- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Tiga Adiguru Terima Anugerah Karyawan Kraf

Must read


Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg. Tuan Hj. Ngah Senik (tiga kiri) mengucap tahniah
kepada penerima Anugerah Karyawan Kraf 2007. Dari kanan – Andah ak Lembang, Bangi ak Embol dan Hajah Dayang Norsalam bt. Pengiran Perseh. Turut kelihatan ialah Pengarah PKKM Sarawak, Mohd. Latif Dirun (paling kiri) dan Abdul Jabar Mohd. Redi, Pengarah Jabatan Arkib Negara Sarawak


Seramai tiga orang Adiguru Kraf di Sarawak telah menerima Anugerah Karyawan Kraf 2007 yang merupakan salah satu usaha kerajaan mengekalkan kraf sebagai warisan dan pengiktirafan kepada usahawan-usahawan yang telah lama bergiat dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah Adiguru Kraf Tenunan Pua. Pn. Bangi ak Embol, Adiguru Kraf Pasu Iban. En. Andah ak Lembang dan Adiguru Kraf Tenunan Songket. Pn. Hajah Dayang Norsalam bt. Pengiran Perseh.

Setiap mereka menerima wang ganjaran sebanyak RM5,000 dan elaun bulanan sejumlah RM500 selama lima tahun beserta sijil penghargaan dan beberapa kemudahan lain antaranya insurans percuma, pembiayaan sepenuhnya daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) apabila mengikut promosi di dalam dan luar negara serta layak mengunjungi doktor panel PKKM.

Anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Ngah Senik, Setiausaha Persekutuan Sarawak di Kuching pada Mei lalu.

Di Sarawak terdapat empat orang Adiguru yang telah dilantik oleh PKKM iaitu Adiguru Sulaman Keringkam, Tenunan Songket Sarawak, Tenunan Pua dan Pembuatan Pasu Iban. Namun, hanya tiga daripadanya layak untuk menerima Anugerah Karyawan Kraf iaitu dalam bidang Tenunan Songket Sarawak, Tenunan Pua dan Pembuatan Pasu Iban.

Tiga Adiguru berkenaan juga merupakan antara 10 orang calon untuk Tokoh Kraf Negara yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri pada Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2007 pada Mac lalu di Kuala Lumpur.

Kerajaan memberi pengiktirafan kepada para pengusaha atau tukang kraf yang berkemahiran tinggi itu sebagai insentif kepada mereka dan juga yang lain dalam meneruskan warisan kemahiran dan kesenian pembuatan kraf dalam mengusahakan pengeluaran produk kraf tempatan.

Selain itu, mereka juga telah memenuhi tiga kriteria. Pertama, mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang kraf, kepakarannya atau ahli dalam seni kemahiran pertukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia; kedua, memainkan perana penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan; dan ketiga, kreatif dan inovatif dalam usaha memajukan dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan

Kiri: Tuan Hj. Ngah Senik mendengar penjelasan daripada Andah ak
Lembang tentang pasu Iban yang dibuatnya

Kanan: Hajah Dayang Norsalam bt. Pengiran Perseh menunjukkan cara menenun kepada para pelatih PKKM

Adiguru Kraf Tenunan Pua

Pn. Bangi ak Embol, 62 tahun dari Rh. Garie, Ulu Sungai Kain, Kapit merupakan seorang penenun pua yang dilahirkan dalam sebuah keluarga petani dan tidak pernah melalui pendidikan formal.

Beliau mula menceburi diri dalam bidang tenunan seawal usia 10 tahun dengan mempelajari kemahiran itu daripada neneknya.

Pada peringkat awal, beliau hanya mempelajari jenis corak yang mudah. Namun, setelah mendalami dan memahirkan diri, beliau terpilih sebagai pewaris upacara ‘Ngar’ dalam masyarakat Iban.

Ia bermaksud Pn. Bangi telah mencapai tahap tenunan tertinggi dalam bidang tenunan sehingga membolehkannya mengetuai upacara penyediaan bahan (benang tenunan).

Corak dan motif tenunannya banyak didatangi melalui mimpinya. Mengikut masyarakat Iban, corak dan motif itu boleh ditenun pada kain pua. Antaranya bunga gelung (paku pakis), corak burung, corak akar kayu, corak jelu (binatang), corak manusia berpakaian tradisi, Bali Talikat (corak campuran) dan banyak lagi.

Sehingga kini beliau telah mengajar kira-kira 400 orang terdiri daripada penduduk tempatan (rumah panjang), persatuan, agensi kerajaan dan swasta serta pelatih PKKM.

