- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pekebun Lada Julau

Must read

Penerima Anugerah Industri Komoditi 2007 Peringkat Kebangsaan


Berkat usaha gigih Encik Lanak Ramba, 46 tahun seorang pekebun lada dari Rh. Mauwa, Ng. Masit, Julau, Ulu Kanowit telah membawa kebanggaan kepada negeri Sarawak serta mencatatkan sejarah apabila memenangi Anugerah Industri Komoditi 2007 (Kategori Pekebun Kecil) peringkat kebangsaan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia sempena Pameran Dan Persidangan Antarabangsa Komokditi Malaysia (MICCOS 2007) baru-baru ini.



Menurut Encik Gerunsin Ayom, Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Anugerah Industri Komoditi merupakan acara dwi tahunan dianjurkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti dan kualiti hasil di kalangan pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kelapa sawit, getah, koko, lada dan tembakau.



Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada Majlis Anugerah Industri Komoditi 2007 pada 5 Julai 2007 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.



Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk peter Chin Fah Kui, Menteri bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia dan ketua-ketua agensi kementerian berkenaan.

Encik Lanak Ramba mengusahakan tanaman lada yang telah matang melebihi 2000 pokok sejak tahun 1996. Sementara itu melebihi 300 pokok lada pertama mengeluarkan hasil pada musim menuai sekarang. Produktiviti bagi penghasilan Lada Putih Berkualiti Eksport dari kebun beliau adalah tinggi, iaitu melebihi 4.55 tan metrik pada tahun 2006 dan dijangka meningkat kepada 5.0 tan metrik pada 2007.



Keluasan kebun lada yang diusahakan sekitar 1.2 hektar terletak kira-kira 120 kilometer dari Bandar Sarikei mengambil masa melebihi 4 jam melalui Pekan Pakan ke SK Jambu, Julau serta menggunakan perahu selama 20 minit. Perjalanan terpaksa melalui laluan bekas pembalakan sepanjang 8km yang hanya dialui menggunakan kenderaan pacuan empat roda.



Meskipun berada di pedalaman yang hanya dapat dihubungi menggunakan perahu selama 6 jam dari Entabai, Julau atau jalanraya laluan pembalakan, Encik Lanak Ramba telah menyakinkan panel untuk memilih model pekebun yang gigih berdikari untuk maju tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.



Penerima Anugerah ini membawa balik hadiah berbentuk trofi, plak sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak RM5000. –J.Penerangan Malaysia, Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article