- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Ekspektasi Masyarakat Meningkat…

Must read

Tuntut Penyampaian Perkhidmatan Yang Berkesan


Pegawai Daerah Serian, En Sinde Muleng


Saban tahun ekspektasi masyarakat terhadap keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kian meningkat. Baik di peringkat daerah mahupun daerah kecil, masyarakat hari ini semakin peka untuk membuat perbandingan dan penilaian tentang perkhidmatan yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan.

Begitu juga, di setiap kawasan yang ditadbir sudah tentu mempunyai cabarannya tersendiri dan mungkin memerlukan penelitian serta pendekatan yang berbeza untuk menanganinya dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan semua ahli masyarakat di situ.

Begitu penjelasan Pegawai Daerah Serian En Sinde Muleng ketika ditemubual oleh RAKAN Sarawak di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau telah berkhidmat di Pejabat Daerah Serian sejak Jun 2004. Sepanjang berkhidmat di situ, beliau telah berdepan dengan banyak cabaran baru terutamanya kerana perlu mentadbir sebuah daerah yang mempunyai kira-kira 92,000 orang penduduk di kawasan seluas kira-kira 1,762.4 kilometer persegi.

Sebelum ini beliau pernah bertugas di Daerah Julau yang mempunyai populasi tidak sampai 20,000 orang.

Pada pendapatnya, Daerah Serian merupakan sebuah daerah yang begitu pesat membangun dalam pelbagai sektor. Kepesatan itu dapat dilihat dari segi pertumbuhan perniagaan dan pembangunan tanah untuk pertanian dan perladangan.

Kepesatan itu lantas memerlukan pelbagai jenis perkhidmatan kerajaan disedia dan disampaikan dengan lebih cekap.

Atas keperluan itu, pihak Pejabat Daerah Serian memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.

Namun menurut beliau, pihaknya tidak berdepan dengan banyak masalah ketika berurusan dengan masyarakat sekitar di Daerah Serian yang juga merupakan daerah kelahirannya itu. Katanya, latar belakang dirinya itu telah membantunya memahami keperluan masyarakat serta memudahkannya berkomunikasi dengan lebih berkesan.

Kerana itu, sungguhpun mereka hanya mempunyai 25 orang kakitangan, ia tidak menjejaskan usaha mereka memberikan perkhidmatan yang baik selaras dengan ekspektasi ahli masyarakat.

Menurutnya, ekspektasi yang tinggi serta bilangan kakitangan kerja yang terhad memerlukan mereka mengenalpasti terlebih dahulu masalah dan keperluan penduduk di sini.

Melalui cara itu, mereka dapat mengetahui keperluan yang perlu diberi perhatian khusus serta diberikan keutamaan. Pada masa yang sama, keperluan masyarakat tetap tidak dilupakan dan turut diberi perhatian.


Daerah Unik

Menurut Sinde Muleng, Daerah Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer atau satu jam perjalanan dari Bandar Raya Kuching merupakan sebuah daerah yang unik daripada pelbagai segi.

Antaranya, kedudukan Bandar Serian di laluan perjalanan lebuh raya Pan-Borneo dan Bandar Mutiara Tebedu menjadikannya sinonim dengan panggilan bandar persinggahan bagi para pengguna laluan berkenaan.

Namun, beliau lebih gemar menggunakan istilah ‘populasi terapung’ bagi merujuk para pengguna laluan berkenaan.

Ini kerana mereka selalunya berhenti sama ada untuk berehat seketika, membeli barangan kraftangan dan makanan, ataupun mengalas perut sebagai bekalan menempuh perjalanan seterusnya.

Selain Taman Rekreasi Ranchan dan Tasik Danau Serian, Pasar Tamu Serian juga adalah antara tempat persinggahan yang paling popular dan sering dipromosikan dalam pakej pelancongan tempatan.

Di situ pelbagai produk tradisional masyarakat tempatan dijual pada harga berpatutan dan dibuka setiap hari.

Antara barangan yang boleh didapati di sini ialah tepung sagu yang diproses secara tradisional, ulat sagu dan pelbagai jenis sayuran hutan, ulam-ulaman serta rempah ratus yang biasa digunakan oleh masyarakat tempatan.

Suasana itu menurut Sinde telah menyediakan peluang yang amat kondusif bagi penduduk tempatan khususnya wanita untuk berniaga secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga.

Turut menjadikan Daerah Serian ini unik ialah jalinan kerjasama yang padu ditunjukkan oleh pemilik bangunan dan pengusaha premis perniagaan di Bandar Serian dengan agensi kerajaan di situ dalam usaha menjadikan bandar itu bersih, kemas dan teratur.

Katanya, setiap perjumpaan dan mesyuarat yang dirancang untuk diadakan mendapat sambutan yang baik.

Begitu juga dari segi permuafakatan dan tindakan susulan daripada pihak berkenaan amat positif. Misalnya, tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keselamatan di premis perniagaan masing-masing. Keadaan itu menurutnya telah membantu menjadikan Bandar Serian sentiasa kelihatan bersih dan teratur.

Pencapaian itu adalah hasil kerjasama dan komitmen dari semua pihak serta selaras dengan usaha dalam Program Bandar Sejahtera yang dimulakan sejak tahun 2001 di Bandar Serian.


