- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Negara Masih Kekurangan Sukarelawan JPA3

Must read

Pameran Strategi Tarik Minat Belia


Kiri: Lt. Kol. (PA) Abdul Wahab (kiri) memberi penerangan tentang peralatan yang dimiliki JPA3 kepada Tuan Haji Ngah Senik (dua dari kanan). Turut kelihatan ialah Tuan Selamat B. Haji Dahalan (kanan)

Kanan: Antara bahan pameran untuk tontonan umum


Negara ini masih kekurangan anggota sukarela pertahanan awam khususnya dalam suasana kehidupan yang semakin mencabar dan berdepan dengan banyak kemungkinan.

Sehubungan itu, langkah mengadakan pameran merupakan strategi terbaik untuk memberi peluang kepada lebih ramai ahli masyarakat, khususnya belia untuk mengetahui aktiviti Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) secara lebih terperinci seterusnya menimbulkan minat mereka untuk menyertai.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Tuan Haji Ngah Senik berkata usaha JPA3 Sarawak mengadakan pameran merupakan langkah paling berkesan untuk mendekati ahli masyarakat serta memperkenal aktiviti mereka.

Beliau juga mahu mereka yang telah menganggotai JPA3 supaya terus memainkan peranan untuk menjadi pemangkin serta pelopor kepada yang belum mendaftar menjadi ahli.

Selain itu, beliau juga menggesa supaya mereka turut sama bergiat cergas dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan. Ini kerana melalui penyertaan yang bersungguh-sungguh sahaja akan membolehkan mereka menyediakan diri berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Sempena Hari Pertahanan Awam Ke-55 Peringkat Negeri Sarawak di Tebingan Sungai Kuching baru-baru ini.

Sementara itu, Tuan Selamat B. Haji Dahalan, Timbalan Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia dalam ucapannya sebelum itu menjelaskan bahawa negara masih kekurangan anggota JPA3 yang kini seramai kira-kira 50,000 orang berbanding standard dunia yang mengkehendaki kira-kira 10 peratus daripada populasi penduduk di sesebuah negara menyertai atau sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan pertahanan awam.

Sehubungan itu JPA3 mensasarkan kira-kira 10,000 hingga 15,000 ahli baru akan menyertai JPA3 setiap tahun supaya sasaran 10 peratus daripada bilangan penduduk negara ini menyertainya akan tercapai dalam 10 hingga 15 tahun akan datang.

Katanya, pameran oleh JPA3 Sarawak adalah yang julung-julung kali diadakan oleh JPA3 negeri.

Usaha itu sudah tentu dapat memberi pengetahuan kepada orang ramai khasnya pemilihan lokasi yang sememangnya menjadi tumpuan masyarakat di Bandar Raya Kuching.

Menurutnya, anggota JPA3 perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran baru seperti pemanasan global yang turut menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan berlarutan.

Keadaan itu memerlukan penambahan dari segi bilangan anggota dan mereka perlu dalam keadaan bersiap sedia sepanjang masa.

Pada sidang media selepas itu beliau menjelaskan bahawa dari sejumlah 50,000 anggota yang ada, kira-kira 17,000 adalah ahli kadet JPA3 iaitu melalui penubuhan unit di peringkat sekolah menengah seluruh negara.

Jelasnya, fokus pada ketika ini adalah untuk menubuhkan unit-unit JPA3 melalui kerjasama pihak Jabatan Pelajaran, Pejabat Daerah dan sebagainya. Ini kerana penubuhan unit seperti itu tidak memerlukan penubuhan pejabat cawangan.

Sementara itu, Lt. Kol. (PA) Abdul Wahab B. Haji Rahim, Pengarah Pertahanan Awam Sarawak menjelaskan ada kira-kira 3,700 anggota JPA3 di Sarawak.

Dari jumlah itu hanya kira-kira 2,000 sahaja yang aktif. Menurutnya, sasaran negeri adalah 20,000 anggota selaras dengan standard yang ditetapkan.

Sebab itu kempen pengambilan memainkan peranan penting khususnya untuk menarik minat belia dalam lingkungan umur 18 hingga 45 tahun menyertai JPA3.

Sehubungan itu, aktiviti seperti menyelamat, memadam kebakaran dan sebagainya dimasukkan ke dalam komponen latihan bagi menarik minat generasi muda.

Melalui pameran itu, pihaknya mensasarkan kira-kira 1,000 pendaftaran baru dibuat.

Menyentuh tentang perkembangan JPA3 di Sarawak, beliau menjelaskan bahawa ketika ini ada dua Pasukan Penyelamat Pantai di Sarawak iaitu masing-masing sebuah di Pantai Damai Santubong dan Pantai Luak Miri.

Dua pasukan lagi akan ditubuhkan di Sematan dan Bintulu sebelum hujung tahun ini. Objektif penubuhannya adalah supaya keselamatan pengunjung pantai sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

Penubuhan Pasukan Penyelamat Pantai adalah berikutan kejayaan Pasukan Penyelamat Pantai di Batu Feringghi Pulau Pinang yang berjaya memberi amaran awal bencana tsunami kepada para pengunjung pantai pada tahun 2004.

Pameran selama tiga hari bertempat di Tebingan Kuching merupakan usaha terkini untuk menyampaikan maklumat serta menarik minat generasi muda menyertai JPA3 di Sarawak.

Gambar-gambar yang menunjukkan aktiviti semasa latihan dan penyelamatan dipaparkan kepada tontonan umum. Turut dipamerkan ialah peralatan-peralatan yang digunakan oleh JPA3 dalam menjalankan tugasnya.

Kemuncak sambutan ulang tahun Hari Pertahanan Awam kali ini ialah perhimpunan sukarelawan JPA3 dari seluruh negeri ini yang berlangsung di tempat sama pada hari terakhir pameran.


Info JPA3

Visi

Menjadikan Pertahanan Awam agenda negara dan peneraju pengurusan bencana demi keselamatan dan kesejahteraan negara.


Misi

Menjadikan organisasi yang berwibawa menerusi penglibatan rakyat dalam program pertahanan awam


Objektif

  • Mengambil langkah-langkah dalam melaksanakan perkhidmatan dengan cekap dan berkesan demi pembangunan negara
  • Menjadi sebuah agensi penyelamat utama bagi melindungi rakyat dan harta benda dari bencana
  • Meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertahanan awam.
  • Menggalakkan penglibatan rakyat dalam segala aktiviti pertahanan awam
  • Bekerjasama dengan semua pihak di dalam melaksanakan tugas-tugas pertahanan awam.


Fungsi

  • Menggubal dan melaksanakan dasar pertahanan awam selaras dengan kehendak semasa
  • Mengurus Angkatan Pertahanan Awam yang terlatih, cekap dan berdisiplin
  • Menyelamat mangsa dan harta benda semasa bencana
  • Melaksanakan khidmat kecemasan yang cekap, berkesan dan mesra rakyat melalui talian 991 di seluruh negara
  • Mendidik dan melatih orang awam dengan ilmu pengetahuan pertahanan awam
  • Merancang, melaksana dan memantau aktiviti-aktiviti khidmat sokongan untuk memantapkan perkhidmatan organisasi
  • Menjalin hubungan dan kerjasama dalaman dan antarabangsa dalam konteks Pertahanan Awam.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article