- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Persekitaran Kerja Baru Tingkat Semangat Beri Perkhidmatan Terbaik

Must read

Tersergam indah ... Kompleks Kerajaan Negeri Kapit mula digunakan pada 1 April lalu

Persekitaran tempat bekerja yang baru telah menjadi pembakar semangat kira-kira 300 warga kerja agensi dan jabatan kerajaan negeri yang baru memindahkan operasi perkhidmatannya ke Kompleks Kerajaan Negeri yang baru di Kapit sejak 1 April yang lalu.

Antaranya, kakitangan Pejabat Residen dan Daerah Kapit yang telah menggunakan Kompleks Kerajaan Negeri yang lama sejak tahun 1977. Justeru, perpindahan pejabat mereka ke bangunan setinggi sembilan tingkat di Kilometer 3, Jalan Beleteh, Kapit amat menggembirakan mereka.

Suasana kerja kini telah banyak berubah dan ia bukan sahaja berkenaan persekitaran kerja yang jauh lebih moden serta selesa, malah imej berpakaian, disiplin dan etika kakitangan juga turut meningkat dengan begitu ketara. Ia seterusnya menggalakkan mereka memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai.

Ruangan dalam bangunan ... kemudahan yang moden serta selesa

Begitu juga dengan tahap keselamatan yang mengguna pakai sistem pas pelawat menyebabkan suasana bekerja kelihatan lebih teratur dan kemas.

Demikian menurut En. Paimon Fashar, Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Kapit selaku Pengurus Pejabat bagi bangunan baru itu ketika dihubungi RAKAN Sarawak di pejabatnya.

Dia kini memainkan peranan penting kerana setiap aduan daripada pengguna bangunan itu, sama ada agensi dan jabatan kerajaan malah daripada orang awam akan melaluinya. Aduan itu kemudiannya akan disampaikannya kepada pemilik bangunan supaya sebarang tindakan susulan dapat diambil.

Ruangan dalam bangunan ... kemudahan yang moden serta selesa

Pembinaan kompleks itu melibatkan kos kira-kira RM42.886 juta di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8). Kerja pembinaan dimulakan pada April 2004 dan siap pada Jun 2006.

Pada ketika ini, semua tingkat kecuali Tingkat 3, telah digunakan oleh agensi dan jabatan kerajaan negeri yang berkaitan di Bandar Kapit.

Tingkat 1 menempatkan Mahkamah Majistret, Pejabat Perbendaharaan Negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Kantin dan Surau; Tingkat 2 – Pejabat Daerah; Tingkat 4 – Pejabat Pertanian Bahagian dan Daerah serta Yayasan Tekun; Tingkat 5 – Pejabat Perhutanan; Tingkat 6 dan 7 – Jabatan Kerja Raya (JKR), Tingkat 8 – Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) dan Tingkat 9 – Pejabat Residen.

Tingkat 3 pula dijangka akan menempatkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU).

Selain daripada bilik mesyuarat di setiap tingkat bangunan, turut disediakan ialah sebuah bilik mesyuarat di Tingkat 2 yang mampu memuatkan sekurang-kurangnya 60 orang. Bilik mesyuarat itu mampu memberi keselesaan kepada pengguna jika terdapat keperluan untuk mengadakan mesyuarat melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta pertubuhan dan orang ramai.

Menurut En. Paimon, reka bentuk bangunan sedemikian rupa membolehkan integrasi pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seterusnya menjadi pusat sehenti yang diharapkan dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai.

Orang ramai, khususnya pemimpin masyarakat juga tidak perlu bersusah payah meluangkan masa dan tenaga mengunjungi beberapa agensi kerajaan yang terletak di bangunan berlainan seperti yang perlu dilalui sebelum ini. Ini telah memudahkan mereka jika perlu menguruskan beberapa perkara pada hari yang sama.

Katanya, ekspektasi masyarakat terhadap kualiti perkhidmatan juga telah meningkat selaras dengan persekitaran di bangunan berkenaan. Justeru, menurutnya setiap kakitangan perlu turut lebih mesra pelanggan. Antaranya membantu orang ramai yang belum biasa menggunakan lif.

Jelasnya, status tapak bangunan lama Kompleks Kerajaan Negeri masih dalam perancangan bagi memberi peluang kepada pembinaan pusat perniagaan bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Bandar Kapit.

Sementara itu, bangunan lama JKR Kapit akan digunakan sebagai stor dan bengkel JKR. Apabila beroperasi sepenuhnya, bangunan Kompleks Kerajaan Negeri yang baru itu mampu menempatkan sehingga 500 kakitangan agensi dan jabatan kerajaan.

Visi Bahagian
Bahagian Kapit Destinasi Premier Alam Semulajadi

Misi Bahagian
Muncul sebagai destinasi premier pelancongan berlandaskan alam semulajadi menjelang tahun 2015

Info

  • Kapit menjadi sebuah bahagian pada 2 April 1973
  • Bahagian Kapit seluas 38,934 kilometer persegi menjadikannya bahagian terbesar di Sarawak pada hari ini (Daerah Kapit 15,595.6 km persegi, Daerah Song 3,935.2 km persegi dan Daerah Belaga 19,403.2 km persegi)
  • Didiami kira-kira 113,900 orang penduduk. Daerah Kapit – 63,000 orang, Daerah Song – 22,200 orang, Daerah Belaga – 28,300 orang (berdasarkan anggaran penduduk pada tahun 2006). Juga mempunyai dua daerah kecil – Ng Merit dan Sungai Asap
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article