- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

MAKSAK Bintulu Kini Miliki Bangunan Sendiri

Must read

Datu Wilson menurunkan tandatangan beliau di atas plak (Kiri) dan mencuba permainan ping-pong (kanan) selepas merasmikan Rumah MAKSAK Bintulu


Perjuangan dan keinginan ahli-ahli kelab gabungan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Bintulu untuk mempunyai sebuah bangunan pejabat atau rumah sendiri kini telah menjadi kenyataan melalui perasmian Rumah MAKSAK Bintulu oleh YB Datu Wilson Baya Dandot Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkapYang Dipertua MAKSAK Sarawak pada 7 Julai lalu.

Kesungguhan dan perjuangan mereka itu menjadi realiti setelah menerima maklumbalas positif daripada pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) pada Oktober 2004 yang menyatakan kesediaannya membenarkan MAKSAK Bintulu menggunakan rumah kedai beralamat di Lot 1358 dan 1359, Tanjung Batu Commercial Centre untuk dijadikan RUMAH MAKSAK Bahagian Bintulu.

Dalam ucapan perasmiannya, Datu Wilson berharap agar aktiviti dan program serta perancangan MAKSAK Bintulu akan lebih proaktif ke hadapan dan memberi impak yang lebih menyeluruh.

Menyentuh tentang aktiviti dan program MAKSAK, beliau berkata, sebenarnya objektif dan matlamat utamanya ialah untuk melahirkan kakitangan kerajaan yang sihat, cergas, ceria dan bersemangat seterusnya berperanan melahirkan tenaga kerja atau modal insan dalam pentadbiran kerajaan supaya lebih bertanggungjawab, lebih cekap, kreatif dan efisyen.

Beliau juga memuji inisiatif MAKSAK Bintulu yang telah berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumbangan peralatan untuk ditempatkan di Rumah MAKSAK Bintulu tanpa bergantung dengan MAKSAK Sarawak.

Antaranya, Kelab KASTAM Bintulu telah menyumbang satu set televisyen dan karaoke, Kelab SESCO dan Kelab LAKU menyumbang set permainan dart dan Kelab KSR BINDA (BDA) menyumbang satu set permainan ping-pong.

Sehingga kini, MAKSAK Bahagian Bintulu dianggotai oleh seramai 18 kelab-kelab gabungan daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.

Melalui Rumah MAKSAK Bintulu yang baru dirasmikan itu, adalah diharapkan supaya aktiviti dan program mereka akan terus aktif dan dapat memberi impak dan manfaat sosial terutama dari segi rekreasi, pendidikan dan kebajikan kepada semua ahli-ahli kelab yang bernaung di bawahnya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article