Jentera JKKK

Beliau turut menyentuh tentang keperluan pengukuhan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai cabang utama dalam membantu jentera pentadbiran Pejabat Daerah.

Menurutnya, perkara ini amat penting dan perlu diberi perhatian sepanjang masa supaya Pejabat Daerah dapat melaksanakan peranannya dengan berkesan.

Namun menurutnya, JKKK sebagai pemimpin di peringkat akar umbi juga perlu sentiasa mengadakan aktiviti dan dialog di kampung masing-masing untuk memberi penjelasan tentang usaha kerajaan. Setiap permasalahan yang timbul juga harus ditangani dengan sebaik mungkin.

Apabila JKKK dapat memainkan peranan dengan berkesan, pelbagai program dan projek kerajaan akan lebih mudah dibawa kepada penduduk.

Antara yang telah terbukti ialah kejayaan kerjasama JKKK dalam memberi penerangan tentang konsep pembangunan tanah yang diperkenal kerajaan sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Menurutnya, kejayaan para peserta pada masa lalu telah membuka mata dan hati masyarakat sehingga ramai yang memohon supaya dibesarkan projek yang sedia ada dan juga permohonan untuk pembukaan kawasan baru.

Beliau memberi contoh kejayaan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) melalui projek kelapa sawit yang bukan sahaja membolehkan peserta mendapat pekerjaan, tetapi juga menerima dividen dan bonus setiap tahun.

Situasi itu menurutnya telah menunjukkan keberkesanan JKKK dalam memainkan peranannya serta telah banyak membantu kerajaan mempromosikan pembangunan tanah di Daerah Serian.

Sehingga tahun 2006, sejumlah kira-kira 19,613 hektar tanah telah dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit. Dari jumlah keluasan itu, SALCRA membangunkan kira-kira 10,665 hektar.

Malah katanya, kini semakin ramai yang sanggup membangunkan tanah persendirian untuk tanaman kelapa sawit. Ini kerana tanah persendirian seluas lima hektar yang dibangunkan untuk kelapa sawit sudah boleh memberikan pulangan yang baik.

Bagi terus memastikan keberkesanan JKKK, pihak Pejabat Daerah Serian telah mengadakan proses pendaftaran semula JKKK di kawasan pentadbirannya. Pendaftaran itu katanya amat perlu sebelum JKKK berkenaan diserahkan sijil bagi mengiktiraf pendaftarannya.

Setakat April lepas, kira-kira 80 peratus daripada JKKK di Daerah Serian telah mendaftar atau dalam proses pendaftaran.

Pendaftaran itu juga akan membantu memudahkan pihak Pejabat Daerah dan JKKK terutama dalam perkara penyaluran sumber kewangan dan apabila JKKK memohon untuk mendapatkan projek untuk kampung dan rumah panjang masing-masing.

Katanya, ketika ini daripada sejumlah 139 buah kampung dan dua rumah panjang dalam Daerah Serian, kira-kira 99 peratus daripadanya telah dapat dihubungkan dengan kemudahan jalan tar atau sekurang-kurangnya jalan batu.

Dengan perkembangan sosioekonomi masyarakat di Daerah Serian hari ini, Sinde Muleng percaya bahawa pembangunan di daerah itu akan mampu bergerak dengan lebih pantas. Pandangannya itu mempunyai kebenarannya kerana limpahan pembangunan fizikal mahupun ekonomi di Bahagian Kuching serta Daerah Samarahan serta Asajaya akan terus memberi kesan memberansangkan kepada aktiviti ekonomi seperti perniagaan di daerah itu.


Kira-kira 19,613 hektar tanah telah dibangunkan dengan tanaman kelapa
sawit di Daerah Serian. Daripada jumlah itu, SALCRA membangunkan
kira-kira 10,665 hektar



Hampir kesemua kampung dan rumah panjang telah dihubungkan dengan
sekurang-kurangnya jalan batu manakala sejumlah 16,171 pengguna telah
menikmati kemudahan elektrik 24 jam


Info Daerah Serian

  • Jumlah penduduk : 92,200 orang (Buletin Perangkaan Bulanan Sarawak, Februari 2007)
  • Pecahahan Etnik : Melayu – 10,900 orang, Iban – 14,000 orang, Bidayuh – 56,200 orang, Melanau – 200 orang, Bumiputera lain – 200 orang, Cina – 9,900 orang, Bukan Bumiputera lain – 100 orang, Bukan Warganegara – 700 orang
  • RM46,006,778.87 untuk melaksanakan 145 buah projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Projek Perdagangan dan Industri (2), Pertanian dan Pembangunan Tanah (45), Pengangkutan dan Perhubungan (21), Sosial dan Pembangunan Sumber Manusia (26) Pentadbiran Am (44) dan Kemudahan Awam (7)
  • Bekalan elektrik oleh SESCo – 94.7 peratus (16,171 pengguna) Set Generator – 2.96 peratus (500 pengguna) Tenaga Solar – 0.20 peratus (30 pengguna) (sehingga April 2007)
  • Bekalan air : air paip 69 peratus (8,597 pengguna) bekalan air graviti 21.61 (2,700 pengguna) air hujan 9.6 peratus (1,200 pengguna) (sehingga April 2007)


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article