang dikenali masyarakat tempatan sebagai “Ting Ting” yang menggunakan set generator.

Perjalanan ke Pekan berhampiran pula, jelasnya adalah Pekan Marudi yang mengambil masa lebih kurang empat (4) jam perjalanan menggunakan pacuan empat (4) roda dan bandar raya Miri yang mengambil masa tiga (3) jam perjalanan.

Begitulah sukarnya untuk sampai ke kawasan tersebut, namun Gima mengharunginya dengan perasaaan cekal dan berani.

Masalah penyampaian maklumat pula, juga bukan lagi halangan, kerana terdapatnya jalinan kerjasama dengan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang menggunakan khidmat radio Miri FM (terutama siaran dalam Bahasa Kayan/Kenyah) untuk menyebarkan maklumat dan pengumuman penting.

Langkah ini diambilnya kerana rata-rata penduduk boleh mendapat akses radio yang menjadi medium utama penyebaran maklumat yang pantas, mudah dan menjimatkan.

Jelasnya, walaupun kemudahan pejabat pos terdapat di Long Lama, namun ia memerlukan seseorang itu datang ke Pekan Long Lama untuk menggunakan atau mendapatkan perkhidmatannya. Ini pastinya memerlukan perbelanjaan yang besar.

Bak kata pepatah, “Alah Bisa Tegal Biasa”, cabaran dan pengalaman yang dialami Gima telah menjadikannya biasa dengan keadaan sedemikian.

Jelas Gima, hargailah setiap apa yang ada di sekeliling, kerana kalau kita menyangka kita berada dalam keadaan serba kekurangan, ada pihak lain yang mengalami keadaan serba kekurangan yang lebih lagi.

Menurut beliau lagi, kadangkala kekurangan menjadikan kita lebih menghargai setiap apa yang kita lakukan dan bijak memanfaatkan setiap sumber yang ada.

Katanya, cabaran ini mungkin tidak dialami bagi yang tidak berkhidmat di kawasan luar bandar.

Daerah Kecil Long Lama antara cabaran tugasan terbesar beliau yang mana sebelum ini Gima pernah berkhidmat di Daerah Song (3 tahun lebih), Daerah Kecil Roban (5 tahun lebih),Daerah Saratok (3 tahun) dan Daerah Lawas (4 tahun).

Pengalaman yang dilalui Gima ini mendapat pujian daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot baru-baru ini ketika kunjungan rombongan beliau ke Pejabat Daerah Kecil Long Lama.

Malah Datu Wilson berharap pengalaman serta kecekalan semangat Gima ini dijadikan contoh kepada semua pegawai yang ditempatkan ke kawasan pedalaman.


Fakta Daerah Kecil Long Lama

  • Long Lama, adalah salah sebuah daripada empat daerah kecil yang melengkapkan peta pentadbiran Bahagian Miri, selain Bekenu, Niah dan Beluru.

Keluasan
  • Seluas 19,300 km persegi
Populasi
  • Seramai 17,269 orang (Banci Penduduk & Perumahan 2000)
Komposisi Penduduk
  • Kayan (44%)
  • Kenyah (38%)
  • Penan (14%)
  • Cina (3%)
  • Lain-Lain (0.4%)
Aktiviti ekonomi utama
  • Pertanian (65%)
  • Pembalakan (16%)
  • Sektor Kerajaan (14%)
  • Lain-Lain (5%)
Perkhidmatan lain

Balai Polis,
Jabatan Kerja Raya (Bekalan Air), Jabatan Pertanian, Jabatan
Penerangan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Hutan, Perbadanan
Pembekalan Letrik Sarawak (SESco), Pos Malaysia


Bagaimana hendak ke sana

  • Jenis pengangkutan utama ialah menggunakan pengangkutan air iaitu dengan bot ekspres dan perahu panjang.
  • Kedudukan atau jarak Long Lama dari bandar utama yang berhampiran seperti Marudi memakan masa perjalanan kira-kira 3 jam menggunakan bot ekspres.
  • Sesetengah kawasan di Long Lama hanya boleh dihubungi dengan menggunakan jalan pembalakkan dan jalan ladang.


Tarikan mengenai Long Lama

  • Pusat Rekreasi Sungai Tenyok adalah satu tarikan baru di sini. Pusat rekreasi yang mengambil perjalanan masa selama 40 minit dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda dari Long Bedian ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Long Bedian. Pusat Rekreasi Sungai Tenyok tersebut mempunyai 3 buah chalet, sebuah pejabat dan air terjun yang menarik.

Apa yang Long Lama perlukan

  • Pembangunan di Long Lama akan dapat ditingkatkan sekiranya mempunyai jaringan pengangkutan jalan raya yang lebih baik. Ia akan memberikan pilihan kepada penduduk untuk ke Long Lama selain menggunakan pengangkutan air yang sedia ada.

Ketahui Sejarah kewujudan Long Lama

  • Kebanyakan kawasan atau penempatan di daerah kecil Long Lama ini dihubungi melalui sungai. Maka, tidak hairanlah daerah kecil Long Lama ini mendapat nama daripada sebatang sungai iaitu Sungai Lamah.
  • Di Pekan Long Lama terletaknya pusat pentadbiran daerah kecil Long Lama dan menjadi pusat pertemuan peniaga dan penduduknya yang menjual hasil pertanian mereka. Walaubagaimanapun, keadaan itu wujud selepas kewujudan Long Akah, yang kini tidak dapat menampung bilangan penduduk yang ramai serta kawasan yang kurang sesuai. Ini bermakna Long Lama telah mengambil alih peranan kawasan Long Akah suatu masa dahulu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article