- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Jenayah Gugat Keharmonian Hidup Masyarakat

Must read


YB Datu Wilson menyampaikan cenderamata kepada
YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud selepas majlis perasmian seminar



Sebarang kegiatan jenayah harus dihapuskan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang malah menggugat keharmonian hidup masyarakat.

Sehubungan itu, kerajaan amat memandang berat isu keselamatan masyarakat dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan jenayah, terutamanya jenayah terancang.

YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud dalam menyuarakan perkara itu turut menegaskan bahawa pihak penguatkuasa undang-undang juga tidak harus tunduk dengan kegiatan pihak yang melakukan jenayah terancang.

Beliau turut memberi keyakinan bahawa kerajaan negeri akan berterusan memastikan kerjasama sebaik mungkin diberikan kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini.

Dalam usaha menangani jenayah terancang, kaedah juga harus sentiasa dikaji untuk memastikan pelan dan strategi yang digunapakai adalah efisyen dan efektif dengan keadaan masa kini.

Antara jenayah terancang yang dimaksudkan ialah pembalakan haram dan sindiket yang mengawal harga barangan.

Selain itu, orang ramai termasuk komuniti perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu turut sama membantu menyampaikan sebarang maklumat kepada pihak berkaitan dalam usaha membanteras jenayah terancang.

Ketua Menteri menerangkan demikian ketika menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Seminar Jenayah Terancang yang bertemakan Combating Organised Crime: Strategies, Legal Instruments and Effective Policing di Kuching pada Mei lepas.

Sementera itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot dalam ucapan alu-aluannya sebelum itu turut menekankan betapa pentingnya kerjasama semua pihak dalam usaha membanteras jenayah terancang.

Jelasnya, sokongan orang awam amat diperlukan dalam usaha itu. Turut memainkan peranan ialah pihak media terutama dalam menyebar maklumat mengenai usaha yang dilakukan ke arah hasrat berkenaan.

Menurutnya, seminar itu menyediakan peluang terbaik bagi menghimpun pelbagai pihak yang terlibat di dalam penguatkuasaan undang-undang, termasuk individu, organisasi perniagaan dan ahli akademik untuk berbincang tentang jenayah terancang dan berkongsi idea serta pengalaman yang memungkinkan usaha membanteras jenayah terancang dilaksanakan sebaik mungkin.

Di samping itu, ia memberi peluang untuk peserta melihat perkembangan sistem undang-undang, peraturan dan prosidur di luar negara dalam usaha mereka menangani masalah jenayah terancang melalui pembentangan kertas kerja oleh panel dari Hong Kong dan Singapura.

Seminar dua hari itu dianjurkan oleh Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Centre for Modern Management (CMM). Ia dihadiri oleh kira-kira 300 peserta terdiri dari pelbagai agensi penguatkuasa undang-undang seperti Polis, Imigresen, Kastam, Badan Pencegah Rasuah (BPR), angkatan tentera dan pihak berkuasa tempatan.


Info

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9)

Komitmen kerajaan dalam usaha membanteras jenayah terkandung di dalam teras keempat Misi Nasional iaitu untuk meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup melalui jaminan pertahanan negara dan ketenteraman awam :


“Keselamatan negara dan ketenteraman awam sangat mempengaruhi iklim politik dan iklim ekonomi. Negara yang bebas daripada ancaman dalam dan luar dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan menjamin kestabilan politik…Di samping peranan utama anggota tentera dan pasukan polis, seluruh warga diseru bersama membantu menjamin kestabilan sebuah negara Malaysia yang kukuh bersatu – teguh berpadu. Pihak media, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan serta orang perseorangan perlulah prihatin akan isu-isu sensitif berhubung agama, kaum, budaya dan bahasa; serta tidak juga mencetus isu sensasi yang boleh menjejas ketenteraman awam dan keselamatan negara.”


Bajet 2007

  • RM4.9 bilion diperuntukkan untuk meningkatkan kecekapan operasi PDRM

  • Program Command, Control, Communication and Computerisation for Information untuk pemasangan CCTV di kawasan yang sering berlaku jenayah

  • Kereta peronda polis ditambah sebanyak 2,000 unit untuk meningkatkan kekesanan dan rondaan serta tiga ribu jawatan pemandu polis

  • Elaun gantian motosikal yang sedia ada untuk polis peronda dinaikkan dari RM80.00 kepada RM120.00


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article