- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

IMP3 Jadikan Malaysia Kekal Kompetitif

Must read


Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) Malaysia akan menjadi asas bagi mencapai taraf negara maju menjelang 2020 dengan penekanan terhadap sektor pembuatan dan perkhidmatan, di samping dasar pertanian negara, demikian menurut YBhg.Dato’ Hadi Abdul Othman, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

Pelan IMP3, jelas beliau menyediakan platform untuk negara bergerak secara kompetitif dan menempatkan negara ini dalam pasaran global.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas mengenai Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) di Kuching baru-baru ini anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak dan Sarawak Development Institute (SDI).

Menurutnya, negara meraih faedah daripada pelaksanaan dua pelan induk perindustrian (1986-1995 dan 1996-2005), yang membawa kepada pembangunan dalam sektor pembuatan dengan Malaysia kini menjadi negara pengeksport ke-19 utama di dunia dengan jumlah eksport (US$160.6 bilion).

Katanya berdasarkan petunjuk daripada senarai kedudukan daya saing Malaysia pada tahun 2007 (World Competitiveness Yearbook 2007) , Malaysia berada pada tangga 55.

Secara keseluruhannya negara berada pada tangga 23 untuk 2 (dua) tahun berturut-turut (2006 dan 2007). Dari sudut kecekapan kerajaan pula, kedudukan 21 pada tahun (2007) dan 20 pada tahun sebelumnya (2006), manakala dari segi kecekapan perniagaan, kedudukan ke 15 (2007) dan 20 pada tahun (2006) .
Matlamat ini akan tercapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan IMP3.

Untuk itu, 10 teras strategi keseluruhan telah disusun bagi merealisasi IMP3 termasuklah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan global utama, menjana pelaburan dalam bidang-bidang pertumbuhan sasaran, menyepadukan syarikat Malaysia dalam rangkaian serantau dan global, memastikan sumbangan pertumbuhan ke arah agihan sama rata dan pembangunan serantau yang lebih seimbang dan mengekalkan sumbangan besar sektor pembuatan kepada pertumbuhan ekonomi.

Strategi berikutnya, menggalakkan aktiviti berasaskan pengetahuan dan penggunaan aplikasi teknologi canggih, membangunkan modal insan kreatif dan inovatif, memperkukuh peranan sektor swasta dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif.

Namun jelasnya, bagi memastikan IMP3 ini terus berdaya maju terdapat beberapa usaha yang perlu digiatkan antaranya meningkatkan pembangunan dan penyelidikan (R&D), meningkatkan keupayaan teknologi, di samping pembangunan modal insan.

Mengenai potensi Sarawak, jelasnya negeri ini memiliki beberapa potensi yang harus diketengahkan antaranya potensi Bintulu sebagai Zon Petrokimia yang baru dan pusat pemunggahan wilayah, penyediaan prasarana alternatif, di samping pembangunan produk berasaskan kayu, produk berasaskan sawit dan pembangunan Kompleks Perikanan Bersepadu di Tanjung Manis.

Jelasnya Sarawak telah membuktikan yang ia menjadi tarikan pelabur berdasarkan kedudukannya yang berada pada kedudukan ke-5 selepas Pulau Pinang dengan nilai RM 21.1 billion yang menyumbang 8.1% kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bagi tahun 2005.

Malah jumlah projek yang diluluskan dalam sektor perkilangan di antara tahun 1996 hingga April 2007, Sarawak berada pada kedudukan ke-4, dengan jumlah 395 buah projek yang bernilai RM3.3 bilion.

IMP3 dilancarkan pada Ogos tahun lepas 2006 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tempoh 2006 hingga 2020. IMP1 bermula pada tahun 1986 dan IMP2 bermula pada tahun 1996 sehingga tahun 2005.

Info

• Pembuatan akan berkembang pada 5.6 peratus setahun dan menyumbang 28.5 peratus kepada KDNK pada 2020. Jumlah pelaburan sebanyak RM412.2 Bilion (RM27.5 bilion setiap tahun).

• Perkhidmatan bukan kerajaan akan berkembang pada 7.5 peratus setahun dan menyumbang 59.7 peratus kepada KDNK pada 2020. Jumlah pelaburan sebanyak RM667.7 bilion (RM45.8 bilion setiap tahun).

• Eksport akan meningkat kepada RM1.4 trilion pada 2020. Jumlah dagangan akan meningkat kepada RM2.8 trilion pada tahun tersebut.

• Produktiviti faktor total akan berkembang pada 2.9 peratus setiap tahun dan menyumbang 43.2 peratus kepada KDNK semasa tempoh IMP3

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article