Selain itu, beliau juga aktif membuat demonstrasi di dalam dan luar negara sehingga berjaya menerima pelbagai anugerah dan penghargaan.

Antaranya Program Pengembangan Skim Desa (1987-1991), Pelantikan sebagai Adiguru dalam Tenunan Pua (2000), Jurutunjuk Kelas Tenunan (Sarakup Indu Dayak Sarawak dan SADIA) (1994-1995), Sijil Merit dalam The State Wide ‘Pua Kumbu’ Competition (1998), Outstanding Contribution to Creativity in the use of Natural Dyes in Ikat Technique United Nation Educational, Scientific and Cultural Organisation (1998), Peserta Rasmi Santa Fe International Folk Art Market (2006) dan International Prototype Development Programme, Handicraft Bhawan-New Delhi (2004).


Adiguru Kraf Pasu Iban

En. Andah ak Lembang, 59 tahun dari Rh. Ngumbang, Ng Sumpa Lubuk Antu juga dilahirkan dalam sebuah keluarga petani dan tidak mempunyai pendidikan formal. Sungguhpun demikian, beliau berkeupayaan dalam menguasai teknik pembuatan dan kemahiran seni membuat Pasu Iban (periuk Iban) sehingga meletakkan beliau sebagai seorang Adiguru yang disegani.

Beliau mula menceburkan diri dalam bidang itu semasa berusia 15 tahun daripada ibunya, Chandi ak Lupuh. Pada peringkat awal, beliau hanya membantu ibunya sehingga menaruh minat yang mendalam dan seterusnya mewarisi kemahiran dalam pembuatan pasu daripada ibunya.

Walaupun bekerja sebagai petani sepenuh masa, beliau masih mempunyai kelapangan untuk mengajar adik perempuannya membuat pasu selain daripada mengajar para penduduk rumah panjang.

Setiap hasil pembuatannya mempunyai corak seperti bunga empat segi, bunga terung, bunga kelawar, bunga jaring, bunga bunut, bunga mata dan bunga perut molek (anak katak).

Kepakarannya itu melayakannya untuk mengajar dan membuat demonstrasi di dalam mahupun luar negara seperti kepada masyarakat tempatan, persatuan, agensi kerajaan dan swasta, individu, pelatih PKKM dan penuntut Universiti Malaysia Sarawak.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai ‘Talent’ semasa penggambaran dokumentasi Pasu Tradisi Iban oleh PKKM.


Adiguru Kraf Tenunan Songket

Pn. Hajah Dayang Norsalam bt. Pengiran Perseh, 64 tahun dari Kampung Dewan Rejang, Belawai mempelajari bidang tenunan semasa berusia 16 tahun daripada ibunya, Lui Mejeni bt Tiong.

Setelah mempelajari dengan penuh minat beliau akhirnya telah berjaya menguasai kemahiran tenunan songket dan memberi tunjuk ajar kepada anak-anak gadis seangkatan yang berminat untuk mempelajari tenunan songket.

Selain corak yang sedia ada ditunjuk ajar oleh ibunya, beliau mencantum corak lama dan corak baru bagi rekaan tenunannya.

Corak yang dihasilkan terdiri daripada bunga-bungaan seperti bunga tompok manggis, bunga pedada, bunga cengkeh, bunga melati, pucuk rebung, kangkong dan siku serta banyak lagi corak lain.

Sebagai pakar dalam bidang tenunan Songket Sarawak, beliau telah banyak memberi tunjuk ajar kepada penduduk tempatan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, orang perseorangan dan para pelatih PKKM.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Adiguru Tenunan Songket Sarawak pada tahun 1994, dan menjadi ‘Talent’ untuk demonstrasi Songket Sarawak oleh PKKM. Beliau juga sering mengikuti pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya, merangkul tempat kedua dalam Gerak Desa Wawasan dan Saguhati dalam Ilham Desa di Kuala Lumpur.


Info

Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007 disampaikan oleh YAB Perdana Menteri kepada pakar tenun songket dari Terengganu, Habibah Zikri, 59 tahun yang berpengalaman dalam bidang itu selama 33 tahun. Beliau menerima wang tunai RM30,000, sepasang persalinan lengkap songket, kemudahan rawatan perubatan kelas satu di hospital kerajaan seumur hidup dan watikah iringan. Ia disampaikan bersempena Hari Kraf Kebangsaan 2007 di Kuala Lumpur pada Mac 2007.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article