SALCRA juga menjadi antara pengerak ekonomi di bahagian sebelah selatan Sarawak (terutama kawasan sebelah Saratok) di samping IADP Kalaka Saribas.
Pembangunan estet kelapa sawit secara komersil yang dilaksanakan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Wilayah Saratok sejak 20 tahun yang lepas antara kejayaan pembangunan secara menyeluruh ke atas daerah ini.
Namun disebalik peranannya, mungkin tidak ramai menyedari SALCRA telah berusaha meningkatkan kemudahan di estetnya bagi memberikan keselesaan kepada pekerja estet dan kakitangannya.
Kemudahan terkini yang telah siap dibina, ialah di kawasan Estet Roban Selatan yang merangkumi pembinaan sebuah Pejabat Estet, satu unit Stor Penyimpanan Bahan Kimia dan Baja, empat (4) unit Kuarters Pemandu, satu unit Bengkel atau Garaj untuk meletak kenderaan.
Bagi keselesaan kakitangan dan pekerja estet serta mengalakkan aktiviti beriadah dan bersukan, turut dibina ialah sebuah Dewan Serbaguna dan sebuah padang permainan.
Menurut Pengurus Kawasan, Encik Andrew Riging, ia adalah sebahagian daripada kerja-kerja pembesaran perkampungan di estet tersebut yang terletak di kawasan baru yang lebih luas.
Encik Andrew turut menerangkan perkembangan ini kepada RAKAN Sarawak semasa kunjungan kami ke pejabat beliau baru-baru ini
Tambah beliau, projek yang menelan kos kira-kira RM4 juta di estet berkenaan telahpun siap sepenuhnya dan mula digunakan pada September tahun lepas (2006) serta diserahkan kepada SALCRA sepenuhnya oleh kontraktor pada Februari tahun ini (2007).
Mengenai estet lain yang ada kini, jelasnya lagi, semuanya telah pun dilengkapi dengan kemudahan bangunan pejabat, kuarters kakitangan, stor penyimpanan barangan di samping kemudahan bekalan air dan elektrik.
Menurutnya lagi, tanggungjawab SALCRA tidak terhenti setakat ini sahaja, malah pihaknya juga sentiasa menaiktaraf kemudahan kepada pekerja di estet dibawah kendaliannya termasuklah menyediakan kemudahan penempatan dan kemudahan asas.
Jelasnya, terdapat cadangan untuk mendirikan lebih banyak bangunan di perkampungan estet yang lain termasuklah membina Dewan Serbaguna dan Kuarters Kakitangan.
Mengulas mengenai penyediaan kemudahan tersebut, Encik Andrew menegaskan ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial agensi berkenaan kepada kakitangan dan pekerjanya.
Sejarah pembangunan kelapa sawit secara komersil SALCRA Wilayah Saratok bermula dengan estet pertama di Selatan Roban (Roban South) pada tahun 1988 dan sehingga kini agensi pelaksana tersebut berjaya mengendalikan empat (4) buah estet kelapa sawit iaitu Utara Roban (Roban North), Selatan Roban (Roban South), Saratok dan Saribas yang keluasannya merangkumi dari kawasan Layar dalam daerah Betong sehinggalah ke Kabong dalam daerah Saratok.
Berdasarkan statistik tahun lepas, terdapat penyertaan seramai 3,750 peserta daripada 156 buah rumah panjang dalam projek pembangunan estet kelapa sawit.
Daripada jumlah tersebut, kebanyakan peserta projek adalah dari kawasan Saratok dengan 1,129 orang peserta, diikuti Saribas (1,069) manakala kawasan selatan Roban dan kawasan utara Roban, masing-masing dengan 665 peserta dan 887 orang peserta.
Peserta bukan sahaja bekerja sebagai pemetik buah kelapa sawit, malah peserta turut diajak terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan estet.
Melalui pendekatan ini (pembangunan tanah secara komersil) kerajaan dapat melaksanakan pembangunan tanah terbiar untuk pertanian khasnya membangunkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) demi faedah penduduk semua.
Hasilnya, sejak diperkenalkan, pemberian dividen kepada peserta pada tahun 1992, SALCRA Wilayah Saratok sehingga kini telah memperuntukkan lebih RM 57 juta. Pada tahun lepas sahaja (2006), sebanyak RM5.7 juta telah dibayar kepada 3,750 orang peserta.
Mengenai perancangan masa hadapan, jelasnya SALCRA merancang untuk membangunkan lagi seluas 10,000 hektar dalam Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK-9) berbanding sejumlah 5,700 hektar kawasan telah dibangunkan dalam tempoh RMK-8.
Sehingga kini, menurutnya pembangunan empat (4) buah estet tersebut merangkumi tujuh (7) fasa, di mana di fasa 1 hingga 6 seluas 11,052 hektar telah ditanam (berstatus matang) manakala bagi fasa ke 7 ialah 1,350 hektar kawasan (belum matang).
Selain itu, pihaknya berusaha untuk meningkatkan projek integrasi ternakan lembu di estet milik SALCRA. Projek integrasi yang bermula tahun 2003, itu melibatkan sejumlah 292 anak lembu. Setakat ini, bilangannya berjaya ditingkat kepada 315 anak lembu, tanpa mengambil kira 106 ekor yang telah dibayar balik kepada Jabatan Pertanian.