- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pegawai Kerajaan Berperanan Tingkat Persefahaman

Must read

Antara Negeri


  

Kiri: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Haji Morshidi Abdul Ghani menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Dato Ahmad Said (kanan) pada Majlis Penutupan Program Integrasi Nasional (PINA) 2005 dan Perasmian PINA 2007. Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili (tengah) turut menyaksikan. Tidak kelihatan dalam gambar ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak Tuan Haji Ngah Senik

Kanan: Para pegawai kerajaan Sarawak yang terlibat dengan PINA 2007 mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Wilson Baya Dandot di pejabat beliau. Mereka diiringi oleh pegawai kanan Unit Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri (Foto: Pejabat SUK)


Pegawai kerajaan khususnya dalam kumpulan professional dan pengurusan berperanan besar untuk meningkatkan perpaduan dan integrasi yang merupakan elemen penting untuk persefahaman di kalangan masyarakat antara negeri di negara ini.

Dalam perkhidmatan awam, pegawai kerajaan bukan sahaja berperanan menyampaikan perkhidmatan awam yang baik kepada masyarakat, tetapi juga menggalakkan perhubungan rapat di antara kerajaan dan masyarakat.

Perhubungan itu boleh digalakkan melalui penyampaian maklumat yang tepat dan terkini tentang polisi dan dasar kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata demikian pada majlis penutupan Program Integrasi Nasional (PINA) 2005 dan perasmian PINA 2007.

Katanya, jurang serta salah faham tentang negeri lain masih berlaku, terutamanya tentang Sarawak dan Sabah.

Namun, melalui penyertaan pegawai kerajaan dari pelbagai negeri dalam program berkenaan boleh menggalakkan penyebaran maklumat yang tepat tentang kedua-dua negeri itu.

Jelasnya, PINA merupakan antara cara terbaik untuk meningkatkan integrasi dan persefahaman di kalangan masyarakat kerana ia melibatkan penjawat awam dari pelbagai agensi Persekutuan dan Negeri.

Seramai 19 pegawai kanan kerajaan dari kumpulan pengurusan dan professional terlibat dalam PINA 2007 untuk tempoh selama dua tahun.

Mereka terdiri daripada 10 orang dari agensi Kerajaan Persekutuan, empat dari Kerajaan Negeri Sabah dan lima dari Kerajaan Negeri Sarawak.

PINA 2005 melibatkan seramai 10 orang peserta. Pertukaran itu dilaksanakan mulai 1 Julai 2005 dan berakhir pada 30 Jun 2007.

Antara objektif PINA ialah untuk meningkatkan persefahaman tentang nilai teras integrasi nasional dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu.

Program itu bukan sahaja memfokuskan pada integrasi pelbagai etnik dan budaya tetapi juga pengurusan dan pentadbiran kerja serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

Selain berdampingan dengan masyarakat tempatan dan memahami budaya mereka, pegawai yang terlibat dalam program itu beperanan dan bertanggungjawab untuk menggalakkan integrasi nasional melalui pendedahan dalam sistem pentadbiran di peringkat pusat, negeri, bahagian dan daerah.


Pegawai Sarawak ke Persekutuan

  1. Hamidah Binti Haipi dari Pejabat Daerah Dalat ke Kementerian Pengajian Tinggi
  2. Kathreen Lalai ak Eddie Saga dari Pustaka Negeri Sarawak ke Kementerian Luar Negeri
  3. Rusmaliza Binti Mat Darus dari Unit Pentadbiran, Jabatan Ketua Menteri ke Kementerian Kewangan
  4. Suhailah Binti Za’afar dari Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri ke Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri
  5. Tan Chee Kang dari Unit ICT ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri


Pegawai Persekutuan ke Sarawak

  1. Ahmad Bin Musa dari Surujanjaya Perkhidmatan Pelajaran ke Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak
  2. Mohd Rashidi Bin Yahya dari Kementerian Luar Negeri ke Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak
  3. Mohd Zulkarnain Bin Abdul Kadir dari Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ke Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri
  4. Noorshahriman Bin Abdul Rahman dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ke Pejabat Residen Bahagian Miri
  5. Nadiyah Binti Ismail dari Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang ke Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak


Info

  • PINA diperkenal pada akhir tahun 1960-an tetapi dihentikan kemudiannya
  • Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kemudiannya telah ditugaskan menjadi Urusetia bagi menghidupkan semula pelaksanaan program itu berikutan hasil kertas Laporan Integrasi Negeri-Negeri Malaysia (Bil.3/84) oleh Majlis Keselamatan Negara yang menunjukkan bahawa pelaksanaannya membantu meningkatkan integrasi negara
  • JPA dengan Kerajaan Negeri Sarawak melaksanakan semula program itu pada tahun 1988 hingga 1990, 1992 hingga 1994 dan 1995 hingga 1997

Tujuan PINA ialah

  1. Mengukukuhkan jalinan perpaduan dan budaya antara kaum di Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah
  2. Memberikan pendedahan tentang sistem pentadbiran di Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah
  3. Berkongsi kepakaran dalam bidang-bidang yang diberikan fokus utama seperti ekonomi, pembangunan luar bandar dan wilayah, pengurusan sumber manusia, pelancongan dan pihak berkuasa tempatan


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article